Tempat Menarik Di Terengganu: 30 tempat best untuk dikunjungi

Tempat Menarik Di Terengganu – Negeri Terengganu ialah sebuah negeri yang terletak di pantai timur Semenanjung Malaysia. Negeri ini sememangnya terkenal dengan keindahan alam semulajadinya, terutamanya pulau-pulau yang terletak di kawasan perairannya dan banyak kawasan pedalaman yang telah diwartakan sebagai hutan simpanan negeri. Negeri Terengganu dianugerahkan dengan persisiran pantai sepanjang 244 kilometer, beberapa buah pulau tercantik di dunia dan Tasik Kenyir yang tersohor sebagai tasik buatan terbesar di Asia Tenggara yang menawarkan pelbagai kegiatan pelancongan.

Terdapat banyak tempat menarik di Terengganu yang boleh dipilih sebagai destinasi pelancongan semulajadi yang pastinya menjanjikan satu pengalaman yang istimewa. Terengganu menawarkan kawasan pantai dengan lautan yang biru dan air laut dipenuhi kehidupan lautan yang berwarna warni. Pasir pantainya putih dipenuhi dengan cangkerang-cangkerang yang boleh diambil untuk dibawa ke rumah sebagai memori. Pada waktu senja pula, langitnya mekar diwarnai warna keemasan dan merah jambu sementara matahari terbenam sehingga datangnya malam. Di kawasan hutan di pedalaman Terengganu, para pengunjung boleh menarik nafas dengan udara yang dijamin bersih ditemani dengan pemandangan hutan belantara yang berusia jutaan tahun dan bunyi bintang-bintang liar yang mengasyikkan. Semestinya, percutian di Terengganu membawa para pelancong lebih dekat kepada alam sekitar.

Tempat Menarik di Terengganu

Pulau-pulau terbaik di perairan Laut China Selatan, Terengganu

1. Pulau Redang

Pulau Redang ialah pulau yang terbesar di perairan Terengganu dan merupakan yang termaju daripada segi kemudahan pelancongannya. Pantai paling terkenal ialah Pantai Pasir Panjang yang menempatkan pelbagai jenis tempat penginapan. Aktiviti yang sesuai dijalankan di sini ialah bersnorkel, merentas hutan, berperahu dan berkanu. Kemudahan-kemudahan di sini amat lengkap dengan sumber air bersih, elektrik 24 jam, sebuah lapangan terbang dan sebuah pekan kecil. Pulau Redang sesuai untuk pelancongan mewah kerana ada pelbagai resort bertaraf 4 bintang disediakan di sini. Kebanyakan resort menyediakan kemudahan-kemudahan kekeluargaan yang sememangnya menawarkan keseronokan tidak terhingga untuk si kecil.

Alamat:

  • Pulau Redang, 21090 Kuala Terengganu, Terengganu

Bagaimana Ke Sana:

  • Untuk pergi ke Pulau Redang kebanyakan resort menyediakan kemudahan bot. Kebanyakannya bertolak dari 2 jeti iatu:
  • Jeti Shahbandar: Jalan Sultan Zainal Abidin, 20200 Kuala Terengganu, Terengganu
  • Jeti Merang : 21010 Kuala Terengganu, Terengganu

Tiket:

  • Jeti Shahbandar (RM50 Satu Hala)
  • Jeti Merang (RM55 Satu Hala)
  • Jadual bertolak bergantung kepada cuaca

2. Pulau Perhentian

Pulau Perhentian terdiri daripada dua buah pulau iatu Pulau Besar dan Pulau Kecil. Pulau Perhentian mempunyai pantai-pantai yang cantik seperti Pantai Pasir Panjang, Teluk Pauh, Tanjung Basi dan sebagainya. Pulau Perhentian menawarkan semua kegiatan di tepi pantai seperti bersnorkel, merentas hutan, melihat penyu dan sebagainya. Ada sebuah kawasan perkampungan yang dinamakan Kampung Pasir Hantu. Menyaksikan gelagat penduduk tempatan dengan kegiatan seharian pun suatu pengalaman menarik. Pulau Perhentian mempunyai banyak tempat penginapan bajet pada harga berpatutan. Tidak seperti Pulau Redang, pengunjung boleh datang tanpa tempahan kerana ada banyak chalet kecil, penginapan ‘homestay’, hotel murah dan sebagainya pada harga yang murah tetapi berkualiti. Kemudahan-kemudahan asas ada disediakan tetapi sesetengah tempat tiada bekalan eletrik pada waktu tertentu. Kebanyakan para pelancong ke sini adalah orang-orang muda yang mencari keseronokan pantai.

Alamat:

  • Pulau Perhentian, 22300 Kuala Terengganu, Terengganu

Bagaimana Ke Sana:

  • Jeti Kuala Besut, Kampung Kuala Besut, 22300 Besut, Terengganu

Tiket:

  • RM70 (Pergi Balik Dewasa)
  • RM35 (Pergi Balik Kanak-Kanak)
  • Jadual bertolak bergantung kepada cuaca

3. Pulau Kapas

Pulau Kapas ini kecil sahaja bersaiz 2 kilometer panjang dan 1 kilometer lebar. Pilihan penginapan sini terhad tetapi mempunyai kurang pengunjung berbanding pulau-pulau lain. Namanya pun berasal daripada pasir pantainya yang putih seperti hamparan kapas di lautan. Di utara pulau ini ada tempat untuk menyaksikan penyu menetaskan telur, dan juga tempat untuk menyelam yang cantik. Ada juga kemudahan untuk menyelam dan bersnorkel. Para penduduk tempatan juga ada menjual barangan cenderamata buatan tangan yang pastinya sesuai dijadikan hadiah untuk ahli keluarga. Di seberang Pulau Kapas, ada sebuah pulau kecil yang bernama Pulau Gemia yang dimiliki oleh sebuah hotel peribadi. Jika menginginkan 100% masa peribadi, bolehlah menginap di hotel yang cuma didiami oleh pekerja dan penginap di hotel. Berbanding dengan pulau-pulau lain, pelancongan di sini adalah lebih kepada bersantai sahaja sambil menikmati kecantikan alam.

Alamat:

  • Pulau Kapas, 21600 Kuala Terengganu, Terengganu

Bagaimana Ke Sana:

  • Jeti Merang, 21010 Kuala Terengganu, Terengganu

Tiket:

  • RM40 (Pergi Balik Dewasa)
  • Jadual bertolak bergantung kepada cuaca

4. Pulau Lang Tengah

Pulau Lang Tengah pula ialah satu lagi pulau yang menjadi kegemaran para pelancong di Terengganu. Pulau ini kecil sahaja dan cuma ada 4 hotel penginapan. Aktiviti utama di sini ialah menyertai aktiviti sukarelawan dengan sebuah NGO tempatan ‘Lang Tengah Turtle Watch’ yang beroperasi 100% dengan tenaga kerja sukarelawan. Aktiviti pengambilan telur penyu ialah aktiviti yang memberi kesan terhadap populasi kepada pelbagai spesis penyu di perairan Terengganu. Organisasi ini ditubuhkan untuk meningkatkan penetasan spesis penyu di perairan Terengganu. Jika mencari pengalaman percutian di pantai yang unik untuk beberapa minggu atau bulan, bolehlah menyertai program mereka. Selain itu, aktiviti-aktiviti pantai seperti berselam, bersnorkel dan sebagainya turut ada di pulau yang kecil ini. Informasi untuk program sukarelawan dengan ‘Lang Tengah Turtle Watch’ ada di bawah.

Alamat:

  • Pulau Lang Tengah, 21020, Kuala Terengganu, Terengganu, Malaysia

Website:

Facebook:

Bagaimana Ke Sana:

  • Jeti Merang, 21010 Kuala Terengganu, Terengganu

Tiket:

  • RM65 (Satu Hala Dewasa)
  • RM35 (Satu Hala Kanak-Kanak)
  • Jadual bertolak bergantung kepada cuaca

5. Pulau Bidong

Pulau Bidong ialah sebuah pulau yang menyimpan banyak sejarah di perairan Malaysia. Pada tahun 1970-an, beribu-ribu pelarian negara Vietnam tersadai di Pulau ini selama beberapa tahun sementara menunggu giliran untuk pergi ke negara-negara maju seperti Australia, Kanada dan Amerika Syarikat. Kemuncaknya berlaku pada tahun 1978 apabila 60,000 orang tinggal di pulau yang kecil ini. Kini ianya tidak berpenghuni cuma yang tinggal ialah bekas tapak perkampungan pelarian Vietnam yang boleh dilawati pada siang hari. Satu tapak menyelam di sini dipanggil ‘Heritage’ yang mempunyai khazanah-khazanah lama seperti trak memandu lama, papan tanda tidak digunakan lagi, replika batu bersurat dan sebagainya. Kalau ingin pergi ke pulau yang lebih terpencil tanpa gangguan manusia atau pelancongan massa seperti pulau-pulau di sekelilingnya, bolehlah berkunjung ke pulau ini. Tiada penginapan disediakan di sini.

Alamat:

  • Pulau Bidong, 21020, Kuala Terengganu, Terengganu

Bagaimana Ke Sana:

  • Jeti Merang, 21010 Kuala Terengganu, Terengganu

Tiket:

Tempat-tempat terbaik untuk dilawat di Tasik Kenyir

6. Gua Bewah

Gua Bewah atau juga dikenali sebagai Gua Tahi Kelawar ialah sebuah gua batu kapur di kaki Bukit Bewah. Namanya diberi begitu kerana ada ribuan kelawar yang tinggal di atas bumbung gua menghasilkan lantai yang penuh dengan guano. Tarikan utama Gua Bewah ialah penemuan rangka manusia dari Mesolitik pada tahun 1970-an oleh ahli arkeologi. Turut dijumpai juga adalah artifak-artifak seperti perkakasan dapur, kapak dan peralatan berburu yang sudah berusia antara 3,000 sehingga 10,000 tahun. Ada disediakan pelantar jalan kaki untuk masuk ke dalam gua dan ada juga sebuah muzium mini. Para pengunjung dinasihatkan menggunakan lampu suluh untuk menikmati pemandangan di dalam gua kerana ianya sangat gelap. Bau-bauan guano boleh menjadi tidak selesa kepada orang ramai, jadi para pengunjung dinasihatkan membawa penutup hidung.

Alamat:

  • Pengkalan Gawi, Tasik Kenyir

Waktu Buka:

  • Buka sepanjang hari

Tiket:

  • Percuma, tetapi perlu pergi ke Pengkalan Gawi untuk kemudahan bot ke Gua Bawah. Sila rujuk kepada pengendali bertauliah di sana.

7. Taman Herba Kenyir

Di salah sebuah pulau di Tasik Kenyir iatu Pulau Sah Kecil sebuah taman yang mempamerkan lebih daripada 26,000 spesies tumbuh-tumbuhan herba daripada 230 spesis yang dipelihara dengan baik di tapak semaiannya. Tujuan utama taman ini dibina adalah untuk penyelidikan tumbuh-tumbuhan herba untuk mengkaji nilai perubatannya, selain daripada menjadi tarikan pelancong. Terdapat herba-herba tempatan seperti tongkat ali, kacip fatimah, mas cotek, misai kucing dan lain-lain herba tradisional kegemaran orang Malaysia boleh dijumpai di sini. Pulau sebesar 15.84 hektar ini senang diterokai dengan adanya pelantar jalan kaki. Ada kemudahan-kemudahan seperti pondok rehat, pusat informasi, tandas dan tapak refleksologi. Selain itu, para pengunjung boleh mencuba minum minuman panas tongkat ali dan kacip fatimah yang disediakan secara percuma untuk para pengunjung. Ianya baik untuk kesihatan walaupun rasanya ada sedikit pahit.

Alamat:

  • Taman Herba Kenyir, Pulau Sah Kecil, Terengganu

Waktu Buka:

  • Buka sepanjang hari

Tiket:

  • Percuma, tetapi perlu pergi ke Pengkalan Gawi untuk kemudahan bot ke Gua Bawah. Sila rujuk kepada pengendali bertauliah

8. Pusat Konservasi Gajah Kenyir

Pusat konservasi ini ditubuhkan pada tahun 2012 dan berukuran 256 hektar. Tujuan pembinaanya adalah untuk melindungi dan memelihara gajah-gajah tempatan. Kebanyakan gajah yang ada kehilangan ibu bapa terhadap perdagangan gading gajah, sesetengah daripada mereka sesat di dalam hutan, dan ada juga yang ditangkap oleh penduduk kampung tempatan kerana menyerang kampung mereka. Kini, terdapat 13 ekor gajah tinggal di dalam pusat konservasi ini dan dijaga dengan elok. Gajah termuda berusia 2 tahun dan gajah yang tertua sudahpun berusia 32 tahun. Di sini terdapat, aktiviti-aktiviti seisi keluarga terutamanya untuk anak-anak kecil seperti menunggang gajah, memandikan dan memberi makan kepada gajah dan sebagainya. Para pengunjung bolehlah mengambil gambar sepuas-puasnya di sini. Pastinya pengalaman bersama binatang ini akan diingati selalu. Setiap hari pada pukul 11.30pagi dan 3.30petang ada pertunjukkan gajah untuk disaksikan.

Alamat:

  • 21700 Kuala Berang, Terengganu Perlis

Laman Web:

Facebook:

Waktu Buka:

  • 9.00pagi-6.00petang (Isnin-Ahad)

Tiket:

  • Harga bermula daripada RM10. Sila semak laman web untuk harga semasa: http://www.kecv.com.my/

9. Penginapan ‘Square Kenyir Houseboat’

Keistimewaan penginapan ini ialah ianya terletak di atas permukaan air tasik yang tenang. Ada disediakan 4 bilik tidur dengan 4 katil dan 2 bilik tidur dengan katil besar boleh memuatkan 2 orang. Penginapan ini hanya boleh menampung 20 orang sekaligus. Memang unik tidur dengan buaian air yang memberi ketenangan selepas penat bekerja di bandar. Tambahan lagi, semua kemudahan disediakan seperti dapur, ruang tamu dengan mesin karaoke, tandas dan set barbeku pun ada. Kemudahan-kemudahan asas yang disediakan cukup untuk meluangkan masa bersama-sama alam semulajadi. Jaket keselamatan pun disediakan sebagai langkah berjaga-jaga. Aktiviti barbeku makanan segar dari tasik sambil menikmati pemandangan hutan yang menyejukkan mata memang dinanti-nantikan. Syarikat pengendali penginapan ini turut menganjurkan aktiviti-aktiviti seperti memancing, lawatan ke pulau-pulau dan sebagainya. Penginapan di hotel unik ini hanya boleh ditempah melalui telefon untuk mengetahui harga semalaman.

Alamat:

  • Pengkala Gawi, Tasik Kenyir, 21700 Kuala Berang

Alamat:

  • 017-981 7658

Facebook:

Tiket:

  • Harga semalam perlu disemak dengan pemilik. Ianya tidak dipaparkan dalam talian.

10. Air Terjun Lasir

Air Terjun Lasir ialah air terjun yang paling popular di Tasik Kenyir. Ketinggian air terjun ialah pada 150 meter dari puncak sehingga ke bahagian rata. Ada kolam-kolam kecil semulajadi yang terbentuk secara bertingkat dari puncak ke bawahnya. Para pengunjung boleh memanjat ke atasnya walaupun tidak digalakkan kerana faktor keselamatan. Perjalanan dari jeti ke air terjun ini tidaklah jauh dari Pengkalan Gawi, cuma mengambil masa 30 minit. Air terjun ini terletak di dalam salah satu teluk buatan manusia yang terhasil selepas Empangan Kenyir dibina. Kawasan sekelilingnya amat sesuai untuk berkelah dan berehat antara pokok-pokok hutan yang menghijau. Terdapat sebuah jambatan gantung dengan anjung tinjau yang ada pandangan air terjun. Kawasan boleh menjadi agak sesak kerana lokasinya adalah antara yang paling popular. Airnya yang hijau dan jernih sangat mengasyikkan.

Alamat:

  • Air Terjun Lasir, Tasik Kenyir, Terengganu

Waktu Buka:

  • Sepanjang hari

Tiket:

  • Percuma, tetapi perlu pergi ke Pengkalan Gawi untuk kemudahan bot ke Air Terju Lasir. Sila rujuk kepada pengendali bertauliah

Pantai-pantai cantik di persisiran pantai Terengganu

11. Pantai Chendor

Pantai Chendor di Cherating sangat istimewa kerana ianya ialah laman rasmi Pusat Perlindungan Penyu di Terengganu. Ianya terletak antara sempadan Terengganu dan Pahang. Pada 1972 kawasan pantai ini diwartakan untuk melindungi penyu ketika ia melakukan pendaratan di pantai. Kemudiannya pada tahun 1998, ianya dinaiktaraf untuk menjadi lebih sistematik dan mula dibuka kepada orang ramai. Pusat perlindungan ini semestinya akan digemari di kalangan para pelancong yang meminati binatang. Pantai Chendor menempatkan banyak spesies penyu, terutamanya penyu laut hijau yang endemik di sini. Di sini, ada tiga kolam air yang dikhaskan untuk memulihara penyu-penyu. Para pelancong ke sini akan dididik tentang ekosistem kehidupan penyu. Tarikan yang paling menarik di sini sudah tentunya aktiviti menonton dan melepaskan penyu bertelur di pantai. Antara bulan April dan Ogos adalah waktu terbaik melawatnya apabila datang musim bertelur binatang ini. Sudah tentunya tarikan ini boleh menyedarkan para pengunjung tentang kepentingan menjaga alam sekitar.

Alamat:

  • Pantai Chendor, Terengganu

Waktu Buka:

  • 9.00pagi-5.00petang (Selasa-Ahad)
  • Tutup (Isnin)

Tiket:

  • Percuma

12. Pantai Penarik

Pantai yang biru berlatarbelakangkan pokok-pokok kelapa yang tinggi terhayun-hayun oleh desiran angin bayu. Persisiran pantai dibarisi kampung-kampung nelayan dan rumah-rumah tradisional Melayu, beginilah bagaimana Pantai Penarik wajar digambarkan untuk menarik ramai orang pergi melawat pantai ini. Orang kota yang ingin melarikan dari hiruk-pikuk kota bolehlah berkunjung ke sini untuk merehatkan minda. Dari pantai, pemandangan pulau pelancongan seperti Pulau Redang, Pulau Lang Tengah dan Pulau Perhentian boleh dilihat dari tepi pantai. Pada waktu petang, bolehlah menonton nelayan tempatan dengan tangkapan setelah seharian berada di laut. Pada masa ini, para nelayan menarik bot yang dipenuhi dengan ikan dan peralatan seperti jala ke atas pantai. Pengalaman ini amat sesuai dijadikan gambar untuk dimuat naik ke laman sosial. Malah kemudahan barbeku jika ingin memasak hasil tangkapan tempatan di tepi pantai. Kemudahan asas seperti tandas, gerai beli makanan dan sebagainya ada disediakan. Beberapa kemudahan penginapan chalet ada kalau ingin bermalam di tepi pantai.

Alamat:

  • Kampung Penarik, 21010 Permaisuri, Terengganu

Waktu Buka:

  • Buka sepanjang hari

13. Pantai Air Tawar

Pantai Air Tawar mempunyai pembentukan pantai semulajadi yang agak istimewa. Pantai ini terletak di pertemuan sebuah lagun air tawar dan pantai air masin. Jadi, begitulah pantai ini mendapat namanya kerana adanya pembentukan air tawar ini. Kawasan pantai ini dimajukan dengan kemudahan-kemudahan seperti jalan bertar, tempat berjoging, jambatan perhiasan, restoran-restoran yang luas dan sebagainya untuk para pengunjung. Ini menjadikan pantai ini destinasi yang menarik melakukan aktiviti beriadah seperti berkelah, berekreasi, bermain permainan pantai dan sebagainya. Lokasi Pantai Air Tawar agak jauh dari bandar Besut. Faktor ini menyebabkan tidak ada ramai orang pada hari bekerja. Para pelancong yang kebetulan berada di sini pada hari-hari bekerja bolehlah meluangkan masa di sini tanpa gangguan orang ramai. Pantai ini amat sesuai untuk mengambil gambar-gambar cantik terutamanya pada waktu senja dengan pemandangan matahari terbenam perlahan-lahan menanti kedatangan malam datang. Dari beberapa sudut, ianya kelihatan seperti sebuah gambar dalam poskad yang boleh dicetak dibuat hadiah.

Alamat:

  • Kampung Raja, 22200 Besut, Terengganu

Waktu Buka:

  • 24 Jam

14. Pantai Bukit Keluang

Pantai ini sangat unik formasinya menarik perhatian para pengunjung untuk datang ke sini tanpa henti. Sebahagian daripada pantai mempunyai ciri-ciri pantai biasa dengan pasir yang putih dan sebahagian daripadanya ialah sebuah tanjung batu yang menawarkan pemandangan laut yang indah dari atasnya. Terdapat laluan penjalan kaki dibina untuk mendaki ke puncak bukit. Dalam perjalanan mendaki ke atas puncak, ada tiga tempat persinggahan utama untuk berhenti dan mengambil gambar. Pemandangan sangat sesuai menggunakan teropong untuk melihat ada apa jauh di laut di Perairan Laut China Selatan dengan laluan kapal yang agak sibuk. Dari jauh, Pulau Perhentian boleh dilihat jelas dari sini. Satu lagi kelebihan tambahan Bukit Keluang ialah gua-gua kecil yang terletak di bawah bukit ini. Kalau berada di sini pada waktu malam, bolehlah melawat gua pada waktu malam untuk melihat haiwan nokturnal seperti kelawar yang mempunyai habitat dalam gua. Pantai ini haruslah dilawati di negeri Terengganu kalau berkesempatan melaluinya.

Alamat:

  • Pantai Bukit Keluang, 22200 Kampung Raja, Terengganu

Waktu Buka:

  • Buka sepanjang hari

15. Teluk Mak Nik

Teluk Mak Nik atau dikenali di kalangan orang tempatan sebagai ‘Monica Bay’ ialah satu lagi pantai tarikan pelancong yang terkenal di Terengganu. Pantai ini seakan-akan berada di luar negara kerana ada barisan pokok ru tinggi menghiasi tepi pantai ini. Pantainya tidak digalakkan untuk mandi tetapi apa yang menarik di sini ialah ada kurang pengunjung berbanding pantai-pantai tepi laut di Terengganu. Jadi, bolehlah menikmati pengalaman di tepi pantai sambil mendengar bunyi kicauan burung dan unggas yang menggunakan pokok ru sebagai habitatnya. Selain itu, ada juga beberapa buah penginapan di sekeliling pantai ini jika bercadang untuk bermalam di kawasan ini. Masa yang paling seronok sekali ialah pada waktu senja, apabila restoran-restoran di sekitar yang menghadap pantai mula buka untuk menanti kedatangan para pengunjung. Makan malam sambil menikmati makanan Terengganu semestinya satu pengalaman tidak akan dilupakan. Pada hari-hari tertentu ada acara-acara khas diadakan di sini seperti festival futsal, pertandingan memancing dan sebagainya.

Alamat:

  • 4000 Chukai, Terengganu

Waktu Buka:

  • Buka sepanjang hari

Tempat-tempat menarik di Terengganu. Tarikan-tarikan semulajadi di pedalaman Terengganu

16. Lata Tembakah

Lata Tembakah dikatakan air terjun yang tercantik dan paling dramatik di negeri Terengganu. Ianya mempunyai 7 tetingkat yang mengalir secara deras dari atas yang berketinggian 50 meter. Pelbagai jenis tumbuh-tumbuhan semulajadi dan pemandangan air terjun yang indah menjadikan kawasan ini tempat terbaik untuk meluangkan waktu dengan keluarga dan rakan-rakan pada hujung minggu. Kalau berada di sini, memang wajib berenang di dalam air yang menyegarkan. Terdapat bentukan kolam-kolam kecil dan anak-anak sungai pasti akan menghiburkan anak-anak kecil untuk mencuba menangkap ikan kecil dan udang kecil yang berenang. Semua pelawat termasuk pencinta alam boleh menikmati aktiviti merentas hutan melalui denai perjalanan dan jambatan tergantung yang dibina khas oleh Jabatan Perhutanan. Kalau mampu, para pelawat boleh mendaki ke bahagian atas air terjun yang tertinggi untuk pemandangan yang indah. Semua kemudahan lengkap ada disediakan seperti tempat letak kereta, gerai makanan, anjung rehat dan tempat perkemahan.

Alamat:

  • Lata Tembakah, 22010, Terengganu

Waktu Buka:

  • Buka sepanjang hari

17. Hutan Lipur Sekayu

Hutan Lipur Sekayu terletak hanya satu jam perjalanan dari Kuala Terengganu. Hutan ini dikenali dengan flora dan fauna yang cantik menjadikannya hutan rekreasi yang paling dilawati di Terengganu. Dalam hutan lipur ini, ada sebuah air terjun yang unik yang mempunyai kejatuhan menegak dari tujuh tingkat yang mempunyai tiga darjah kecuraman berbeza. Selain itu, air yang jernih dan sejuk yang mengalir dari Sungai Sekayu dan Sungai Tersat amat sesuai untuk merehatkan fizikal dan mental. Tambahan lagi, tempat ini juga terkenal kerana ia mengandungi banyak khazanah alam seperti flora dan fauna yang terpelihara dengan baik. Hutan Lipur Sekayu sangat sesuai untuk aktiviti berkelah dan kekeluargaan yang mempunyai ruang yang cukup dan lengkap beserta dengan kemudahan seperti tandas, kawasan perkhemahan, kemudahan barbeku. Malah, ada juga bekalan elektrik dan bekalan air bersih untuk kegunaan orang ramai. Taman rekreasi juga ini dilengkapi kemudahan penginapan malam jika ingin bermalam di sini.

Alamat:

  • Hutan Lipur Sekayu, 21700 Kuala Berang, Terengganu

Waktu Buka:

  • 9.00pagi-5.00petang (Isnin-Ahad)

Tiket:

  • RM1

18. Lata Cemerong

Satu lagi tarikan air terjun di Terengganu ialah air terjun Cemerong. Untuk pergi ke sini agak sukar kerana lokasinya agak terpencil. Pintu masuk ke air terjun ini bermula di Hutan Rekreasi Cemerong. Di sini, semua kemudahan disediakan termasuk pejabat utama, pondok rehat, menara paparan, taman permainan dan sebagainya. Air terjun boleh dicapai dalam masa dua jam merentas melalui hutan. Tetapi, jika sudah sampai di sini, pastinya perjalanan yang jauh sangat berbaloi. Ianya merupakan salah satu air terjun yang tertinggi di Malaysia dengan ketinggian 305 meter. Malah, air terjun ini boleh dilihat daripada jauh dari jalan lebuhraya utama kerana ketinggiannya. Dari bawah, bentuk permukaan kelihatan seperti bentuk seorang manusia gergasi. Kemudahan untuk berkelah disediakan di bawah air terjun. Pada masa kini, mendaki sehingga ke puncak air terjun tidak dapat dilakukan kerana tiada denai disediakan. Tetapi, air terjun ini mempunyai kurang pengunjung berbanding yang lain menjadikannya lebih peribadi.

Alamat:

  • Forest Chemerong, Dungun, Terengganu

Waktu Buka:

  • 9.00pagi-5.00petang (Isnin-Ahad)

Tiket:

  • RM2 (Dewasa)
  • RM1 (Kanak-Kanak)

19. Taman Rizab Rantau Abang

Taman rizab ini merupakan satu kawasan yang sangat penting dalam pemuliharaan ekosistem penyu di negeri Terengganu. Taman rizab ini ditubuhkan untuk meningkatkan bilangan penyu. Sejak 40 tahun lepas, populasi penyu telah berkurang disebabkan beberapa faktor seperti penggunaan jaring oleh nelayan dan penyu yang mati tercekik memakan plastik yang kelihatan seperti ubur-ubur yang merupakan salah satu daripada makanan penyu. Selain itu, aktiviti penangkapan penyu untuk dimakan atau dijadikan alat perhiasan menambahkan lagi masalah kepupusannya. Pantai Rantau Abang terkenal sebagai salah satu daripada enam tapak penetasan di dunia untuk penyu belimbing gergasi. Setiap bulan Mei sehingga September para pengunjung mempunyai kesempatan untuk melihat dengan sendiri pendaratan penyu-penyu. Satu keistimewaan pantai ini ialah sebuah formasi batu yang dipanggil ‘Batu Penyu’. Kalau dilihat bentuk formasi semulajadi ini, rupanya seperti seekor penyu yang memandang ke atas langit. Ia dikatakan mempunyai lagenda yang penuh dengan misteri dan amat menarik perhatian pengunjung.

Alamat:

  • Pantai Rantau Abang, 45300 Dungun, Terengganu

Waktu Buka:

  • Buka sepanjang hari

20. Taman Bencah Setiu

Taman Bencah Setiu adalah taman bencah semula jadi terbesar di rantau pantai timur Semenanjung Malaysia. Ianya adalah gabungan pelbagai ekosistem yang terdiri daripada air tawar, air laut, air payau dan sebuah lagun sepanjang 14 km yang terdiri daripada tiga lembangan sungai. Ekosistemnya pula terdiri daripada pelbagai bentuk muka bumi seperti pulau pasir, bakau, paya gambut dan pantai pasir. Hutan paya bakau di sini amat  penting untuk melindungi pantai daripada hakisan dan menjadi habitat pelbagai hidupan laut. Kalau bernasib baik ,para pengunjung boleh melihat spesis binatang tuntung laut yang merupakan spesis yang terancam. Para pengunjung boleh menaiki bot menjelajah atas air untuk melihat kehidupan di sekeliling. Satu tarikan di sini ialah Pelantar Jalan Setiu yang mempunyai kepanjangan sejauh 400 meter ke kawasan bakau. Pelantar jalan ini baru sahaja dibuka untuk memudahkan para pengunjung dari pelbagai lapisan tidak kira tua atau muda menikmati keunikan persekitaran di sini.

Alamat:

  • Jln Pengkalan Gelap, 22120 Permaisuri, Terengganu

Waktu Buka:

  • 9.00pagi-5.00petang (Isnin-Ahad)

Tiket:

  • Percuma

Tempat-tempat unik dan menarik

21. Masjid Kristal

Sekilas pandang pada masjid ini, seakan-akan sebuah mahligai mewah yang terapung merentangi lautan. Ianya merupakan tarikan terbaru pelancongan di Kuala Terengganu. Masjid ini adalah satu tarikan pelancong baru di Terengganu dibuka pada tahun 2008. Ianya dikatakan antara masjid tercantik di Malaysia. Dewan ibadatnya mampu menampung 1,500 jemaah pada satu masa. Masjid ini dibina menggunakan bahan keluli dan kaca memberi imej kontemporarinya. Malah , ianya telah diiktiraf sebagai masjid pintar pertama di Malaysia kerana ada infrastruktur IT di seluruh masjid termasuk sambungan internet Wifi. Pada waktu senja, memang cantik kalau mengambil gambar bangunan ini dari pelbagai sudut mengikut kemahuan. Apabila malam menjelma, pertunjukkan lampu dinyalakan dengan pelbagai perubahan warna seperti merah jambu, hijau, kuning dan biru. Ada juga disediakan lawatan bot yang bergerak di atas air untuk menyaksikan masjid ini dari pelbagai sudut dan peluang mengambil gambar yang cantik terutamanya pada waktu malam.

Alamat:

  • Pulau Wan Man, 21000 Kuala Terengganu, Terengganu

Waktu Buka:

  • Buka sepanjang hari

22. Masjid Abidin

Masjid Abidin ialah sebuah masjid yang bersejarah di negeri Terengganu siap dibina pada tahun 1808. Masjid ini juga dikenali sebagai Masjid Putih atau Masjid Besar oleh penduduk tempatan. Ini adalah kerana bahagian luarnya dicat dengan warna putih. Ianya dibina oleh Sultan Zainal Abidin yang juga bagaimana ia mendapat namanya. Masjid ini amat berkait rapat dengan kerabat diraja Terengganu. Di sebelah masjid ini, ada makam diraja yang menempatkan jenazah-jenazah kerabat diraja sejak tahun 1870-an. Bangunan masjid yang sedia ada adalah hasil daripada ubahsuai yang dilakukan pada tahun 1972. Terdapat hiasan seperti ukiran ayat-ayat suci al-Quran dan doa diukir pada pintu masuk dan jeriji masjid. Kini, saiznya adalah dua kali ganda daripada saiz bangunan asal untuk menempatkan lebih ramai jemaah berkunjung ke sana menunaikan ibadat. Antara pembaharuan yang ditambah adalah sebuah menara tinggi dan pembinaan kubah baru. Masjid ini terletak di tengah-tengah bandaraya Kuala Terengganu amat mudah dilawati.

Alamat:

  • Jalan Masjid Abidin, 20000, Kuala Terengganu, Terengganu

Waktu Buka:

  • Buka sepanjang hari

23. Kampung Cina

Di Kampung Cina, Kuala Terengganu terdapat sebuah tokong yang dinamakan tokong Hoo Ann Kiong dan merupakan tokong Cina yang tertua di Kuala Terengganu. Ianya dibina pada tahun 1801 oleh komuniti Hokkien yang sekian lama menetap di sini. Kini, kawasan ini merupakan kawasan pelancongan. Pembinaan tokong ini amat simbolik dengan Kampung Cina yang mula-mula ditubuhkan oleh masyarakat Cina pada akhir abad ke-19. Ia merupakan pusat kegiatan komersial yang membantu membentuk Kuala Terengganu pada masa kini. Orang Cina membina rumah kedai yang direka bentuk secara tradisional mengikut tempat asalnya di China. Rumah-rumah kedai dibina berhampiran tebing Sungai Terengganu kerana lokasi itu menyediakan tempat untuk kapal berlabuh. Bangunan-bangunan di sini ini menggabungkan pelbagai gaya seperti reka bentuk Cina Selatan tradisional, Neoklasik dan Art Deco. Baru-baru ini, bangunan-bangunan lama di sini diisytiharkan sebagai tapak warisan oleh persatuan UNESCO Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu dan pemilik diberikan geran setiap tahun untuk membiayai pemeliharaannya.

Alamat:

  • Jalan Kampung Cina, 20100 Kuala Terengganu, Terengganu

Waktu Buka:

  • Buka sepanjang hari

24. Kompleks Muzium Negeri Terengganu

Bangunan muzium ini dibuka kepada orang ramai bermula pada tahun 1996. Kompleks muzium seluas 27 hektar di Bukit Losong merupakan muzium terbesar di Asia Tenggara. Seni bina yang adalah berdasarkan rekabentuk sebuah istana lama Terengganu. Terdapat 16 tiang konkrit yang menyokong bangunan ini. Bangunan didirikan di atas taman-taman dan kolam-kolam yang berlanskap. Ruang pameran dibahagikan kepada beberapa zon iatu Muzium Utama, Muzium Maritim, Muzium Perikanan, empat rumah tradisional dan taman botani dan herba. Manakala, hasil-hasil pameran yang ada adalah seperti tekstil, mesin tenunan, senjata tradisional, kraftangan, pembangunan petroleum, seni Islam dan seni kontemporari tempatan. Di pintu utama kompleks utama ada diletakkan Batu Bersurat Terengganu asli menyambut kedatangan tetamu yang datang. Pastinya peminat-peminat sejarah akan menghargai lawatan ke muzium ini dengan pelbagai yang ada dan boleh menghabiskan satu hari melawatnya.

Alamat:

  • Bukit Losong, 20566 Darul Iman, Terengganu

Waktu Buka:

  • 9.00pagi-5.00petang (Isnin-Ahad)

Tiket:

  • RM5 (Warganegara Malaysia Dewasa)
  • RM15 (Warganegara Asing Dewasa)
  • RM2 (Warganegara Malaysia Kanak-Kanak)
  • RM10 (Warganegara Asing Kanak-Kanak)

25. Taman Tamadun Islam

Salah satu tarikan baru di Terengganu ialah Taman Tamadun Islam yang memaparkan replika dari 22 monumen terkenal dari dunia Islam. Ia dibuka pada tahun 2008 di sebuah pulau di Sungai Terengganu. Taman itu berkonsepkan ‘edutainment’ dan pelawat boleh belajar tentang penyebaran tamadun Islam di seluruh dunia.¬† Dalam taman ini, ada replika dari 22 masjid dan makam Islam yang terkenal di seluruh dunia. Antara masjid-masjid yang ada adalah Masjid Al-Haram di Saudi Arabia, Masjid Sultan di Singapore dan Masjid Badshahi di Pakistan. Selain itu, ada juga kincir air dan sebuah pawagam 3D yang menayangkan perjalanan haji secara virtual. Di sekeliling taman ini, ada tarikan seperti Masjid Kristal, pusat konvensyen dan kemudahan pelayaran Sungai Terengganu. Tempat ini amat sesuai dikunjungi untuk menghargai rekabentuk-rekabentuk bangunan masjid yang berbeza dari seluruh dunia.

Alamat:

  • Pulau Wan Man, Losong Panglima Perang, 21000 Kuala Terengganu

Waktu Buka:

  • 9.00pagi-5.00petang (Jumaat-Ahad, Isnin)
  • 10.00pagi-7.00petang (Rabu-Khamis)
  • Tutup (Selasa)

Tiket:

  • RM15 (Warganegara Malaysia Dewasa)
  • RM25 (Warganegara Asing Dewasa)
  • RM15 (Kanak-Kanak)

Tempat-tempat makan yang harus dikunjungi

26. Warung Pak Nong

Percutian ke Terengganu memang wajib menikmati juadah-juadah berasaskan makanan lautnya yang segar. Warung Pok Nong merupakan sebuah perniagaan yang telah dimulakan sejak 20 tahun dahulu menyaksikan orang ramai datang berduyun-duyun untuk makan ikan celup tepung dan sotong celup tepung. Keistimewaan utama makanan di sini ialah makanannya segar-segar belaka. Warong Pak Nong amat dicadangkan kepada para pengunjung terutamanya yang pertama kali datang ke negeri Terengganu. Makanan masakan Warung Pak Nong selalunya dijamu pada waktu makan petang. Selain itu, ada juga cendol dan air batu kelapa istimewa warung ini. Warung ini menyaksikan orang ramai datang dari jauh dan tambahan lagi, untuk memesan makanan, para pengunjung akan diberi giliran. Ada kalanya, pada hari yang sibuk, para pengunjung akan menunggu sehingga satu jam untuk mendapatkan makanannya. Lokasinya di tepi pantai menambah lagi rasa makanan ditemani dengan bayu laut dan pecahan ombak.

Alamat:

  • Jalan Pantai, T145, Kampung Teliput, 21030 Kuala Terengganu, Terengganu

Waktu Buka:

  • 3.00petang-8.00malam (Rabu-Isnin)
  • Tutup (Selasa)

27. Restoran Tong Juan

Restoran Tong Juan ialah sebuah restoran Cina halal yang menyajikan masakan gaya Cina yang sangat popular di Chukai. Seperti yang diketahui, Terengganu memang dikenali sebagai syurga makanan laut kerana ianya berdekatan dengan kawasan laut. Jadi tidak hairanlah kenapa gabungan makanan laut yang segar dengan gaya masakan Cina restoran ini menjadikannya sangat popular. Dari luar, rupanya seperti sebuah kedai yang biasa tetapi di dalamnya, penuh dengan para pengunjung dari semua bahagian Terengganu yang sangat memilih dalam citarasa makanan. Ada bermacam jenis masakan seperti udang goreng dalam sos mentega, udang galah yang besar, ikan kerapu stim, pelbagai jenis sayuran dan sebagainya. Masakan instimewa restoran ini yang menjadi sebutan ramai ialah resepi ketam sumbat. Masakan istimewa ini ialah daging ketam yang diletakkan dalam cangkerang ketam dan digoreng dengan salutan tepung campuran istimewa. Kalau melawat ke sini sudah tentunya akan balik dengan rasa puas hati.

Alamat:

  • K-117, Jalan Sulaimani, Kampung Dusun Nyior, 24000 Kemaman, Terengganu

Waktu Buka:

  • 11.30pagi-3.30petang, 6.00petang-10.00malam (Sabtu-Khamis)
  • Tutup (Jumaat)

28. Restoran NR Cafe

Sebuah restoran yang sangat terkenal di Kampung Tok Jembal ialah Restoran NR Cafe. Setiap hari, restoran memang penuh dengan para pengunjung yang datang ke sini tanpa henti. Suasana restoran bertemakan keluarga, dengan meja-meja besar disediakan untuk menampung jumlah orang yang ramai sekaligus. Ada pelbagai jenis juadah disediakan yang terdiri daripada masakan Thai, Melayu dan masakan Barat pun ada. Juadah istimewa restoran ini ialah tomyam kelapa muda. Mungkin, bunyinya agak pelik untuk mencampur sup dengan air kelapa muda tetapi selepas mencubanya pasti hendak lagi. Sup tomyam dengan gabungan rasa masam, masin dan manis amat mengasyikkan. Hidangan lain yang popular ialah ikan belut dalam sup berherba. Resepi sup herba ini diwarisi secara turun-temurun oleh pemilik restoran ini. Makanan baratnya pun sangat popular dan harga yang ditawarkan amat berpatutan. Restoran ini sesak dengan para pengunjung tetapi berbaloi menunggu giliran kerana makanannya sedap belaka.

Alamat:

  • Lot 34354, Tok Jembal, Kuala Terengganu, Terengganu

Waktu Buka:

  • 12.00tengah malam-12.30tengahari, 4.30petang-12.00tengah malam (Ahad-Khamis)
  • 4.30petang-12.00tengah malam (Jumaat-Sabtu)

29. Nasi Dagang Atas Tol

Nasi Dagang Atas Tol sangat popular di Kampung Atas Tol sentiasa penuh dengan pengunjung yang datang untuk menikmati makanan tradisional ini. Nasi dimasak secukup rasa dengan tekstur dan rasa yang lazat tidak terhingga. Nasi dituang dengan kuah yang tebal penuh dengan kejutan rasa. Kari ikan adalah pedas gaya Terengganu dimasak dengan kuantiti rempah ratus yang memberikannya rasa yang asli. Satu fakta menarik di sini ialah harganya yang sangat murah, cuma RM4.00 setiap bungkus tetapi mempunyai saiz besar yang cukup mengenyangkan. Nasi dagang dihidangkan atas daun pisang menambahkan lagi rasanya yang sedap sehingga menjilat jari. Sudah tentunya, makan masakan Melayu dengan tangan adalah cara yang paling sedap untuk menikmati makanan untuk mendapatkan semua rasa-rasa rempah ratus yang digunakan. Sistem memesan pun teratur, ada dua barisan iatu barisan untuk makan di restoran atau barisan untuk membawa balik. Tiada masalah makan di sini kerana banyak tempat duduk disediakan.

Alamat:

  • T101, 20050 Kuala Terengganu, Terengganu, Malaysia

Waktu Buka:

  • 6.30pagi-10.00pagi (Selasa-Ahad)
  • Tutup (Isnin)

30. Keropok Lekor Kelulut 008

Negeri Terengganu semestinya amat terkenal dengan keropok lekor yang tersohor di seluruh negara. Perkataan ‘lekor’ sebenarnya berasal dari negeri Terengganu yang bermaksud ‘menggulung’. Ianya diperbuat daripada kisaran yang terdiri daripada campuran cebisan daging ikan, sagu, garam dan gula. Warnanya kelabu dan mempunyai rasa yang sedap. Selalunya ia digoreng ataupun dikukus. Kalau berada di Terengganu, memang wajib membeli makanan ringan ini untuk dibawa balik kepada kawan-kawan. Di Marang, sebuah tempat yang menjual makanan ringan terkenal ini ialah Keropok Lekor 008 Kelulut. Memang sedap makan keropok lekor di sini yang terletak berdekatan dengan kawasan pantai. Satu lagi keistimewaan keropok lekor di sini ialah kuantiti bahan cebisan ikan yang banyak, jadi warnanya agak kehitaman. Berbanding dengan keropok lekor di tempat-tempat lain yang selalunya berwarna lebih putih kerana kuantiti tepung adalah banyak. Ramai orang datang ke sini, dan selalunya para pengunjung kena beratur dengan panjang untuk memesan makanan mereka.

Alamat:

  • Marang Kampung Baru Ru Muda, Terengganu

Waktu Buka:

  • 9.00pagi-5.00petang (Isnin-Ahad)

Kesimpulan

Terengganu dianugerahkan dengan pelbagai khazanah alam semulajadi yang cantik dan bersih. Dari perairannya yang ada banyak pulau-pulau untuk dipilih dan pantai-pantai yang indah lagi bersih. Di bahagian pedalaman, ada hutan belantara yang masih lagi dalam keadaan asalnya tidak terkacau selama jutaan tahun. Flora dan fauna di negeri ini pun masih lagi terpelihara dengan baik. Haiwan seperti penyu kini dijaga dengan baik dan populasinya sikit demi sedikit semakin meningkat setiap tahun. Malah, para pengunjung ada peluang untuk melihat penyu dengan dekat di sini.

Negeri Terengganu pun kaya dengan tarikan kebudayaan seperti Masjid Kristal yang tersohor di serata dunia. Ada juga Kampung Cina yang semakin dikenali kerana nilai sejarahnya yang penting di Malaysia. Makana-makanan Terengganu asli sangat terkemuka kerana kesegaran bahan-bahan berasaskan lautnya. Selepas balik ke rumah setelah melancong di Terengganu pastinya akan naik badan beberapa kilo kerana ada keropok lekor, nasi dagang, sotong tepung dan sebagainya. Banyak tempat menarik di Terengganu untuk dilawati dengan seisi keluarga dan kawan-kawan.

Add Comment