Tempat Menarik Di Teluk Intan: 5 Tempat Yang Harus Dikunjungi

Tempat Menarik Di Teluk Intan – Teluk Intan dahulunya dikenali sebagai Teluk Anson ialah sebuah bandar di negeri Perak. Ianya merupakan bandar ketiga terbesar dengan populasi sebanyak 120,000 orang. Kegiatan ekonomi utama di sini ialah penanaman kelapa sawit yang kebanyakannya dimiliki oleh syarikat konglomerat Malaysia. Cara hidup di sini menarik sekali kerana ianya perlahan, tidak ada perlunya untuk tergesa-gesa menjalankan tugasan. Setiap penjuru kedai kopitiam, ada sahaja penduduknya duduk sambil berbual-bual mesra dengan kawan-kawan.

Cara hidupnya bagaikan Sungai Perak yang mengalir melaluinya perlahan-lahan membawa ketenangan jiwa. Terdapat banyak tempat menarik di Teluk Intan semestinya harus dilawati oleh pengunjung. Tarikan utamanya iatu Menara Condong Teluk Intan, seolah-olah berada di Pisa, Itali dan tambahan lagi, makanan tempatannya lazat-lazat belaka.

Tempat Menarik di Teluk Intan

Tempat Menarik Di Teluk Intan

1. Menara Condong Teluk Intan

Kalau ingin melihat menara condong, tidak perlulah pergi Pisa di Itali kerana di Teluk Intan pun ada. Apabila menara ini siap dibina pada tahun 1892, fungsi utamanya ialah sebagai tangki air untuk penduduk di sekitar Teluk Intan. Sikit demi sedikit, menara ini menjadi condong kerana bebanan tangki dan asas tanah yang lembut. Daripada luarnya, kelihatan seperti sebuah bangunan dengan 8 tingkat  tetapi sebenarnya ada 3 tingkat di dalamnya. Para pengunjung boleh menaiki 110 tangga untuk naik ke atas. Pada waktu malam, lampu berwarna-warni yang dinyalakan sangat cantik untuk diambil gambar.

Alamat:

  • Lot 1&2, Komplex Menara Condong, Jalan Bandar, Pekan Teluk Intan, 36000 Teluk Intan

Waktu Buka:

  • 8.00pagi-5.00petang (Selasa-Jumaat)
  • 9.00pagi-5.00petang(Sabtu-Ahad)

Tiket:

  • Percuma

2. Memorial Peringatan Perang Batu Bertenggek

Di persimpangan di sebuah jalan utama bandar Teluk Intan, ada sebuah memorial peringatan yang dipanggil ‘Batu Bertenggek’. Ianya dibina sebagai memperingati askar-askar yang terkorban dalam Perang Dunia Pertama. Kisahnya, seorang askar Inggeris menempatkan batu ini di atas kekakinya. Pada mula saiznya kecil sahaja seperti sebuah kotak mancis tetapi membesar sehingga menjadi saiz sebuah kereta kecil yang boleh dilihat pada hari ini. Sebuah plak dengan sebaris ayat daripada puisi Laurence Binyon menghiasi kekaki batu gergasi ini mengingatkan kisah perang. Ramai orang pergi ke sini untuk menghargai peristiwa pahit perang dan mengambil gambar-gambar cantik dengan batu unik ini.

Alamat:

  • Pekan Teluk Intan, 36000 Teluk Intan, Perak

Waktu Buka:

  • 24 Jam

Tiket:

  • Percuma

3. Restoran Udang Galah Teluk Intan

Salah satu tangkapan terkenal dari Teluk Intan ialah udang galah. Ini kerana Sungai Perak mempunyai banyak ceruk-ceruk yang sesuai untuk pembiakannya. Restoran ini menjual juadah udang galah yang paling popular di Teluk Intan. Bukan sahaja udang galah, malah ada ikan bakar, kerang dan pelbagai jenis sayuran tempatan dengan masakan gaya Melayu tradisional. Masakan udang galah boleh dimasak pelbagai cara seperti masakan kari, goreng, masak merah dan lain-lain. Tempat ini sangat popular di kalangan para pelancong kerana kualiti masakan yang sedap, sehinggakan terpaksa beratur panjang untuk makan tengahari di sini.

Alamat:

  • 1918, Jalan Sekolah, Pekan Teluk Intan, 36000 Teluk Intan

Waktu Buka:

  • 7.00pagi-6.00petang (Isnin-Sabtu)
  • Tutup (Ahad)

4. Restoran Mastan Ghani

Satu lagi restoran popular di Teluk Intan ialah Restoran Mastan Ghani. Restoran ini tersohor dengan resepi mi rebus dan rojaknya. Restoran yang diasaskan pada tahun 1961 ini sekarang ini diuruskan oleh cucu pengasas restoran ini. Kuah mi rebus diperbuat daripada bahan-bahan asas seperti cili, rempah ratus dan serbuk cili beserta dengan resepi rahsia memberi rasa yang unik dan diminati orang ramai. Bermula dengan satu kedai, kini ada beberapa cawangan di sekitar Teluk Intan. Kalau minat dengan mi rebus, pastinya para pelancong harus mencuba versi dari Teluk Intan di restoran ini. Tetapi harus datang awal supaya tidak perlu beratur panjang.

Alamat:

  • A151, Taman Antek Avenue, 36000 Teluk Intan, Perak

Waktu Buka:

  • 9.00pagi-4.00petang (Sabtu-Khamis)
  • Tutup (Jumaat)

5. Pasar Besar Teluk Intan

Kalau berkunjung ke Teluk Intan, bolehlah berkunjung ke Pasar Besar Teluk Intan yang masyur dengan jualan hasil tangkapan laut dan sungai pada harga berpatutan. Ada ikan-ikan, sotong, kerang, siput dan sebagainya ditangkap segar pada hari yang sama. Selain itu, ada dijual sayur-sayuran produk yang ditanam petani-petani tempatan. Waktu terbaik datang ke sini ialah pada waktu awal pagi buta kerana kebanyakan produk datang dari ladang atau perairan. Jadi, kalau berkesempatan berjalan ke Teluk Intan, singgahlah di sini dahulu sebelum meneruskan lagi perjalanan balik ke rumah. Belilah banyak-banyak produk segar Perak untuk dinikmati sebagai hidangan di rumah.

Alamat:

  • 1953, Jalan Putra, Pekan Teluk Intan, 36000 Teluk Intan, Negeri Perak

Waktu Buka:

  • 8.30pagi-4.40petang (Isnin-Ahad)

Kesimpulan Tempat Menarik Di Teluk Intan

Bandar Teluk Intan sememangnya mempunyai persekitaran sebuah bandar kecil yang mempunyai penduduknya bertegur sapa mesra apabila mendapati ada para pelancong datang melawat bandar ini. Apabila berkunjung ke sini, haruslah datang dengan fikiran terbuka dan menerima apa yang seadanya iatu ketenangan dan keamanan persekitarannya yang perlahan hidupnya. Pasti ianya sebuah terapi yang menyejukkan hati, sambil-sambil melawat ke menara condong mengambil gambar-gambar terutamanya waktu malam apabila ianya dicahayai lampu-lampu warna-warni.

Pada siangnya amat sesuai untuk berjalan-jalan menghirup udara segar yang kurang pencemaran dan mencuba makanan tempatan yang segar-segar belaka yang datang dari Sungai Perak seperti udang galah gergasinya. Kesemua tempat menarik di Teluk Intan gah menanti-nantikan para pelancong datang melawatnya dengan tangan terbuka.

Add Comment