Tempat Menarik Di Selangor: 30 tempat best untuk dikunjungi

Tempat menarik di Selangor – Negeri Selangor boleh dihuraikan dalam beberapa patah perkataan iatu moden, bergaya, eklektik dan dan yang paling penting, 100% hiburan. Negeri Selangor ialah negeri mempunyai penduduk paling ramai pada 5.8 juta orang. Manakala ekonominya ialah yang terkaya di Malaysia dengan taraf hidup paling tinggi antara semua negeri. Sektor pelancongan di sini sangat maju dengan pelbagai pilihan-pilihan kegiatan pelancongan yang unik. Hiburan-hiburan yang ditawarkan bertaraf antarabangsa dan bukan sahaja menarik pelancongan dari Malaysia, malah dari luar negara juga. Terdapat tempat-tempat menarik di Selangor yang semestinya harus dilawati terutamanya tarikan-tarikan di bandarayanya.

Semuanya memang berbaloi kerana ada antaranya unik seperti aktiviti terjun udara tertutup dan penginapan seperti hotel dengan bangunan kontener yang hanya boleh dijumpai di negeri ini. Manakala, pilihan-pilihan bertemakan muzik, filem, aktiviti riadah seisi keluarga, tempat penginapan yang unik dan sebagainya amat senang untuk ditunaikan di Selangor. Banyak aktiviti boleh dilakukan dan senarai ini hanya boleh memuatkan beberapa aktiviti pelancongan yang terbaik di Selangor. Selangor pastinya akan diminati para pelancong yang berjiwa bandar dan sentiasa mencari-cari tempat yang memberi kepuasan serta-merta. Oleh itu, mari kita lihat apa yang ada di Selangor.

Tempat Menarik di Selangor

Tempat bergambar wajib dimuat naik ke media sosial

1. Empire Damansara, Damansara

Empire Damansara merupakan sebuah pembangunan dengan penggunaan bercampur yang dibuka pada tahun 2013 yang mempunyai komponen tempat komersil, pangsapuri, zon artistik dan hotel. Kompleks komersilnya dibina berkonsepkan seni di setiap penjuru. Kalau berada di sini, pastinya akan melihat pelbagai arca-arca dan pemasangan seni khas. Tambahan lagi lokasinya berlatarbelakangkan bukit menghijau menambah lagi efek visual. Rekabentuk bangunan pun menarik menggabungkan konsep moden dan kolonial. Bangunan-bangunan tinggi dihiasi lampu-lampu bertukar warna memberi pencahayaan dramatik pada waktu malam. Kebanyakan lot komersil disewa oleh kafe-kafe dan restoran-restoran moden dan bergaya. Terdapat banyak sudut-sudut yang cantik untuk mengambil gambar, samada sambil makan ataupun kalau cuma berada di situ untuk mencuci mata sahaja. Satu bangunan yang mempunyai rekabentuk istimewa ialah Pusat Seni Persembahan DPAC yang berbentuk bongkah tidak sekata yang dihiasi dengan taman tergantung pada permukaan dindingnya.

Alamat:

  • Jalan PJU 8/8A, Damansara Perdana, 47820 Petaling Jaya, Selangor

Facebook:

Waktu Buka:

  • Ruang legar buka 24 jam

2. The Atmosphere, Seri Kembangan

Beralih ke Seri Kembangan, ada sebuah pusat komersil yang dipanggil ‘The Atmosphere’. Tetapi, apa yang unik di sini ialah seni-seni mural 3D di bahagian yang dipanggil ‘Artsphere 20/8ty’. Terdapat 80 lukisan-lukisan mural yang dilukis oleh 20 orang artis-artis tempatan. Lukisan menonjol menggunakan ciri-ciri seperti permukaan dinding yang luas, tiang-tiang dan lantai untuk lukisan-lukisan kreatif. Contohnya, ‘Staircase’ yang dilukis oleh Angel Ng menggunakan permukaan lantai untuk menyerlahkan rupa bentuk sebuah tetangga dalam perspektif 3D apabila dipanding dari sudut tertentu. Satu lagi ialah sebuah lukisan piano dilukis pada sebuah tiang sokongan lampu bangunan disambung dengan tiang fantasi , memberi ilusi seolah-olah pemain piano bermain di bawah tiang lampu. Pastinya para pengunjung akan menghabiskan banyak masa untuk mengambil gambar dengan 80 lukisan-lukisan mural di sini. Ada banyak kedai-kedai makan dan minum di sekeliling boleh singgah selepas penat mengambil gambar tipu helah 3D yang menarik.

Alamat:

  • Pusat Perniagaan The Atmosphere, Jalan Putra Permai, 43300 Seri Kembangan

Laman Web:

Waktu Buka:

  • 8.00pagi-10.00malam

3. Laman Seni 7, Shah Alam

Manakala di Shah Alam pula, jalan-jalan belakang pusat komersil diubahsuai menjadi galeri seni jalanan untuk orang ramai. Projek ini dipelopori oleh majlis perbandaran tempatan untuk menghidupkan zon yang dahulunya kusam dan tanpa apa-apa yang menarik. Kini, ianya menjadi tarikan para pelancong untuk mendapatkan gambar-gambar yang kreatif dan cantik. Permukaan dinding, lantai jalan dan tiang-tiang bangunan digunakan sebagai kanvas seni jalanan. Tema-tema seni jalanan ini dibahagikan kepada empat jenis iatu Lukisan 3D, Pemasangan Seni 3D, Perabot Jalanan dan Lukisan di Tapak Lukisan. Seni-seni lukisan dipilih dengan teliti sebelum ianya dibenarkan dilukis selepas pemenangnya dipilih daripada satu pertandingan yang telah dianjurkan oleh majlis perbandaran. Kalau ke sini, pasti akan menghabiskan masa berjam-jam lamanya untuk mendapatkan gambar-gambar paling kreatif untuk ditunjuk-tunjukkan kepada kawan-kawan di rumah. Lagipun, perjalanan ke sini percuma tidak perlu membayar apa-apa kerana ianya adalah kawasan awam. Tambahan lagi, ianya dibuka 24 jam.

Alamat:

  • Jalan Plumbum R7/R, Seksyen 7, 40000 Shah Alam, Selangor

Waktu Buka:

  • 24 Jam

4. Cermin Laut (Sky Mirror), Sekinchan

Cermin Laut Sekinchan, (Sky Mirror) ialah salah satu tarikan pelancong yang baru di Selangor dan kini semakin popular. Kalau ke sini memang cantik untuk mengambil foto-foto yang menarik perhatian. Cermin laut ini sebenarnya ialah pembentukan beting pasir semasa pasang surut air pada hari-hari tertentu mengikut kalendar Cina iatu pada hari 1,2,14,15,16 dan 30. Beting pasir ini muncul kerana air di sekeliling cetek. Apabila terbentuknya beting pasir, permukaan tanahnya basah dan ia memantulkan imej yang sebati dengan langit biru. Fenomena ini menghasilkan pemandangan seakan-akan permukaan langit biru dan permukaan tanah bersambung antara satu sama lain. Ramai pengunjung suka mengambil gambar yang boleh dimuatnaik ke laman sosial. Sebelum pergi ke sini, para pengunjung perlu menelefon dahulu. Pihak pengendali turut menyediakan prop-prop untuk mengambil gambar-gambar yang kreatif.

Alamat:

  • Jeti Pekan Lama Kuala Selangor, 45000 Kuala Selangor , Selangor

No Telefon:

  • 019-266 6665

Laman Web:

Waktu Buka:

  • 6.30pagi-1.00petang (Bergantung kepada musim air surut)

Tiket:

  • RM80 (Telefon dahulu untuk tempahan)

5. Pulau Ketam

Pulau Ketam menyediakan satu persekitaran yang jauh berbeza daripada bangunan-bangunan tinggi yang melakari pemandangan tipikal di negeri Selangor. Ianya terletak di Klang dan merupakan sebuah pulau perkampungan nelayan yang mempunyai penduduk berjumlah kira-kira 6,000 orang. Tiada perkhidmatan jalan darat ke sini, ianya hanya boleh dilalui dengan menggunakan perkhidmatan bot dari Jeti Pelabuhan Klang. Walaupun kelihatan agak senyap tetapi ada banyak pemandangan-pemandangan yang indah boleh diambil gambar di sekelilingya. Tambahan lagi, untuk menjelajah pulau ini, satu-satunya cara ialah berbasikal kerana tiada kereta digunakan di pulau. Terdapat banyak mural-mural yang dilukis oleh artis tempatan pada rumah-rumah atau lot-lot komersil yang unik kerana pemandangan yang berlatarbelakangkan rumah tradisional di atas tiang. Orang yang melihat gambar-gambarnya di laman sosial mungkin akan menganggap ianya diambil di negeri lain, bukannya di Selangor kerana persekitarannya yang sangat berbeza. Perjalanan dari jeti ke pulau mengambil masa selama 35 minit.

Alamat:

  • Jalan Foresore, Kawasan 20, 42000 Pelabuhan Klang, Selangor

Waktu Buka:

  • 7.00am-7.00pm (Isnin-Ahad)

Tiket:

  • RM8 (Dewasa)
  • RM5 (Kanak-kanak)

6. Batu Caves

Batu Caves ialah sebuah kompleks kuil yang terdiri daripada 3 gua utama iatu Gua Kuil, Gua Galeri Seni dan Gua Muzium. Pemandangan gua-gua yang luas lagi dramatik ini menjadi pilihan tempat yang popular mengambil swafoto di Selangor. Untuk naik ke puncak gua pula, pengunjung perlu menaiki 272 anak tangga. Malah, flora dan fauna di sini juga adalah tarikan pelancong dengan pelbagai jenis haiwan seperti lelabah liphistiidae, kelawar buah, monyet dan sebagainya. Sebuah patung Dewa Murugan yang dibina yang tertinggi di dunia setinggi 42 meter ialah satu tarikan yang harus diambil gambar. Pada hari perayaan Thaipusam ianya menyaksikan lebih satu juta penganut agama Hindu dari seluruh pelosok dunia. Pada hari Thaipusam, pengunjung berpeluang untuk menyaksikan pemandangan-pemandangan berjutaan orang penganut agama Hindu berarak dengan kavadi. Banyak gambar-gambar cantik boleh diambil pada hari ini dengan kepelbagaian warna-warna upacara keagamaan penganut Hindu.

Alamat:

  • Kompleks Kuil Batu Caves , Gombak, 68100 Batu Caves, Selangor

Waktu Buka:

  • 6.00pagi-9.00malam (Isnin-Ahad)

Tiket:

  • Percuma untuk ke kuil utama

Tempat-tempat beriadah tertutup

7. Camp5, Bandar Utama

Kini, tidak perlu lagi bimbang dengan hujan atau panas apabila melakukan aktiviti beriadah kerana banyak tempat tertutup dibina dengan kemudahan beriadah yang serupa dengan yang di luar. Satunya ialah pusat pendakian dinding batu tertutup Camp5 dalam bangunan pusat beli-belah One Utama. Ia mempunyai dinding pendakian buatan yang tertinggi di negara Malaysia. Tambahan lagi, semua denai pendakian lebih selamat kerana ada alas keselamatan di bahagian lantainya. Para pelancong bolehlah berkunjung ke sini berjinak-jinak dalam sukan pendakian untuk pengalaman percutian yang berbeza. Ada pelbagai jenis denai yang berlainan tahap kesukarannya. Untuk yang pertama kali, ada denai yang senang yang boleh dinaiki anak-anak kecil. Para pelatih di sini amat prihatin dengan keperluan para peserta dan akan menolong jika ada apa-apa masalah.

Alamat:

  • Floor, 1, Lebuh Bandar Utama, Bandar Utama, 47800 Petaling Jaya, Selangor

Laman Web:

Facebook:

Waktu Buka:

  • 2.00petang-11.00malam (Isnin-Jumaat)
  • 10.00pagi-8.00malam (Sabtu-Ahad)

Tiket:

8. Taman Trampolin Jumpstreet

Apa kata kalau kita pergi berlompat-lompatan dan berlari-larian tanpa mencederakan diri? Selalunya kalau melakukan aktiviti luaran, kita kenalah berhati-hati agar tidak jatuh ke atas permukaan keras. Tetapi di Taman Trampolin Jumpstreet, pengunjung boleh melompat-lompat di atas trampolin dan terjun ke dalam bongkah-bongkah berbusa. Kalau membawa anak-anak sekeluarga memang suatu aktiviti yang menyeronokkan bukan sahaja untuk anak-anak, malah ibu bapa pun boleh menyertainya. Tarikan yang paling menyeronokkan ialah ‘The Main Court’ iatu gelanggang trampolin sebesar 9,000 kaki persegi yang dibina atas permukaan lantai sehingga sebahagian dinding untuk membolehkan aksi-aksi gaya bebas dilakukan. Tarikan-tarikan yang lain seperti gelanggang ‘dodgeball’, beg udara gergasi dan sebagainya. Selain meluangkan masa bersama-sama yang tersayang, ia juga satu aktiviti yang menyihatkan badan dan melepaskan tekanan diri. Selepas penat bermain, sebuah kafe ada disediakan untuk menggantikan tenaga yang sudah habis digunakan seharian bermain.

Alamat:

  • Lot No 8A, Jalan 13/6, Seksyen 13, 46200, Petaling Jaya, Selangor

Laman web:

  • https://jumpstreetasia.com/

Facebook:

  • https://www.facebook.com/JumpStreetAsia/

Waktu Buka:

  • 10.00pagi-9.00malam

Tiket:

  • RM27(Seorang)
  • RM5(Stoking)

9. Kidzania

Pusat pendidikan kanak-kanak ini terletak di Mutiara Damansara, Selangor merupakan salah satu daripada 24 cawangannya di dunia dan satu-satunya di Malaysia. Aktiviti utama di sini ialah peluang untuk kanak-kanak berusia antara 1 sehingga 14 tahun mengisi fantasi mereka melakukan pekerjaan orang dewasa. Ada 60 stesen pekerjaan yang mempunyai 100 jenis aktiviti-aktiviti untuk si kecil. Stesen-stesen pekerjaan seperti jurutera, doktor, pakar bedah dan sebagainya ada disediakan. Pengalaman seperti ini mendedahkan kepada anak-anak pekerjaan yang boleh mereka lakukan apabila menjadi dewasa kelak. Lagipun, pada sesi aktiviti, kanak-kanak memakai baju seragam bertemakan pekerjaan di setiap stesen dan sesuai mengambil video atau gambar untuk kenangan. Setiap stesen ada aktivitinya dikendalikan oleh pekerja-pekerja terlatih. Ibu bapa juga ada aktiviti-aktiviti interaktif seperti menyanyi karaoke dan sesi ‘Parent-Kid Play’.

Alamat:

  • Curve NX, 18, Jalan PJU 7/5, Mutiara Damansara, 47810 Petaling Jaya

Laman Web:

Facebook:

Waktu Buka:

  • 10.00pagi-5.00petang (Ahad-Jumaat)
  • 10.00pagi-7.00malam (Sabtu-Ahad),(Cuti Sekolah)

Tiket:

4. Pusat Permainan Snookball Snook

Bayangkan bermain permainan pool tetapi pada skala gergasi dan menggerakkan bola pool menggunakan sepakan kaki, inilah pengalaman akan didapati di Pusat Permainan Snookball ini. Permainan ini sudah menjadi popular di beberapa tempat di dunia seperti di Amerika Syarikat, China dan sebagainya. Permainan ini boleh dimainkan oleh semua umur tanpa had. Aturan gelanggangnya pun nampak comel kerana serupa dengan sebuah meja pool gergasi. Para pelancong bolehlah berkunjung ke sini yang merupakan satu-satunya pusat permainan snookball di Malaysia. Kalau tidak pandai bermain, ada pekerja-pekarja terlatih yang akan mengajar para peserta tentang peraturan-peraturan bermain. Tetapi kalau hanya ingin bermain-main tanpa mengikut peraturan hanya sekadar berhibur dengan kawan-kawan pun tiada masalah. Bilangan gelanggang yang ada cukup untuk semua pengunjung. Tempat ini terletak dalam bangunan tertutup, jadi tidak perlulah bimbang hujan atau panas.

Alamat:

  • Evolve Concept Mall,Jalan PJU 1A/4, Ara Damansara, 47301 Petaling Jaya, Selangor

Laman Web:

Facebook:

Waktu Buka:

  • 10.00pagi-10.00malam (Isnin-Ahad)

Tiket:

  • RM36 (Waktu puncak)
  • RM28 (Luar waktu puncak)

5. Permainan Laser Galactic

Bayangkan bermain tembak-menembak dalam persekitaran yang futuristik yang disinari lampu-lampu neon untuk menunjukkan struktur-struktur di sekitar kawasan. Inilah permainan laser di Galactic Laser, yang mempunyai objektif memburu pihak musuh dalam gelap yang cuma disinari dengan lampu-lampu neon. Permainan ini memerlukan daya pengelihatan yang kuat kerana pergerakan orang lain hanya boleh dilihat dalam bentuk lembaga yang bergerak dalam kegelapan. Cahaya daripada lampu neon hanya membantu dengan sipi-sipi sahaja. Satu tembakan diberi satu markah, jadi pemenang permainan adalah berdasarkan jumlah tembakan yang kena pada sasaran. Selain itu, ada beberapa permainan lain boleh dicuba selain permainan laser. Para pelancong yang datang ke Selangor boleh mempertimbangkan untuk datang ke sini sebagai satu destinasi pelancongan terutamanya kepada golongan muda. Satu pengalaman yang menyeronokkan sebagai kenangan manis melancong di Selangor.

Alamat:

  • Sunway Pyramid Mall, No. 3 Jalan PJS11/15, 46150, Petaling Jaya, Selangor

Facebook:

Waktu Buka:

  • 10.00pagi-10.00malam (Ahad-Khamis)
  • 10.00pagi-11.00malam (Jumaat-Sabtu)

Tiket:

6. Funtopia Courtyard

Satu lagi tempat tertutup yang boleh dilawati pelancong di Selangor ialah ‘Funtopia Courtyard’ di Subang Jaya. Tempat ini amat sesuai untuk keluarga dengan anak-anak remaja. Banyak permainan di sini sangat mencabar minda terutamanya kepada yang takut kepada tempat-tempat tinggi. Permainan-permainan yang ada mengajar anak-anak untuk menjadi berani mencuba sesuatu yang baru. Setiap struktur pemanjatan ada tema-tema haiwan seperti zirafah dan dinasour yang menarik perhatian. Ada lebih daripada 50 pemanjatan yang boleh dicuba oleh para pengunjung. Keselamatan diri diambil secara teliti kerana setiap orang peserta wajib menggunakan helmet dan tali keselamatan. Tambahan lagi, aktiviti-aktiviti sangat baik untuk kesihatan kerana para peserta sangat aktif dalam pergerakan untuk mengemudi dalam struktur permainan. Malah, kalau bercuti ke Selangor untuk menyambut hari jadi anak-anak, syarikat ini turut menyediakan pakej khas hari jadi.

Alamat:

  • Funtopia Courtyard Mall, Jalan SS15/4G, SS15, 47500 Subang Jaya

Facebook:

Waktu Buka:

  • 12.00tengahari-10.00malam (Isnin-Jumaat)
  • 10.00pagi-10.00malam (Sabtu-Ahad)

Tiket:

Tempat-tempat diminati peminat filem dan muzik

1. Ruang Filem Amenic

Amenic ialah ejaan perkataan ‘cinema’ yang bermaksud filem dalam Bahasa Melayu ialah sebuah ruang menonton filem peribadi yang pertama di Selangor. Bilik-bilik menonton peribadi dilengkapi dengan kelengkapan seperti televisyen skrin besar dengan sistem bunyi terbaik. Malah, ada sofa ‘beanbag’ dan selimut yang sangat selesa. Sebuah bilik boleh memuatkan 12 orang sekaligus. Pilihan-pilihan filem termasuk dalam harga tiket, jadi bolehlah memilih daripada 150 filem yang ada di dalam katalog mereka. Pihak pengurusan cuba untuk membuat suasana di sini seperti sebuah pawagam. Oleh itu, kaunter penjualan makanan-makanan pawagam seperti biji bertih, air bergas dan gula-gula manis turut disediakan. Kalau berpeluang melawat Selangor, bolehlah datang ke sini untuk mengalami sendiri pengalaman menonton filem secara peribadi bersama kawan-kawan. Kadang-kala ada dianjurkan sidang media berkaitan industri filem.

Alamat:

  • 73A, Jalan SS20/11, Damansara Kim, Petaling Jaya, Malaysia

Facebook:

Waktu Buka:

  • 5.30petang-10.00malam (Rabu-Isnin)
  • Tutup (Selasa)

Tiket:

2. Pawagan Helipad

Untuk peminat filem, pengalaman menyaksikan filem dalam suasana yang unik sentiasa dicari-carikan. Di Pawagam Helipad ini, para penonton boleh menyaksikan filem pada ruang terbuka di tingkat helipad bangunan ‘First Avenue’ di Selangor. Ini merupakan ruang penayangan filem di atas ‘helipad’ pertama di dunia. Aktiviti penayangan filem ini telah dilancarkan sejak tahun 2016 mendapat sambutan hangat. Sebuah skrin tayangan gergasi sementara didirikan untuk pengalaman menonton filem ini. Para pengunjung turut disediakan dengan makanan ringan dan sofa ‘beanbag’ untuk setiap seorang. Sebenarnya, ruang ‘helipad’ ini pada hari-hari biasa ialah sebuah restoran mewah ruang terbuka. Memang cantik pemandangan di sini kerana boleh melihat sehingga ke bandaraya Kuala Lumpur dengan sinaran-sinaran kota menyinari. Tambahan pula, angin bertiup menambah lagi suasana malam sambil menikmati filem yang ditayangkan. Para pengunjung ke Selangor harus pergi ke sini sekurang-kurangnya sekali untuk menikmati pengalaman ini.

Alamat:

  • 1 First Avenue Bandar Utama, 47800 Petaling Jaya, Malaysia

Laman web:

Tiket:

  • RM55 (Seorang)
  • Sila semak laman web untuk jadual tayangan filem

3. TGV Indulge Gourmet Cinema

Selalunya, apabila menonton wayang di pawagam, para pengunjung akan berkongsi barisan tempat duduk dengan orang ramai. Ada kalanya ada, ada yang akan berjalan melepasi tempat duduk dan ada kalanya, ada yang membuat bising apabila filem tengah ditayangkan. Inilah antara karenah-karenah penonton-penonton dalam sebuah panggung wayang yang biasa. Tetapi di TGV Indulge Gourmet Cinema, pengalamannya berbeza sekali. Ia merupakan panggung wayang mewah yang pertama di Selangor memaparkan dua buah bilik tayangan yang boleh memuatkan hanya 32 dan 40 orang satu masa. Apabila masuk ke ruang sambutan, para pengunjung disambut dengan mesra oleh pekerja-pekerja di situ. Setiap orang diberi layanan peribadi dengan perkhidmatan pelayan peribadi disediakan untuk apa-apa permintaan. Pengunjung boleh memilih untuk makan makanan mewah sambil menonton filem-filem terbaru. Ini satu lagi tarikan pelancong di negeri Selangor yang prihatin terhadap kemahuan para pelanggan untuk memberikan mereka yang terbaik.

Alamat:

  • TGV, One Utama Mall, Lebuh Bandar Utama, Bandar Utama, 47800 Petaling Jaya, Selangor

Laman Web:

Tiket:

  • RM79 (Seorang)

4. Minut Init

Pengalaman muzik, filem dan seni di bandar-bandar kecil kadang-kala amat terhad. Gayanya membosankan dan tidak menarik perhatian. Minut Init ialah sebuah ruang seni yang menyerlahkan bakat-bakat tempatan yang kurang dikenali di arena hiburan Malaysia. Hiburan-hiburan yang ada bukanlah jenis konvensional tetapi mengetengahkan sesuatu yang unik dan lain daripada yang lain. Terdapat banyak acara-acara muzik menarik dianjurkan oleh mereka, jadi kenalah mengikuti mereka di laman web. Bukan sahaja acara-acara muzik malah ada juga pameran-pameran seni fotografi, seni arca, bengkel seni dan sebagainya yang dianjurkan. Semua acara-acara bukan sahaja berasal dari Malaysia, malah dari luar negara pun membuat pameran-pameran mereka di sini. Tempat ini dibuka pada tahun 2010 dan semakin berkembang setiap tahun. Untuk peminat-peminat seni moden tempatan, bolehlah berkunjung ke Minut Init di Selangor untuk melihat sesuatu yang baru. Premis bangunan ini terletak di ‘Uptown Damansara’ iatu sebuah kawasan hiburan yang terkenal di Selangor.

Alamat:

  • Jalan SS21/37, Uptown Damansara Utama, 47400 Petaling Jaya, Malaysia, Selangor

Laman Web:

Facebook:

5. Merdekarya

Merdekarya pula ialah sebuah premis untuk menyerlahkan bakat-bakat tempatan yang tidak dikenali untuk memberi peluang kepada mereka untuk melakukan persembahan. Konsepnya menarik kerana artis-artis dibayar secara sukarela. Sebuah balang tip disediakan pada setiap persembahan oleh artis-artis. Para pengunjung boleh memberi apa-apa jumlah tip tetapi jumlah yang dicadangankan adalah RM10 setiap persembahan. Ada persembahan setiap malam untuk tontotan orang ramai. Seorang artis utama akan mengambil majoriti slot masa di samping beberapa orang penyanyi-penyanyi. Konsep pentas di sini adalah senang, minimalistik dan tidak berpura-pura. Acara bintang setiap hari ialah persembahan nyanyian penyanyi tempatan yang dipilih secara teliti oleh pihak penganjur untuk memastikan semua pengunjung akan dihiburkan. Makanan dan minuman turut disediakan. Satu perkara yang menarik mengenai tempat ialah kawasannya sebuah kawasan perumahan yang seperti tiada apa-apa sangat tetapi di dalam premis penuh dengan para pengunjung.

Alamat:

  • 352 (First Floor), Jalan 5/57, Bukit Gasing, 46000 Petaling Jaya, Selangor

Laman Web:

Facebook:

Waktu Buka:

  • 6.00petang-1.00pagi (Selasa-Sabtu)
  • Tutup (Ahad-Isnin)

Tiket:

  • Bayar secara sukarela

6. The Bee

The Bee ialah sebuah restoran dan pentas nyanyian secara lansung yang terkemuka di Selangor. The Bee sangat terkenal dengan makanan barat mereka di Petaling Jaya terutamanya menu burger, pizza dan pencuci mulut. Sambil makan makanan yang sedap, para pengunjung boleh menikmati hiburan secara lansung yang dimainkan. Malah pentas nyanyian mereka telah dibarisi beberapa artis luar negara yang terkenal. Persembahan pentas di sini istimewa kerana para pengunjung boleh menikmati muzik secara dekat dengan artis-artis yang melakukan persembahan. Harga tiket agak tinggi tetapi berbaloi kalau sangat meminati artis yang melakukan persembahan. Tetapi kalau hanya ingin melihat sebuah persembahan di pentas, ada juga yang percuma bergantung kepada hari persembahan. Restoran ini terletak di Jaya One yang juga ialah pusat hiburan yang terkemuka di Selangor. Oleh itu, para pengunjung ke sini boleh mencuci mata melihat persekitarannya sambil meluangkan masa bersama-sama yang tersayang.

Alamat:

  • 2A-G, Block K, 72A Jalan Universiti, Seksyen 13, 46200, Selangor

Facebook:

Waktu Buka:

  • 9.00pagi-11.00malam (Isnin-Khamis)
  • 9.00pagi-12.00tengahmalam (Jumaat-Sabtu)
  • 10.00pagi-10.00malam (Ahad)

Tempat-tempat menarik di Selangor: Tempat-tempat unik untuk dilawati

1. Aviax: Pengalaman Simulator Penerbangan Udara

Adakah anda mempunyai fantasi menjadi seorang juruterbang tetapi tidak ada kesempatan untuk menaiki kokpit pesawat? Jawapannya ada di Aviax yang membenarkan fantasi itu menjadi realiti yang membenarkan para pengunjung menaiki kokpit kapal terbang simulasi yang dikelilingi jendela-jendela simulasi seolah-olah berada di awang-awangan. Setiap alat kawalannya adalah seperti yang terdapat dalam sebuah kapal terbang. Semua orang boleh menjadi peserta tidak kira berumur 8 tahun atau 80 tahun. Untuk kanak-kanak kecil memang menyeronokkan kerana boleh berpakaian seperti seorang juruterbang dan berangan-angan seperti orang dewasa. Mereka ada menganjurkan Program ‘Junior Pilot’ untuk para pelajar yang berumur antara 12-18 tahun yang mengajar teori-teori penerbangan, komunikasi di udara dan sebagainya. Ini satu pengalaman yang menarik dan mendedahkan kanak-kanak remaja secara mendalam industri penerbangan. Memang berbaloi membawa anak-anak ke sini.

Alamat:

  • B2-13-1, Level 1, SPACE U8 Mall, Seksyen U8, Bkt Jelutong, Shah Alam

Facebook:

Tiket:

  • RM150 (30 minit)
  • RM250 (60 minit)

2. Pusat Terjun Bebas Air Rider

Bagaimana pula aktiviti terjun bebas? Aktiviti ini yang sebenar sangat berisiko, malahan boleh memudaratkan jika ada apa-apa kemalangan berlaku. Tetapi kini, sebuah pusat simulasi terjun bebas tertutup telah dibuka di One Utama. Jadi, bolehlah menikmati keadaan jatuh bebas dalam sebuah bekas tertutup tanpa bimbang terhadap apa-apa kecederaan. Dalam bekas tertutup ini, sebuah terowong angin bertiup dari bahagian lantai menegak ke atas. Bekas ini setinggi 10 meter dan berdiameter 12 kaki meniup angin sekencang 250 kilometer sejam. Pengalaman ini amat seronok kerana boleh merasai perasaan berterbangan di udara tanpa apa-apa sokongan. Pihak pengurusan ada menyediakan pelbagai pakej malah untuk seisi keluarga pun ada. Sejak pembukaannya pada 2017, sambutan sangat memberansangkan daripada orang ramai.

Alamat:

  • Lot S221 & S601, Second Floor, 1 Utama E, Lebuh Bandar Utama, Bandar Utama, 47800 Petaling Jaya, Selangor

Laman Web:

Facebook:

Waktu Buka:

  • 10.00pagi-10.00malam (Ahad-Khamis)
  • 10.00pagi-10.30malam (Jumaat-Sabtu)

Tiket:

  • Harga tiket bermula daripada RM35. Sila semak laman web untuk harga semasa: https://airrider.my/packages

3. Ohsum Mossum Terarriums

Tema-tema pelancongan ada banyak, ada yang ingin melihat tempat kebudayaan, mencuba makanan tempatan atau membeli belah. Apa kata mencuba satu kegiatan pelancongan yang sangat unik iatu membina ‘terrarium’ sendiri? ‘Terarrium’ ialah sebuah taman kecil yang dibina di dalam sebuah bekas atau balang gelas yang kecil dan boleh dibawa ke mana-mana. Di pusat kraf ‘terrarium’ ini, orang ramai akan diajar cara-cara membina ‘terrarium’ sendiri. Perkara-perkara yang diajar ialah seperti cara-cara penjagaan, jenis-jenis tumbuh-tumbuhan yang boleh digunakan dan sebagainya. Penganjur akan menyediakan bahan-bahan yang diperlukan kepada orang yang pertama kali melakukan aktiviti ini. Terdapat banyak jenis ‘terrarium’ yang ada, jadi bolehlah belajar membuatnya secara sendiri. Tambahan pula, kraf ‘terrarium’ ini sesuai dijadikan buah tangan untuk kawan-kawan selepas balik bercuti dari Selangor.

Alamat:

  • 15-1, Jalan PJU 1/3F, Sunwaymas Commercial Centre, 47301 Petaling Jaya, Malaysia

Laman Web:

Facebook:

Waktu Buka:

  • Pihak penganjur cuma membuat kursus pada hari-hari tertentu bermula dari RM230 seorang. Sila semak laman web untuk jadual semasa: https://ohsummossum.com/calendar/

4. Minnature

Apa kata kalau pergi melawat sebuah tarikan unik iatu sebuah taman ‘miniature’ kerdil cetakan yang terbesar di Asia dan ketiga di dunia? Di sini, semuanya dibina bersaiz ‘miniature’ dan sangat seronok untuk dilihat terutamanya ketelitian kerja-kerja tangan orang yang membinanya. Saiz kawasan pameran berukuran 17,000 kaki cukup untuk berjalan-jalan seharian melihat hasil tangan mengagumkan. Kebanyakan hasil kerja bertemakan bangunan-bangunan terkenal Malaysia seperti Menara Kuala Lumpur, KLCC, Bangunan Sultan Abdul Samad dan sebagainya. Sesetengah model seperti kereta api dan volkano mempunyai fungsi-fungsi interaktif yang mempersonakan para pengunjung. Pameran-pameran ‘miniature’ sering ditambah kerana ada pembinaan baru setiap masa. Tempat ini sangat menarik terutamanya kepada anak-anak kecil. Ada juga lawatan dengan penerangan mengenai pameran-pameran di situ kalau ingin mengetahui lebih lanjut tentangnya. Selain itu, bengkel membuat ‘miniature’ ada di dalam kawasan pameran untuk melihat alatan-alatan yang digunakan.

Alamat:

  • Lot 4.03A & 4.05, Level 4, The Summit Subang, Subang Jaya

Laman Web:

Facebook:

Waktu Buka:

  • 10.00pagi-10.00malam (Isnin-Ahad)

Tiket:

  • RM28 (Dewasa)
  • RM15 (Kanak-kanak)
  • RM15 (Warga emas)

5. Kompleks Pelancongan Kelip-Kelip Kampung Kuantan

Kompleks pelancongan ini terletak kira-kira sejam perjalanan dari pusat bandaraya Kuala Lumpur. Pengalaman melihat kelip-kelip ini adalah sekali seumur hidup kerana ianya adalah antara yang terbesar di dunia. Keindahan ini boleh dilihat pada waktu malam sahaja, apabila ribuan kelip-kelip keluar untuk menyuap cecair getah pokok berembang yang tumbuh semulajadi di tebing Sungai Selangor. Kelip-kelip ini mengeluarkan cahaya setiap 3 saat menerangi malam seperti lampu-lampu neon semulajadi. Para pengunjung akan dibawa menaiki sampan secara tradisional tanpa enjin supaya tidak menganggu persekitaran kelip-kelip. Pemandangannya amat indah bagaikan sebuah kanvas malam dengan cahaya-cahaya si kerdil kelip-kelip. Malah, tiada apa-apa pembangunan manusia di sekitarnya supaya tidak menganggu ekosistem kelip-kelip ini. Ramai para pengunjung datang ke sini, jadi kenalah datang awal sedikit untuk mengelak kesesakan orang ramai. Semua pengunjung dari dalam dan luar negara datang ke sini menyaksikannya sendiri fenomena keindahan alam ini.

Alamat:

  • Kompleks Pelancongan Kelip-Kelip ,Kampung Kuantan, 45000 Batang Berjuntai, Selangor

Waktu Buka:

  • 7.30pagi-10.30petang (Isnin-Ahad)

Tiket:

  • RM53 (Bot untuk 4 orang)

6. Lawatan ke kilang Gardenia

Apabila menyebut tentang jenama Gardenia, sudah tentunya satu Malaysia tahu jenama yang paling laris ini. Roti Gardenia sudah menjadi pilihan orang ramai sejak zaman kemerdekaan lagi kerana rasanya yang sedap,murah dan berkualiti. Kalau singgah di Selangor, mungkin boleh mempertimbangkan untuk membuat lawatan ke kilang ini. Kilang roti Gardenia di Selangor adalah kilang roti yang termoden dan terbesar di Asia Tenggara. Kilang ini telah menganjurkan lawatan ke kilang pemprosesan sejak tahun 1991 lagi. Di sini, orang ramai boleh melihat proses-proses membuat roti dari permulaan sehingga ke produk akhir sebelum roti keluar ke pasaran tempatan. Sebagai syarikat pengendalian makanan, para pengunjung dikehendaki menggunakan baju tertutup untuk memastikan kebersihan kawasan pemprosesan. Pengendali lawatan sangat berpengetahuan mengenai proses pembuatannya dan bolehlah bertanya apa-apa soalan. Tambahan lagi, lawatan ini percuma tetapi perlu membuat panggilan telefon untuk menempah slot.

Alamat:

  • Lot 3, Jalan Pelabur 23/1, 40300 Shah Alam, Selangor Darul Ehsan, Malaysia

Facebook:

Waktu Buka:

  • 9.00pagi, 11.00pagi,2.00petang,3.00petang (Isnin-Jumaat)
  • 9.00pagi,10.00pagi (Sabtu)

Tiket:

  • Percuma

Tempat penginapan unik di Selangor

1. Sekeping Serendah

Selangor menawarkan pelbagai jenis penginapan seperti hotel, hostel, rumah tumpangan dan sebagainya mengikut jenis perbelanjaan dan kemahuan. Ada juga tempat penginapan yang unik seperti ‘Sekeping Serendah’. Satu-satunya cara untuk ke sini ialah pemanduan dari ibu pejabat di Bangsar, Kuala Lumpur yang mengambil masa selama 45 minit. Apa yang menarik tentang rekabentuk bangunan ialah konsep terbuka bangunan yang cuma menggunakan kerangka utama bangunan iatu tiang dan lantai tanpa dinding bersimen. Ruangan dinding digantikan dengan tingkap jendela bersaiz berukuran yang bermula dari lantai ke bahagian siling untuk membenarkan pencahayaan semulajadi ke dalam bilik. Manakala, perabot-perabotnya diperbuat daripada bahan-bahan kayu dan keluli sahaja tanpa apa-apa hiasan yang rumit. Kamar tidur hanya mempunyai sebuah katil yang besar dan kelambu. Ada juga disediakan kolam renang di bawah pepohon menghijau.

Alamat:

  • 67 Jalan Tempinis, Lucky Garden, Bangsar, Kuala Lumpur 59100, Malaysia

Laman Web:

Harga semalam:

2. Padi Box, Sekinchan

Di Sekinchan, Selangor pula yang merupakan kawasan penanaman padi, ada sebuah tempat penginapan yang diperbuat daripada bongkah-bongkah kontena terpakai yang diubahsuai menjadi bilik penginapan. Rekabentuknya sangat menarik kerana ianya dicat berwarna-warni. Bilik-bilik pula sangat selesa dengan kemudahan-kemudahan moden disediakan untuk para penginap di sini. Selalunya, hotel-hotel dibina di tepi pantai, kawasan hutan tetapi yang uniknya tempat ini ialah pemandangan sawah padi terbentang luas di perkarangan hotel. Terdapat anjung rehat sambil menikmati pandangan luar, dan ada juga permainan pool sambil berehat-rehat bersama keluarga. Satu ciri yang menarik di restoran hotel ini, ialah tempat makan terletak di dalam sebuah bas lama yang diubahsuai menjadi kawasan makan. Selain itu, pihak hotel turut menganjurkan lawatan ke tarikan-tarikan berdekatan seperti fenomena ‘sky-mirror’, memberi makan burung helang dan berbasikal di kawasan sawah padi.

Alamat:

  • Lot 11126, Jalan Tali Air 4, 45400 Sekinchan, Selangor

Laman Web:

Facebook:

Harga semalam:

3. The Kabin

Satu lagi hotel yang diperbuat daripada kontena lama di Selangor ialah ‘The Kabin’ di Pantai Remis. Kontena-kontena diubahsuai dengan segala kemudahan moden dan dicat dengan warna hitam. Persekitaran hotel pula dihiasi dengan elemen-elemen semulajadi seperti batu-bata dan rangka keluli. Hotel ini menyediakan banyak kemudahan untuk para penginap seperti kolam renang, bilik karaoke, tempat berkelah dan berbeku, gelanggang bola keranjang dan sebagainya. Terdapat disediakan pelbagai jenis bilik bergantung kepada kumpulan para pengunjung yang datang ke sini. Restorannya menawarkan makanan-makanan yang sedap-sedap belaka. Tempat ini sesuai untuk mana-mana lapisan masyarakat, malah ada juga kemudahan-kemudahan bermesyuarat jika ditempah oleh syarikat korporat. Malah ada juga diskaun untuk para pelajar ditawarkan. Pantai Remis ialah sebuah kawasan tepi pantai pelancongan, jadi ada banyak aktiviti tepi laut boleh dilakukan seperti aktiviti berkelah, berbasikal dan memancing.

Alamat:

  • Jalan Jati, Pantai Remis, Jeram, Kuala Selangor 45800, Malaysia

Laman Web:

Facebook:

Harga semalam:

4. Rumah Kebun, Hulu Langat

Satu lagi penginapan yang unik di Selangor dipanggil ‘Rumah Kebun’. Apa yang menariknya tempat ini ialah, ianya terletak di dalam sebuah kawasan perkarangan sebuah kampung jauh dari bandaraya dan dikelilingi oleh kehijauan. Perkhidmatan disediakan sangat peribadi kerana penginapan ini hanya boleh memuatkan 16 orang sekaligus. Kemudahan-kemudahan yang disediakan cukup cantik dengan perhiasan-perhiasan memberi suasana seakan-akan berada di sebuah rumah yang selesa. Dapur ada disediakan dengan semua peralatan supaya boleh memasak sendiri. Ada 3 bilik tidur dengan 7 katil untuk semua orang yang menginap di sini. Ada sebuah kolam renang di tengah-tengah penginapan. Sebuah anak sungai mengalir di depan tempat penginapan menambah lagi rasa kekampungan di sini. Pemilik penginapan turut membiarkan beberapa haiwan peliharaan berkeliaran untuk memberi suasana kampung di kawasan ini. Tempat penginapan ini hanya boleh ditempah melalui airbnb.com.

Alamat:

  • Kampung Sungai Semungkis Batu 14 1/2, Hulu Langat, Selangor, Malaysia

Facebook:

Harga semalam:

5. Hotel Kapsul Sepang

Hotel kapsul sememangnya sudah menjadi sangat popular di negara Jepun. Penginapan hotel ini kecil sahaja, kamar tidurnya hanya boleh memuatkan badan. Penginapan ini sesuai untuk orang yang memerlukan cuma beberapa jam tidur sebelum meneruskan perjalanan ke destinasi terakhir. Tetapi, kalau ingin menginap untuk merasa tinggal di dalamnya pun boleh juga. Ada 120 bilik disediakan yang dibahagikan kepada tiga aras iatu aras lelaki sahaja, aras wanita sahaja dan aras campur. Setiap bilik kapsul hanya boleh memuatkan satu orang sahaja tetapi dilengkapi dengan kemudahan asas seperti soket elektrik, sebuah meja boleh dilipat, cermin dan sebagainya. Turut disediakan ialah beg kecil mengandungi tuala, berus gigi dan selipar untuk para penginap. Kemudahan tandas dan mandi adalah untuk dikongsikan dengan para penginap lain. Hotel kapsul ini terletak di dalam Lapangan Terbang Antarabangsa KLIA2.

Alamat:

  • Level 1 (CP1), Gateway@klia2, 64000 KLIA, Sepang, Selangor, Malaysia

Laman Web:

Facebook:

Harga semalam:

6. Avani Sepang Goldcoast Resort

Memang banyak hotel yang dibina berhadapan dengan tepi pantai yang cantik. Bagaimana pula hotel yang mempunyai bilik-bilik di atas lautan? Di Hotel Avani Sepang, sejumlah 315 bilik-biliknya dibina di atas tiang yang dibina atas laut. Dari atas langit, bentuk bangunan hotel kelihatan seperti sebatang pohon pokok palma. Semua jenis kemudahan hotel seperti kolam renang, spa, bilik bersukan dan sebagainya disediakan. Aktiviti-aktiviti laut seperti permainan jetski turut disediakan. Untuk pilihan makanan, ada 5 restoran untuk dipilih dari pelbagai jenis masakan. Hotel mewah ini sangat sesuai untuk bermalaman dengan orang yang tersayang bukan sahaja pasangan suami isteri, malah bilik mesra keluarga turut disediakan. Lokasinya di atas laut amat sesuai menjauhkan diri dari hiruk-pikuk kota.

Alamat:

  • Sepang Goldcoast, No. 67 Jalan Pantai Bagan Lalang, 43950 Kampong Bagan Lalang, Selangor, Malaysia

Laman Web:

Facebook:

Harga semalam:

Kesimpulan

Percutian ke negeri Selangor memang mudah kerana terdapat pelbagai jenis bajet, daripada tempat-tempat percuma sehinggalah mewah yang memerlukan perbelanjaan beribu-ribu ringgit. Tambahan lagi, tidak seperti negeri-negeri lain di Malaysia, semua jenis tema pun ada seperti tarikan pelancong yang satu-satunya di Malaysia seperti permainan ‘snookball’, panggung wayang di ‘helipad’, simulasi penerbangan komersil dan sebagainya. Malah, hotel-hotel unik seperti hotel kontena, hotel atas air pun ada untuk dicuba. Kesemua tarikan-tarikan di Selangor bertaraf antarabangsa tanpa perlu keluar dari negara Malaysia. Di kawasan-kawasan seperti Hulu Langat atau Sekinchan, ada pemandangan semulajadi yang cantik-cantik belaka yang senang dicapai melalui lebuhraya utama.

Negeri Selangor merupakan negeri termaju Malaysia, jadi pengangkutan ke sini sangat mudah untuk dicapai. Terdapat beberapa lebuhraya yang menghubungkan terus negeri ini dengan semua neger-negeri lain di Semenanjung Malaysia. Pengangkutan udaranya pula disambungkan bukan sahaja ke bandar-bandar utama di Malaysia, malah bandar-bandar utama di dunia seperti London, Paris, Singapura, Beijing dan sebagainya melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur di Sepang. Memang banyak tempat menarik di Selangor yang bertemakan gaya hidup moden dan bertenaga.

Add Comment