Tempat Menarik Di Perak: Top 30 tempat untuk dikunjungi

Tempat menarik di Perak – Suatu ketika dahulu negeri Perak merupakan pusat pelombongan biji timah yang terbesar di dunia pada tahun 1880-an. Kedatangan Inggeris dan orang Cina ke sini yang membawa teknologi pelombongan yang membolehkan biji timah dilombong secara besar-besaran. Tambahan lagi, ekonominya merupakan yang terkaya di Malaya kerana permintaan biji timah sangat tinggi di negara barat yang melalui Revolusi Industri. Pada masa kini, Perak ialah sebuah negeri yang aman dan makmur dengan penduduk berbilang kaum, keindahan semulajadinya seperti gunung batu kapur yang berpacak tinggi dan kemodenan bandar-bandarnya seiring dengan bandar-bandar besar di Malaysia.

Terdapat banyak tempat menarik di Perak yang harus dikunjungi oleh para pelancong. Bergantung kepada jenis personaliti anda, banyak tempat-tempat yang sememangnya sesuai dengan jiwa dan raga. Ada taman tema untuk berseronok bersama-sama keluarga seperti Taman Tema Lost World Tambun dengan pelbagai aktiviti air pasti disukai anak-anak. Pulau Pangkor pula mempunyai pantai-pantai yang indah dibarisi hotel mewah untuk percutiaan romantik dengan yang tersayang. Manakala, untuk kaki pancing ada tarikan seperti Chalet Pancing Rockbund terletak di kawasan memancing yang penuh dengan hidupan air yang sememangnya dinanti-nantikan untuk dilawati. Mari kita lihat ada apa di Perak.

tempat menarik di Perak

30 Tempat menarik di Perak

Tempat diminati kaum lelaki

1. Aktiviti arung jeram di Sungai Kampar

Aktiviti arung jeram sangat mencabar dan orang yang ingin menyertainya kenalah mempunyai semangat yang gentar dan tidak takut melakukan sesuatu yang baru. Di Perak, Sungai Kampar ialah sungai yang paling popular untuk melakukan aktiviti ini. Ada 10 jeram di sepanjang 8 kilometer sungai untuk dilalui yang mempunyai kelas satu sehingga kelas tiga tahap kesukaran pengendalian rakit. Pengembaraan ini mengambil masa selama satu jam setengah sehingga dua jam bergantung kepada kederasan air sungai. Sebelum ke sungai, pihak pengendali akan memberi tauliah keselamatan untuk memastikan semuanya akan berjalan lancar. Aktiviti ini memang sesuai dilakukan berpasukan bersama-sama teman baik mengeratkan lagi hubungan perkawanan. Pengembaraan arung deras ini hanyalah boleh disertai dengan menempah daripada pengendali bertauliah seperti tertera di bawah.

Alamat:

  • River Explorer Whitewater Rafting, Lot 13319 Kebun Ulu Groh, Mukim Teja, Gopeng 31600, Malaysia

Laman Web:

Facebook:

Tiket:

2. Memancing di Chalet Pancing Rockbund

Manakala di Pulau Marina yang terletak di tepi pantai Lumut ada sebuah tempat peranginan yang mengetengahkan aktiviti memancing sebagai aktiviti tarikan. Lokasinya di Pulau Marina menghadap Selat Melaka menjadikan tebing laut amat sesuai memancing kerana penuh dengan ikan-ikan laut. Ini sememangnya syurga bagi kaki pancing. Di sini, semua bilik penginapan dibina dengan gaya bilik kabin 2 katil. Semua bilik terletak berhadapan dengan jeti khas untuk memancing ikan laut. Ini memudahkan urusan memancing tanpa berfikir panjang membawa banyak barang bekalan. Apa yang perlu dilakukan cumalah membuka pintu bilik penginapan, tinggalkan dompet dan telefon bimbit dan teruskan memancing tanpa ganguan daripada sesiapa. Para tetamu bolehlah memancing di sini ikan bila-bila masa sehingga awal pagi. Tambahan lagi, tempatnya aman dengan desiran bayu lautĀ  dari Selat Melaka mencengkam jiwa.

Alamat:

  • Marina Island, Jalan Utama Marina Island, 32200, Perak

Laman Web:

Facebook:

Harga semalam:

  • Harga bilik bermula daripada RM300 semalam
  • Sila semak laman web penginapan agregator untuk harga semasa: agoda.com

3. Menyertai perlumbaan maraton

Perlumbaan maraton memang satu pengalaman yang meyihatkan badan. Salah satu acara perlumbaan maraton paling popular di Perak ialah ‘Ipoh 7 Bridges Run’. Terdapat tiga kategori mengikut jarak larian iatu 5km, 10km dan 21km. Lokasi larian ini ialah di Lembah Kinta dan pada tahun 2018, tarikh perlumbaan ialah pada 19 Ogos. Bergantung kepada kategori, masa permulaan ialah pada pukul 4pagi untuk kategori yang berjarak paling jauh iatu 21km. Waktu permulaan sangat awal untuk mengelakkan panas terik matahari selepas terbitnya matahari. Larian 21km memerlukan latihan sebelum menyertainya. Salah satu kriteria yang penting ialah merapikan badan supaya boleh berlari pantas tanpa masalah. Pemandangan di sekeliling dengan pokok-pokok hijau di Lembah Kinta menambahkan lagi semangat berlari. Jadi untuk lelaki-lelaki yang mempunyai semangat persaingan yang kuat, larian maraton inilah untuk menunjuk-nunjukkan kecergasan badan.

Alamat:

  • Jalan Lim Bo Seng, 30000 Ipoh, Negeri Perak

Facebook:

Hari pelarian:

  • 19 Ogos 2018

Tiket:

4. Bermain ‘paintball’ di ‘Maxpaint Paintball and Archery’

Kalau berminat bermain permainan komputer ‘RPG’ yang mempunyai adegan tembak-menembak, apa kata kalau melakukannya dalam kehidupan sebenar? Permainan ‘paintball’ ialah satu permainan tembak-menembak menggunakan peluru tiruan yang diperbuat daripada dakwat berwarna-warni seperti kuning, biru dan sebagainya. Permainan haruslah dibahagikan kepada dua kumpulan, iatu musuh dan sekutu. Objektif permainan ini ialah menembak ahli pasukan yang bertentangan. Arena ‘paintball’ mempunyai struktur-struktur untuk berlindung bagi mengelakkan ditembak pihak lain. Arena ‘paintball’ sini menggunakan bongkah-bongkah besar diletakkan pada posisi strategik untuk melindungi diri daripada musuh. Sudah tentunya pakaian perlindungan disediakan termasuk cermin mata perlindungan, topi keledar dan baju perlindungan. Lokasi arena ‘paintball’ ini terletak di Jalan Batu Karang di Kampar. Kalau berpakat dengan kawan-kawan memang seronok dan aktiviti yang memberi kepuasan kepada semua. Apatah lagi antara kawan-kawan lelaki yang ingin menyakat kawan-kawan.

Alamat:

  • Jalan Batu Karang, 31900, Kampar, Perak

Facebook:

Waktu Buka:

  • 10.00pagi-10.00malam

Tiket:

  • Harga tiket bermula daripada RM25. Sila semak laman web untuk harga semasa

5. Bermain golf di Kelab Desa dan Golf Damai Laut

Permainan sukan golf ialah satu kegiatan yang mengeratkan hubungan antara kawan-kawan dan juga satu cara untuk mengenali orang baru. Contohnya, banyak urusan perniagaan ditandatangani semasa bermain golf. Di Perak, padang golf yang terkenal terletak di Damai Laut. Lapangan golf ini dibuka kepada orang ramai sejak tahun 1997 telah direka oleh pereka lapangan golf terkenal Ronald Fream. Ada 18 lubang golf dan mempunyai jarak sejauh 6600meter kesemuanya. Padang golf ini dibina berselang-seli dengan kolam-kolam air kecil untuk menambahkan kecantikan pemandangan sambil bermain golf bersama kawan-kawan. Ada sebuah bangunan kelab yang turut menyediakan kedai menjual peralatan golf jika tidak berkesempatan membawa peralatan sendiri. Sebuah restoran untuk menyegarkan diri selepas seharian bermain turut disediakan di situ. Padang golf ini memang terkenal terutamanya di kalangan para pelancong.

Alamat:

  • Hala Damai 2, Jalan Damai Laut, Teluk Senangin, 32200 Lumut

Facebook:

Tiket:

6. Membeli gajet terbaru di Pusat Beli-belah IT Perak

Memang tidak dinafikan ramai kaum lelaki amat meminati gajet elektronik terbaru seperti telefon bimbit, komputer riba dan tablet terbaru. Semakin canggih teknologi gajet-gajet tersebut, semakin dikehendaki untuk dibeli. Tambahan lagi, perkembangan teknologi yang semakin maju setiap hari menjadikan sambutan pembelian gajet sangat memberansangkan. Satu tempat menarik di Perak yang merupakan syurga membeli gajet ialah di Pusat Beli-Belah IT Perak yang menjual jenama-jemana terkenal seperti Apple, Samsung, Huawei dan sebagainya. Di sini, para penduduk sekitar Perak dan negeri-negeri berdekatan sanggup memandu datang ke sini untuk membeli gajet terbaru kerana ada pelbagai pilihan disediakan. Bukan sahaja ada menjual gajet, malah perkhidmatan membaiki gajet turut disediakan pada harga yang berpatutan. Kalau datang ke sini, pengunjung perlu menghabiskan sekurang-kurangnya satu hari untuk menjelajah setiap kedai elektronik yang ada. Kalau tidak membeli pun, pasti puas hati melakukan tinjauan sebelum membeli gajet yang dikehendaki.

Alamat:

  • Jalan Tawas Idaman 2, Taman Tawas Idaman, 30010 Ipoh, Perak

Facebook:

Waktu Buka:

  • 11.30pagi-9.30malam

Tempat diminati kaum perempuan

7. Waktu spa di Banyan Spa

Selepas bekerja keras di pejabat setiap hari, percutian spa memang satu aktiviti yang terlintas pada minda seorang wanita bekerjaya. Percutian ke Perak ada jawapannya di Banyan Spa. Spa ini bukan sahaja terkenal di Perak malah di seluruh Malaysia. Ia telah memenangi anugerah Spa Terbaik pada tahun 2017 di peringkat negara oleh Kementerian Pelancongan Malaysia. Premis spa ini berkonsepkan kampung membawa para pengunjung ke persekitaran yang segar dan tenang. Taman direka mengikut gaya taman di Bali. Bangunan-bangunan spa suatu ketika dahulu merupakan bangunan kolonial yang telah diubahsuai. Terdapat tiga jenis produk utama iatu spa badan, rawatan muka dan rawatan kuku. Terdapat banyak pakej-pakej yang disediakan bergantung kepada kehendak pengunjung. Produk-produk yang digunakan asli dan diperbuat 100% daripada bahan semulajadi tanpa toksik.

Alamat:

  • No. 40, Jalan Raja Dihilir, 30350 Ipoh, Perak

Laman Web:

Facebook:

Waktu Buka:

  • 10.00pagi-9.00malam (Isnin-Ahad)

Tiket:

8. Pusat Beli-Belah AEON, Klebang

Untuk yang ketagih dengan membeli-belah, negeri Perak ada menyediakan banyak pilihan tempat untuk membeli-belah. Kaum perempuan pastinya akan suka berkunjung ke Pusat Beli-Belah AEON di Klebang yang merupakan pusat-beli belah termoden di Perak. Ianya dibuka pada tahun 2015 membawa pengalaman baru kepada penduduk di sekitar kawasan ini. Semuanya ada di sini, pasaraya AEON yang ada menjual keperluan seharian yang segar-segar dan pada harga yang berpatutan. Pakaian wanita berjenama ada pelbagai pilihan dalam pasaraya AEON. Bukan itu sahaja, semua jenama-jenama yang boleh dijumpai di Kuala Lumpur kini sudah tiba di Klebang seperti jenama pakaian terkenal H&M, pusat kecantikan Sephora dan jenama Jepun, Uniqlo. Pelbagai restoran-restoran ada di situ seperti Starbucks, Nando’s dan sebagainya. Malah, selepas membeli-belah ada juga pawagam GSC kalau berkenan menyaksikan filem-filem terbaru dari Hollywood. Setiap minggu ada aktiviti-aktiviti dan penjualan hebat dianjurkan, oleh itu, kenalah sentiasa melayari laman sosial mereka di Facebook.

Alamat:

  • Lot 12080, Klebang Perdana, 31200 Chemor, Perak.

Facebook:

Waktu Buka:

  • 10.00pagi-10.30malam

9. Kafe Burps and Giggles

Kafe-kafe bertemakan ‘hipster’ amat popular di kalangan wanita kerana perhiasannya cantik dan moden, memang sesuai untuk mengambil swafoto bersama-sama rakan-rakan atau sekeluarga. Di Perak sejak kebelakangan ini juga, pertumbuhan kafe ‘hipster’ di bandar-bandarnya semakin banyak setiap tahun. Satu kafe yang diberi ulasan yang sangat baik ialah kafe ‘Burps and Giggles’ di bandaraya Ipoh. Daripada luar bangunan kelihatan seperti tempat yang usang dan terbengkalai tetapi apabila masuk ke dalamnya, ianya merupakan satu tempat yang penuh kejutan dengan hiasan yang unik dan cantik. Banyak dekorasi diinspirasikan oleh tema ‘kitar semula’ iatu mengambil barang-barang yang dibuang dan diubahsuai menjadi kepingan artistik menghiasi dinding kafe ini. Dindingnya sengaja tidak dicat untuk memberi efek retro yang sangat sesuai kalau diambil gambar. Para tetamu wanita semamangnya harus ke sini untuk mendapatkan swafoto tercantik untuk ditunjuk-tunjukkan kepada teman sahabat sambil makan makanan barat yang sedap-sedap belaka.

Alamat:

  • 93 & 95 Jalan Sultan Yussuf, 30000 Ipoh, Perak

Facebook:

Waktu Buka:

  • 9.00pagi-9.00malam (Rabu-Ahad)
  • Tutup (Isnin-Selasa)

10. Pusat Peranginan ‘The Banjaran’

Sekali-sekala kenapa tidak menghabiskan duit melakukan aktiviti yang menenangkan fikiran yang kusut-masai setelah penat bekerja di bandaraya? Untuk kaum wanita yang ingin mendapatkan perkhidmatan mewah sekali-sekala di sebuah pusat peranginan yang menawarkan semua jenis spa, rawatan kecantikan dan sebagainya bolehlah pergi ke ‘The Banjaran’. Pusat peranginan ini sebesar 22.7 ekar disekelilingi oleh bentukan bukit-bukit batu kapur yang sudah berusia jutaan tahun. Pusat peranginan ini istimewa kerana ada air mata panas mengalir ke kolam-kolam rendam. Satu ciri salah sebuah kolam rendam di sini ialah ianya terletak di dalam sebuah gua. Ini dikatakan boleh membawa tenaga positif mengalir ke dalam badan jika berendam di sini. Bilik-bilik penginapan di sini bukanlah yang bergaya biasa, tetapi dibina di atas tasik. Ada sesetengahnya mempunyai kolam renang sendiri untuk pengalaman lebih peribadi.

Alamat:

  • No 1, Persiaran Lagun Sunway 3, 31150 Ipoh, Perak

Laman Web:

Facebook:

Harga semalam:

11. Pasar Besar Teluk Intan

Untuk wanita-wanita yang berkeluarga pula, membeli keperluan seharian yang segar dan cukup untuk hidangan sekeluarga amat dititikberatkan. Kalau berkunjung ke Teluk Intan, janganlah lupa untuk berkunjung ke Pasar Besar Teluk Intan yang masyur dengan pelbagai pilihan makanan segar-segar belaka lagi murah harganya. Teluk Intan terletak berdekatan dengan persisiran pantai Selat Melaka, maka ada dijual produk lautan yang segar. Ada ikan-ikan, sotong, kerang, siput dan sebagainya ditangkap segar pada hari yang sama. Selain itu, ada dijual sayur-sayuran produk yang ditanam petani-petani tempatan. Semua orang dari pelbagai tempat datang ke sini kerana kepelbagaian yang ditawarkan. Waktu terbaik datang ke sini ialah pada waktu awal pagi buta kerana kebanyakan produk datang dari ladang atau laut. Jadi, kalau berkesempatan berjalan ke Teluk Intan, singgahlah di sini dahulu sebelum meneruskan lagi perjalanan balik ke rumah. Belilah banyak-banyak produk segar Perak untuk dinikmati sebagai hidangan di rumah.

Alamat:

  • 1953, Jalan Putra, Pekan Teluk Intan, 36000 Teluk Intan, Negeri Perak

Waktu Buka:

  • 8.30pagi-4.40petang (Isnin-Ahad)

12. Lukisan-lukisan mural di Ipoh

Lukisan-lukisan mural pada bangunan-bangunan lama di bandaraya Ipoh menceriakan lagi tempatnya. Ianya juga merupakan daya tarikan pelancong baru ke bandaraya ini terutamanya di kalangan perempuan yang minat mengambil swafoto yang artistik dan fotogenik. Sejarah lukisan ini bermula pada tahun 2013 selepas seorang artis Ernest Zacharevic dari negara Lithuania yang melukis 7 mural unik di sekitar bandaraya Ipoh. Kini ada banyak lukisan-lukisan mural yang dilukis di sekitar bandaraya. Satu aktivitiĀ  yang seronok untuk dilakukan ialah kunjungan jejak mural yang membawa para pengunjung melihat satu persatu lukisan mural ini di sekitar Ipoh. Kunjungan jejak ini mengambil masa kira-kira satu jam, atau lebih, bergantung kepada masa untuk mengambil swafoto yang sempurna dengan seni mural di situ. Masa yang paling sesuai ialah lewat petang selepas hari menjadi kurang panas, tetapi tiada masalah di waktu siang kerana ada banyak restoran untuk disinggah sebentar dalam perjalanan mencari seni mural.

Alamat:

  • Jalan Tun Sambanthan, Ipoh 30000, Malaysia

Waktu Buka:

  • 24 Jam

Tiket:

  • Percuma

Tempat diminati seisi keluarga

13. Taman Tema Lost World Tambun

Perak turut menyediakan pelbagai tempat untuk hiburan seisi keluarga. Lost World Tambun terletak di Lembah Kinta yang mempunyai komponen taman tema dan penginapan hotel. Apa yang unik di sini ialah kolam air panas semulajadi dalam taman tema. Pengalaman unik sekeluarga ini hanya boleh dinikmati di sini. Selepas seharian bermain dengan permainan taman tema, bolehlah rehat merendamkan badan dalam kolam air panas semulajadi. Selain daripada itu, daya tarikan di sini ialah pemandangan dengan latarbelakang formasi bukit-bukau batu kapur yang berusia jutaan tahun. Ada juga disediakan tarikan zoo waktu malam dan kanak-kanak kecil boleh bermain-main dengan mereka. Pada waktu malam, ada pertunjukkan pentas bertemakan dunia fantasi di bahagian ‘Luminous Forest’. Taman tema? Kolam air panas? Formasi alam jutaan tahun? Cuma di Taman Tema Lost World Tambun!

Alamat:

  • 1, Persiaran Lagun Sunway, Sunway City, 31150 Ipoh, Perak

Laman Web:

Facebook:

Tiket:

14. Zoo Taiping

Satu pengalaman kanak-kanak paling seronok tentunya lawatan ke zoo. Di Perak, zoo yang terkenal ialah Zoo Taiping yang popular di kalangan orang utara Semenanjung. Persekitaran zoo sangat indah kerana terletak di kaki Bukit Larut dikelilingi kawasan hutan terpelihara. Zoo ini dibuka kepada orang ramai pada tahun 1961 menjadikannya zoo tertua Malaysia. Terdapat 1,300 binatang peliharaan yang tidak dikurung dibiarkan bebas berkeliaran dalam habitatnya. Ianya terdiri daripada 180 spesis binatang seperti mamalia, amfibia dan reptilia. Percutian ke zoo memang seronok terutamanya kepada kanak-kanak kecil membina pengalaman memori indah. Jikalau berada di zoo antara pukul 10.00pagi sehingga pukul 12.00 tengahari, ada sesi memberi makanan kepada bintang peliharaan. Jikalau tidak mampu berjalan seharian, ada disediakan perkhidmatan kereta api bergerak seluruh kawasan zoo sambil menikmati pemandangan sekeliling. Malah pada waktu malam juga, ada pengembaraan melihat haiwan malam hari seperti burung pungguk.

Alamat:

  • Jalan Taman Tasik Taiping, Taman Tasik Taiping, 34000 Taiping

Laman web:

Facebook:

Waktu Buka:

  • 8.00pagi-11.00malam (Isnin-Ahad)

Tiket:

  • RM17 (Dewasa)
  • RM8.50 (Kanak-kanak)

15. Pusat Peranginan Tasik Bukit Merah

Di Bukit Merah, Taiping pula ada sebuah pusat peranginan sekeluarga yang terkenal dan menawarkan pelbagai aktiviti keluarga. Terdapat tiga komponen utama iatu taman tema eko semulajadi, taman tema air dan pusat rekreasi air. Tempat penginapan semalaman pula menyediakan dua jenis iatu hotel atau bilik atas air yang merupakan satu tarikan. Taman eko semulajadi memberi peluang untuk kanak-kanak kecil melihat haiwan-haiwan seperti ular sawa, burung merak, buaya dan sebagainya. Satu tarikan di taman eko semulajadi ialah menaiki ‘Skycycle’ yang membolehkan para pengunjung melihat paranoma taman dari atas. Taman tema air pula ada tarikan-tarikan seperti gelongsor gergasi, air pancutan mainan dan kolam besar untuk bermain-main dengan air. Dalam tasik pula, ada kegiatan air boleh dilakukan untuk para pengunjung seperti memancing, berkanu dan mendayung bot amat sesuai untuk membawa anak-anak remaja yang aktif.

Alamat:

  • Jalan Bukit Merah, 34400 Semanggol, Perak

Facebook:

Laman Web:

Tiket:

16. Menara Condong Teluk Intan

Satu aktiviti sekeluarga yang boleh dilakukan ialah membawa mereka melihat Menara Condong Teluk Intan terutamanya untuk mengambil gambar-gambar dengan ahli keluarga. Kalau ingin melihat menara condong, tidak perlulah pergi ke negara Italy di Pisa kerana di Malaysia pun ada. Apabila menara ini siap dibina pada tahun 1892, fungsi utamanya ialah sebagai tangki air untuk penduduk di sekitar Teluk Intan pada masa itu. Sikit demi sedikit, menara ini menjadi condong ke arah barat daya kerana bebanan tangki dan asas tanah yang lembut. Daripada luarnya, kelihatan seperti sebuah bangunan dengan 8 tingkat kerana ada 8 anjung bertingkat tetapi sebenarnya ada 3 tingkat di dalamnya. Para pengunjung boleh masuk tetapi tidak sesuai membawa anak-anak kecil kerana ada 110 tangga untuk naik ke atas. Pada waktu malam, ianya dinyalakan dengan lampu berwarna-warni dan sangat sesuai untuk mengambil gambar bersama-sama ahli keluarga.

Alamat:

  • Lot 1&2, Komplex Menara Condong, Jalan Bandar, Pekan Teluk Intan, 36000 Teluk Intan

Waktu Buka:

  • 8.00pagi-5.00petang (Selasa-Jumaat)
  • 9.00pagi-5.00petang(Sabtu-Ahad)

Tiket:

  • Percuma

17. Rumah ‘Funtasy’ (Funtasy House)

Satu tempat menarik di Perak untuk melepaskan imaginasi kanak-kanak yang seronok dan interaktif ialah di Rumah ‘Funtasy’ atau ‘Funtasy House’ yang menyediakan seni-seni dinding 3D untuk mengambil gambar-gambar lucu. Ada 8 bilik dengan 35 jenis seni helah yang ada di sini untuk mengambil gambar dengan posisi yang bermacam-macam. Untuk melihat kesemuanya, satu jam cukup termasuk untuk mengambil gambar. Pekerja-pekarja sangat membantu dan bolehlah membuat permintaan daripada mereka sekiranya ada apa-apa masalah. Sudah tentunya kanak-kanak kecil akan berminat. Malah, boleh juga mengambil potret keluarga yang unik untuk dicetak dan dipamerkan di rumah. Tiket untuk kanak-kanak cuma berharga RM10 untuk kanak-kanak tidak kira orang Malaysia atau orang asing malah, ianya percuma untuk kanak-kanak yang berumur 4 tahun ke bawah. Kalau ada banyak anak-anak kecil, memang menjimatkan.

Alamat:

  • No. 16 Jalan Market, 30000 Ipoh, Perak, Malaysia

Laman Web:

Facebook:

Waktu Buka:

  • 9.00pagi-6.00petang (Isnin-Jumaat)
  • 9.00pagi-8.00malam (Sabtu-Ahad)

Tiket:

  • RM14 (Warganegara Malaysia Dewasa)
  • RM19 (Warganegara Asing Dewasa)
  • RM10 (Kanak-kanak)
  • Percuma (4 tahun ke bawah)

18. Taman Tema Studio Filem Animasi (MAPS)

Satu tarikan keluarga terbaru di Perak ialah Taman Tema Studio Filem Animasi atau dalam bahasa Inggerisnya ‘Movie Animations Park Studios’. Tarikan ini baru sahaja dibuka pada tahun 2017 dan merupakan taman tema animasi pertama di seluruh benua Asia. Sejak pembukaannya, ia menjadi sangat popular di kalangan para pelancong. Apa yang membuatkan taman tema ini berbeza daripada taman-taman tema lain ialah semua tarikannya berasaskan rancangan animasi yang popular seperti ‘The Smurfs’, ‘Boboiboy’ dan sebagainya. Tarikan ‘Boboiboy’ sangat popular kerana dalam sebuah panggung wayang dimainkan sebuah wayang pendek dengan efek-efek kerusi bergegar dan pancutan air. Ini sememangnya syurga bagi kanak-kanak kecil menghidupkan fantasi mereka. Aktiviti di sini bukan sahaja bermain ‘rollercoaster’ atau ‘merry-go-round’, malah ada pertunjukkan aksi pertangkasan oleh ahli-ahli gaya berani bertauliah.

Alamat:

  • 3, Persiaran Meru Raya, 31200 Ipoh, Negeri Perak

Laman Web:

Facebook:

Waktu Buka:

  • 10.00pagi-6.00petang (Isnin-Jumaat)
  • 10.00pagi-10.00malam (Sabtu-Ahad)

Tiket:

Tempat-tempat diminati warga emas

19. Resort Hutan Tropika Belum, Tasik Temenggor

Percutian di Perak tidak terhad kepada untuk orang-orang muda sahaja, malah warga emas turut menyukai negeri ini kerana banyak tempat yang tenang dan cantik untuk dilawati. Salah satunya ialah percutian di Resort Hutan Tropika Belum di Tasik Temenggor, Perak. Tasik Temenggor ialah tasik buatan kedua terbesar di Semenanjung Malaysia dikelilingi oleh Hutan Simpan Belum yang merupakan hutan simpan terbesar negeri Perak. Bangunan resort ini terletak di atas Pulau Banding, iatu sebuah pulau buatan yang terhasil apabila empangan dibina membanjiri kawasan hutan. Warga emas pastinya akan suka kepada pemandangan bukit-bukau buatan yang memberi ketenangan indah mengurangkan stress seharian. Warga emas tidak perlu bimbang dengan mobiliti kerana sangat mudah dicapai dengan Lebuhraya Timur-Barat di hadapan hotel.

Alamat:

  • Belum Rainforest Resort, Pulau Banding, 33200 Gerik, Negeri Perak

Laman Web:

Facebook:

Harga semalam:

20. Bukit Larut

Warga emas yang lebih menyukai persekitaran yang sejuk dan nyaman bolehlah berkunjung ke Bukit Larut. Ia merupakan stesen percutian bukit yang tertua di Malaysia dibuka pada tahun 1884. Perjalanan ke puncak bukit setinggi 1150 ini mengambil masa selama 40 minit perjalanan menggunakan jip. Sebuah bangunan yang dinamakan ‘Cendana’ yang juga mempunyai kaferia untuk para pengunjung seharian ke sini. Bangunan ini ada sejarahnya juga, ianya telah dibina pada tahun 1889. Pemandangan bukit dari sini sangat indah dan pada kebiasaannya puncak bukit diselubungi kabus seakan-akan di sebuah negara empat musim. Tempat ini sangat sesuai untuk warga emas yang suka dengan keadaan sejuk tanpa perlu melancong ke negara luar negara. Tempatnya pun kurang padat dengan pelancong memberi lebih ruang peribadi dan kurang kesesakan manusia. Penginapan chalet ada disediakan jika ingin bermalaman di sini.

Alamat:

  • Jalan Bukit Merah, 34400 Taiping, Perak, Malaysia

Waktu Buka:

  • Mengikut jadual waktu kereta jip iatu:
  • 8.30pagi, 10.00pagi, 3.00petang (Naik bukit)
  • 10.30pagi, 12.00petang, 4.30petang (Turun bukit)

Tiket:

  • RM10 pergi-balik (Dewasa)
  • RM5 pergi-balik (Kanak-kanak)

21. Istana Kellie

Tema percutian untuk warga emas di sini ialah yang meminati sejarah kolonial yang bertemakan cerita cinta. Istana Kellie mempunyai kisah yang romantis tetapi menyanyat hati pada masa yang sama. Ia dibina oleh seorang peniaga Inggeris, William Kellie Smith yang ingin membina mahligai sempena buah hatinya Agnes. Pelan asalnya ialah untuk membina sebuat bangunan 6 tingkat bergayakan Moorish dengan pembuatan lif dalam rumah pertama di Malaysia. Istana ini dalam pembinaan apabila William malangnya meninggal dunia akibat radang paru-paru. Sejak itu, keadaan bangunan kekal tidak siap sehinggalah sekarang. Ramai yang mengatakan roh William masih berlegar di perkarangan bangunan mencari buah hatinya. Terdapat banyak papan notis dalam kompleks menceritakan kisah seram dalam bangunan ini. Para pengunjung boleh berjalan-jalan dalam ruang legar bangunan yang masih utuh walaupun belum lagi siap pembinaannya. Perasaan cinta kolonial amat utuh dalam pembinaan bangunan ini dan boleh dirasakan apabila melawat segenap bilik di dalamnya.

Alamat:

  • 31000 Batu Gajah, Perak

Waktu Buka:

  • 9.00pagi-5.30petang (Isnin-Ahad)

Tiket:

  • RM5 (Warganegara Malaysia)
  • RM10 (Warganegara Asing)

22. Taman Air Panas Sungai Klah

Untuk percutian bertemakan penyembuhan fizikal dan mental untuk warga emas, Taman Air Panas Sungai Klah ialah tempat untuk dikunjungi di Perak. Taman air panas ini dibina dengan perbelanjaan sebanyak RM6 juta kemudahan-kemudahan untuk menyenangkan pergerakan para pengunjung. Tempatnya amat mudah dicapai kereta, cuma terletak beberapa kilometer dari persimpangan keluar Sungkai di Lebuhraya Utara-Selatan. Kemudahan paling popular di sini ialah kolam rendamnya yang besar diisi air panas segar yang mengalir ke dalamnya tanpa henti. Salah satu aktiviti utama di sini ialah aktiviti mendidih telur sehingga masak dalam air panas semulajadi. Dikatakan telur dimasak dalam air yang mendidih mempunyai nilai-nilai yang lebih berkhasiat untuk orang yang memakannya. Untuk warga emas yang mempunyai masalah kulit, sengal-sengal di badan dan sebagainya bolehlah pergi ke sini untuk mendapatkan rawatan semulajadi tanpa perubatan moden. Saiz kawasan agak luas tetapi senang dijelajahi kerana ada papan tanda di setiap kawasan utama.

Alamat:

  • 35600 Sungkai, Perak

Waktu Buka:

  • 8.00pagi-6.00petang (Isnin-Ahad)

Tiket:

  • RM15 (Dewasa)
  • RM12 (Kanak-kanak)
  • RM7 (Warga emas)

23. Lembah Teh Gaharu

Satu tempat menarik di Perak yang pastinya akan disukai warga emas ialah Lembah Teh Gaharu di Gopeng. Pokok gaharu ialah sejenis tumbuhan yang mempunyai ciri-ciri penyembuhan kalau diambil dimakan. Di ladang ini, spesis yang ditanam ialah daripada baka kacukan yang dikatakan lebih bermutu daripada baka asal. Ladang ini mempunyai 200,000 pokok-pokok ditanam untuk tujuan dieksport. Di dalam ladang ini, ada sebuah kedai menjual makanan berasaskan gaharu untuk dijual. Ada juga sebuah restoran yang menjual makanan untuk dimakan di sini. Keistimewaan restoran ini ialah aiskrim gaharu dan telur dalam teh. Kesemuanya menjual makanan-makanan sihat, amat baik terutamanya kepada golongan warga emas. Pasti hendak kembali lagi selepas satu lawatan, tetapi jangan bimbang kerana produknya boleh dibeli melalui talian seperti teh gaharu, makanan segera gaharu, barangan mandi gaharu dan sebagainya. Harganya tinggi tetapi baik untuk kesihatan.

Alamat:

  • Lot 9840, Kampung Sungai Itek, 31600 Gopeng

Laman Web:

Facebook:

Waktu Buka:

  • 9.00pagi-6.00petang (Isnin-Ahad)

Tiket:

  • Percuma untuk masuk
  • RM10 (Dewasa)
  • RM5 (Kanak-kanak) dengan jurupandu bertauliah

24. Rumah Warisan Gopeng

Sebuah tarikan di Gopeng yang membawa memori zaman kecil untuk warga-warga emas ialah Rumah Warisan Gopeng. Rumah ini menyingkap memori kehidupan di Gopeng semasa zaman kegemilangan industri bijih timah. Di dalamnya, terdapat barangan antik, perabot zaman lama dan perkakasan-perkakasan lama. Pastinya untuk seseorang yang hidup pada zaman itu membawa semua memori-memori indah apabila kehidupan adalah lebih senang. Kalau pergi ke bahagian dapurnya, boleh melihat cara memasak pada masa itu yang menggunakan unggun-unggun kayu. Kebanyakan barangan tidak menggunakan elektrik seperti seterika, lampu pelita dan pengisar makanan. Rumah ini diperbuat daripada kayu dan dicat dengan varnis sesuai untuk menggambarkan hidup pada suatu ketika dahulu. Manakala di perkarangan rumah ada sebuah taman kecil yang mempunyai kebun bonsai kecil. Selepas habis melawat muzium, bolehlah mencuba teh yang cuma berharga RM1.50. Ada juga dijual kopi, ais cincau dan herba-herba Cina yang amat baik untuk kesihatan.

Alamat:

  • No 6, Jalan Sungai Itek, 31600 Gopeng, Perak, Malaysia

Facebook:

Waktu Buka:

  • 9.00pagi-3.00petang (Sabtu-Ahad)

Tiket:

  • Percuma

Tempat-tempat yang diminati pasangan kekasih

25. Pulau Pangkor

Pulau Pangkor ialah antara pulau yang tersohor di Selat Melaka kerana ia boleh dikunjungi sepanjang tahun tanpa mengira musim tengkujuh atau kering. Kecantikan tempat ini menjadikannya satu tarikan romantik untuk kekasih berkunjung ke negeri Perak. Lagipun, kedudukan pulau ini adalah cuma 3 jam dari metropolis Kuala Lumpur. Walaubagaimanapun, tiada jalanraya yang menyambungkan pulau ini ke tanah besar. Tetapi, jangan bimbang kerana perkhidmatan feri disediakan. Pulau Pangkor terkenal kerana aktivit pelancongan yang sekian lama dimajukan di sini. Pasangan kekasih boleh menyewa motorsikal atau basikal untuk pergi sekeliling pulau berdua-duaan. Selain daripada tarikan semulajadi di sini, ada wujudnya sebuah kubu Belanda yang dibina pada tahun 1670. Pulau ini kecil, cuma berukuran 18 kilometer persegi, oleh itu mudah untuk dijelajah. Memang sesuai untuk pasangan kekasih menikmati masa peribadi di sebuah pulau dekat dengan bandar utama.

Alamat:

  • Terminal Jeti Lumut, 32200 Lumut, Perak

Waktu Buka:

  • 7.00pagi-8.30malam (Jeti ke pulau)
  • 6.30pagi-8.30malam (Pulau ke jeti)

Tiket:

  • RM5 (Pergi sahaja)
  • RM10 (Pergi balik)

26. Restoran Indulgence and Living

Waktu romantik bersama pasangan tidak akan lengkap tanpa sebuah makan malam romantik di sebuah restoran yang romantik. Restoran Indulgence and Living mempunyai persekitaran amat sesuai untuk makan malam romantik dengan lampu bercahaya rendah dan tempat duduk yang peribadi untuk pasangan-pasangan kekasih. Bangunan restoran ini merupakan sebuah banglo besar yang diubahsuai untuk menjadi sebuah restoran mewah. Jadi, pengalaman makan malam di sini seolah-olah makan malam di sebuah rumah orang berada. Makanan yang ada ialah makanan barat yang sedap dan amat diminati orang ramai. Persembahan makananan amat menarik dan sesuai dengan tema romantiknya. Makanan yang dicadangkan ialah kek tiramisu yang merupakan resipi keistimewaan restoran. Restoran ini terletak di tengah bandaraya Ipoh dan senang dicapai. Selain restoran, ada juga kemudahan penginapan disediakan kalau ingin bermalam di bunglo ini. Makanan di sini tidak menggunakan mana-mana bahan yang berasaskan khinzir.

Alamat:

  • 14, Jalan Raja Dihilir, 30350 Ipoh, Negeri Perak

Laman Web:

Facebook:

Waktu Buka:

  • 9.00pagi-10.30malam (Rabu-Ahad)
  • Tutup (Isnin-Selasa)

27. Taman Rekreasi Gunung Lang

Taman rekreasi ini sebesar 30.5 hektar mempunyai pemandangan yang cantik dengan latarbelakang bukit-bukit batu kapur menghiasinya. Gunung Lang merupakan sebuah kawasan dilindungi dan aktiviti-aktiviti manusia tidak dibenarkan di sini. Taman ini amat hijau dengan pokok-pokok yang dijaga rapi untuk para pengunjung. Suasananya tenang dan amat sesuai untuk pasangan kekasih meluangkan masa bersama-sama. Ianya tidak seperti taman-taman yang biasa kerana adanya sebuah tasik besar yang merangkumi hampir separuh daripada kawasan taman. Orang ramai datang ke sini kerana tarikan menaiki bot di atas tasik ke arah sebuah kawasan taman berdekatan. Perjalanan bot memang romantik sambil menikmati pemandangan bukit batu kapur yang indah di sekelilingnya. Selain itu, terdapat juga sebuah zoo mini dan sebuah anjung tinjau untuk para pengunjung. Semua tempatnya memang berbaloi untuk mengambil gambar bersama orang yang tercinta.

Alamat:

  • Taman Rekreasi Gunung Lang, Off Jalan Kuala Kangsar, 30010 Ipoh

Waktu Buka:

  • 8.00pagi-12.00tengahari, 1.30petang-7.00malam (Isnin – Khamis)
  • 8.00pagi-12.00tengahari, 2.45petang-4.00petang (Jumaat)
  • 8.00pagi-6.30petang (Sabtu-Ahad)

Tiket:

  • Percuma untuk masuk. Tiket naik bot:
  • RM3 (Dewasa)
  • RM1.50 (Kanak-kanak dan Warga Emas)

28. Resort The Haven

Satu lagi resort 5 bintang untuk pasangan kekasih di Perak ialah Resort The Haven di bandaraya Ipoh. Resort ini terdiri daripada 3 blok bangunan penginapan yang menempatkan 512 unit bilik penginapan. Tempat ini dipilih dalam senarai ini kerana resort ini telah memenangi anugerah sebagai tempat perkahwinan mewah terbaik di dunia pada tahun 2016. Tempat ini memang wajar menerima anugerah ini kerana latarbelakangnya sebuah formasi bukit yang sudah berumur berjutaan tahun dengan pokok-pokok yang menghijau amat simbolik sebagai cinta yang berkekalan selama-lamanya. Sebuah tasik semulajadi menambah lagi suasana romantik. Terdapat sebuah kolam renang di sini yang merentang ke tasik. Para pengunjung boleh berenang-renang sambil menikmati pemandangan tasik seolah-olah ianya sebahagian daripada kolam renang. Tempat ini pasti akan diminati pasangan yang bercadang melansungkan perkahwinan mereka di kalangan alam semulajadi di sekeliling.

Alamat:

  • Persiaran Lembah Perpaduan, 31150, Ipoh, Perak, Malaysia

Laman Web:

Facebook:

Harga semalam:

29. Taman Tasik Taiping

Kalau ke Taiping, Perak memang wajar untuk meluangkan sedikit masa di Taman Tasik Taiping. Taman ini merupakan taman awam yang tertua di Malaysia sejak pembukaanya pada tahun 1880 yang direka oleh Charles Compton. Malah saiz taman yang sebesar 64 hektar ini juga merupakan terbesar di Malaysia. Jadi, pasangan yang melawat ke sini boleh membayangkan betapa romatiknya berada di sini dengan pemandangan yang berlatarbelakangkan pokok-pokok yang sudah berusia beratus tahun. Pada waktu petang amat sesuai berjalan-jalan di bawah pepohon yang redup bersama yang tercinta. Kawasan taman yang besar ini merangkumi 10 tasik dan kolam kecil di sekitarnya. Malah Zoo Taiping dan Bukit Larut turut berada dalam lingkungan taman ini. Lawatan ke Taiping sebagai pasangan kekasih haruslah pergi ke Tasik Taiping sebagai salah satu tempat menarik di Perak yang harus dilawati. Banyak gambar-gambar cantik boleh diambil dalam taman ini yang sudah berusia lebih daripada 130 tahun kewujudannya.

Alamat:

  • Jalan Pekeliling, Taman Tasik Taiping, 34000 Taiping, Negeri Perak

Waktu Buka:

  • 24 Jam

Tiket:

  • Percuma

30. Taman LED Kinta Riverfront Walk

Di hadapan Hotel Riverfront Kinta ada sebuah tarikan yang dilancarkan pada tahun 2012 iatu sebuah pertebingan sungai yang dihiasi dengan poko-pokok tiruan dengan lampu berwarna-warni. Tempat ini hanya sesuai dilawati pada waktu malam apabila lampu-lampu dinyalakan untuk disaksikan oleh orang ramai terutamanya kepada pasangan kekasih untuk menyalakan lagi percintaan antara mereka. Pada sudut tertentu, pantulan lampu LED dari permukaan air sungai sangat cantik. Pada waktu malam suhunya nyaman ditemani bunyi air sungai yang mengalir. Tambahan pula pemandangan pokok-pokok LED diselangi dengan cahaya bangunan-bangunan tinggi bandaraya Ipoh. Pemandangannya seperti suatu planet futuristik di bandaraya Ipoh yang cukup romantik dan luarbiasa. Tempat ini terletak berdekatan dengan banyak tempat-tempat hiburan seperti restoran-restoran dan kafe-kafe. Setelah penat berjalan-jalan bolehlah ke sana.

Alamat:

  • Jalan Pekeliling, Taman Jalan Lim Bo Seng, 30000 Ipoh City

Waktu Buka:

  • 24 Jam

Tiket:

  • Percuma

Kesimpulan

Negeri Perak amat sesuai untuk dikunjungi semua orang dari pelbagai latarbelakang. Negeri yang cukup kaya dengan keindahan alam semulajadi tetapi tidak sesesak negeri-negeri pelancongan yang lain. Mutu dan kualitinya sama rata tetapi tidak mencuba terlalu kuat untuk menarik para pelancong ke negerinya. Oleh itu, negeri ini sesuai dilawati pelancong-pelancong yang ingin ke sebuah negeri di Malaysia yang kaya dengan pelbagai tawaran pelancongan. Industri pelancongan di negeri Perak kini semakin maju berbanding dahulu dan semakin meningkat namanya setanding dengan negeri-negeri di Malaysia yang lain seperti Sabah ataupun Pulau Pinang.

Jadi apa yang ditunggu-tunggu lagi, negeri Perak sememangnya menyajikan pelbagai tarikan untuk pelbagai jenis tema pelancongan. Seperti yang dilihat dalam senarai ini, ada sesuatu untuk setiap orang seperti percutian mewah di The Banjaran, kolam air panas di Sungai Klah atau istana bersejarah seperti Istana Kellie. Negeri Perak mudah dicapai melalui Lebuhraya Utara Selatan dihubungkan dengan negeri-negeri seperti Kedah dan Pulau Pinang di utaranya dan Selangor di selatan negeri ini. Selain itu, Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah menghubungkan pengangkutan udara ke negeri ini. Memang banyak tempat menarik di Perak menanti-nantikan kedatangan para pelancong ke Perak.

Add Comment