Tempat Menarik Di Pahang: Top 30 tempat yang perlu dikunjungi

Tempat Menarik Di Pahang – Negeri Pahang yang diberi nama gelaran kehormatan dalam bahasa Arab ‘Darul Makmur’ merupakan sebuah negeri yang menyingkap pelbagai kecantikan alam semulajadinya. Negeri Pahang ialah negeri ketiga terbesar dan juga ketiga terendah kepadatan penduduk di Malaysia selepas Sabah dan Sarawak. Oleh itu, para pembaca boleh membayang-bayangkan kawasan yang menghijau luas di negeri ini. Secara geografinya, Pahang boleh dibahagikan kepada tiga jenis kawasan berpendudukan iatu tanah tinggi, hutan tropika dan pinggir lautan. Memang tidak dinafikan pelancongan di Pahang terkenal dengan pelancongan di kawasan tanah tingginya.

Terdapat banyak tempat menarik di Pahang yang akan disenaraikan dalam rencana ini. Senarai ini lebih fokus kepada kawasan pelancongan di tanah tinggi yang sememangnya keistimewaan semulajadi yang ditawarkan kepada para pelancong. Suhu di sini lebih rendah berbanding tempat-tempat lain di Malaysia seolah-olah berada di negara empat musim. Tumbuh-tumbuhan di sini pun berbeza dengan barisan pokok-pokok konifer, ladang buah-buahan empat musim seperti strawberi dan sebagainya. Malah, pemandangan yang menyejukkan mata seperti puncak bukit berkabus kelihatan seperti gula-gula kapas menyelubunginya. Faktor-faktor di atas menjadikan Pahang sebagai destinasi percutian tanah tinggi terulung di Malaysia yang menawarkan pelbagai jenis tema percutian.

Tempat Menarik di Pahang

Genting Highlands

1. Hotel First World

Genting Highlands ialah kawasan peranginan tahan tinggi yang terkenal bukan sahaja di Pahang, malah di seluruh dunia. Cara yang terbaik untuk menikmati hiburan di sini sudah tentunya dengan menginap semalaman di sini. Hotel First World telah diiktiraf sebagai hotel terbesar di dunia yang mempunyai 7,351 bilik penginapan. Hotel tiga bintang ini menawarkan pelbagai kemudahan-kemudahan hotel moden seperti televisyen skrin pipih dan peti sejuk dalam setiap bilik disediakan. Tarikan utama bermalam di sini sudah semestinya pemandangan hutan hujan berkabus tebal daripada jendela bilik dan peluang menyedut udara segar dan bersih kawasan Genting Highlands. Semua tempat hiburan juga disambungkan dalam kompleks bangunan yang sama. Walaupun berada di kawasan berkelas dunia, harga bilik penginapan berpatutan tidak mahal dengan adanya ribuan bilik yang disediakan. Malah, sarapan bufet disediakan untuk orang yang bermalam di sini.

Alamat:

  • Genting Highlands, 69000 Genting Highlands, Pahang

Laman Web:

Harga semalam:

2. Ladang Orkid ‘World of Phalaenopsis’

Kalau pergi ke Genting Highlands, jangan lupa berkunjung ke Ladang Orkid ‘World Of Phalaenopsis’. Para peminat bunga-bunga pastinya akan meminati tempat ini kerana ada pelbagai orkid untuk dilihat dan dijual. Ladang ini mempunyai saiz sebesar 5.2 ekar dan syarikat ini merupakan pengeluar orkid ‘phalaenopsis’ terbesar di Malaysia. Orkid ini tumbuh secara semulajadi di hutan-hutan sekeliling Asia Tenggara tetapi memerlukan penjagaan yang teliti supaya bunganya terjaga. Terdapat 390 spesis orkid yang dijual di sini dalam pelbagai warna seperti putih, jingga, merah jambu dan kuning. Pokok bunga orkid yang berbunga dalam pasu pada harga yang berpatutan bergantung kepada jenis bunga orkid. Orkid yang mempunyai baka kacukan adalah lebih mahal daripada yang biasa tetapi penjualannya tetap laris. Para pekerja akan menerangkan cara penjagaannya kalau tidak berpengetahuan mengenai orkid ini. Ada juga dijual benih-benih pelbagai spesis kalau ingin cuba menumbuhkan bunga ini sendiri di rumah.

Alamat:

  • Lot 100, Gohtong Jaya, 6900, 69000 Genting Highlands

Waktu Buka:

  • 8.00pagi-5.00petang (Isnin-Ahad)

Tiket:

  • Percuma

3. Taman Tema ’20th Century Fox World’

Pada tahun 2013, Genting Outdoor Theme Park menutup pintunya untuk kerja menaiktaraf zon hiburan ini. Pihak pengurusan membina Taman Tema ’20th Century Fox World’ yang merupakan yang pertama di dunia bertemakan filem-filem blockbuster Hollywood. Dalam pelan induk taman tema ini ialah pembinaan 25 permainan yang diinspirasikan oleh filem-filem ternama seperti Titanic, Ice Age, Planet of The Apes dan sebagainya. Saiz kawasan taman tema ialah 10 hektar. Sebuah kedai cenderamata Fox World Studio Store telah pun dibuka yang mempunyai 700 produk-produk rasmi seperti permainan dan pakaian daripada filem-filem yang diketengahkan dalam taman tema ini. Walaubagaimanapun, ianya belum lagi dibuka tetapi akan siap pada penghujung tahun 2018 dan semestinya satu saat ditunggu-tunggu pembukaannya di kalangan para pelancong. Pada masa penulisan rencana ini, pihak pengurusan sedang membuat uji bakat untuk menjadi artis-artis dalam tarikan taman tema ini kelak.

Alamat:

  • Genting Highlands, 69000 Genting Highlands, Pahang

Waktu Buka:

  • Akan diumumkan tidak lama lagi

Tiket:

  • Akan diumumkan tidak lama lagi

4. Pusat beli-belah SkyAvenue

Negara Malaysia memang terkenal dengan pusat beli-belahnya yang terdapat di kebanyakan bandar-bandar besar. Pusat beli-belah ‘SkyAvenue’ ialah satu lagi tempat unik di Genting Highlands kerana lokasinya 6,000 meter dari atas laut. Pusat beli-belah 3 tingkat menambah pengalaman percutiaan di tanah tinggi Genting Highlands. Semua jenama-jenama fesyen terkenal ada di sini seperti Uniqlo, H&M, Swarovski dan sebagainya. Setelah penat seharian membeli-belah, ada restoran-restoran pelbagai jenis seperti makanan segara Kenny Rogers, minum kopi di Starbucks dan sebagainya. Kalau tidak membeli-belah ada juga tarikan lain seperti ‘Ripley’s Believe it Or Not’ dan permainan dinosaur di ‘Jurassic Center’. Satu keistimewaan pusat beli-belah ini ialah pertunjukkan lampu LED yang dipanggil ‘SkySymphony’ yang menggabungkan audio-visual dan pergerakan kinetik 1001 bebola takal. Pertujukkan ini diadakan setiap 1 jam berselang-seli dengan 3 pertujukkan yang bertajuk ‘Forest’, ‘Urban Symphony’ dan ‘The Goddess’. Satu pengalaman menarik seolah-olah pergi ke negara empat musim untuk membeli-belah.

Alamat:

  • Genting Highlands, 69000 Genting Highlands, Pahang

Laman Web:

Waktu Buka:

  • 10.00pagi-10.00malam (Isnin-Ahad)

5. Kereta Kabel Genting Awana Skyway

Untuk pergi ke kawasan peranginan Genting Highlands, ada pelbagai mod kenderaan yang boleh digunakan seperti kereta, bas dan teksi. Satu cara pengangkutan yang disyorkan ialah menaiki gondola kereta kabel ‘Awana SkyWay’ dari kaki bukit ke kawasan utama peranginan. Sistem kereta kabel gondola ini dilancarkan pada tahun 2016 menggantikan sistem kereta kabel trem yang beroperasi antara tahun 1977 dan 2014. Pengangkutan udara ini boleh membawa sehingga 3,600 penumpang sejam dengan 10 penumpang setiap gondola.  Ada juga gondola istimewa iatu lantainya diperbuat daripada cermin lutsinar. Ada 2 perhentian iatu di Tokong Chin Swee dan perhentian utama di kompleks hotel. Dalam perjalanan, kompleks hiburan Genting Highlands diselubungi pepohon pokok kehijauan dengan kekabus putih kelihatan seperti sebuah bandar fantasi dibina di tengah-tengah hutan belantara. Perjalanan ini sejauh 2.8 kilometer mengambil masa kira-kira 10 minit untuk sampai ke stesen utama.

Alamat:

  • Awana Skyway, Genting Highlands Resort, 69000 Genting Highlands, Pahang

Waktu Buka:

  • 7.00pagi-12.00tengah malam (Isnin-Ahad)

Tiket:

  • RM8 (Gondola biasa)
  • RM35 (Gondola lutsinar)

6. Ladang Happy Bee

Ladang Happy Bee terletak di kawasan beriklim sejuk di Genting Highlands yang amat sesuai untuk melihat koloni lebah yang membuat sarang madunya dan pemprosesan madu mentah sehingga ke produk akhir untuk dijual. Selain penghasilan madu komersil, ladang ini juga adalah hab pendidikan bagi mereka yang ingin mempelajari lebih lanjut tentang lebah. Terdapat paparan spesimen kehidupan lebah, hidup ekologi lebah dan pelbagai formasi sarang lelabah. Selain itu, para pengunjung boleh belajar secara interaktif dengan adanya stesen pembelajaran yang dilengkapi dengan gambar-gambar dan persembahan audio mengenai lebah-lebah dan peranannya dalam alam sekitar. Selain lebah-lebah ada juga pameran koleksi serangga yang unik dan pelik dari seluruh dunia. Tambahan baru tempat ini ialah pameran rama-rama di dalam taman landskap yang dibina khas yang mempunyai air terjun yang mengalir melaluinya.

Alamat:

  • Awana Skyway, Genting Highlands Resort, 69000 Genting Highlands, Pahang

Waktu Buka:

  • 9.00pagi-9.00malam (Isnin-Ahad)

Tiket:

  • RM16 (Warganegara Malaysia Dewasa)
  • RM20 (Warganegara Asing Dewasa)
  • RM16 (Warganegara Malaysia Kanak-Kanak)
  • RM12 (Warganegara Asing Kanak-Kanak)

Cameron Highlands

7. Estet Boh

Estet Boh telah diasaskan oleh J.A Russel iatu seorang peniaga Inggeris pada tahun 1929. Estet Boh mempunyai 8000 ekar ladang teh yang merupakan yang terbesar di Asia Tenggara. Salah satu tarikan pelancongan utama, Estet Boh menawarkan lawatan terbuka untuk para pelancong. Ada disediakan galeri beli-belah, lawatan ke ladang dan sebuah kafe menghidangkan makanan ringan dan teh jenama Boh. Para pelancong semestinya harus datang ke ladang estet ini apabila berada di Cameron Highlands. Perjalanan jalan ke tempat ini pun satu pengembaraan kerana jalannya sempit dan berliku. Pemandangan bukit-bukau hijau dengan deretan tanaman teh yang tersusun rapi, sesungguhnya sangat menarik perhatian. Ada disediakan lawatan ke kilang pemprosesan secara percuma dan bolehlah melihat sendiri bagaimana daun teh diproses. Yang paling seronoknya, lawatan ini percuma dan ada setiap 30 minit. Selepas lawatan di ladang, bolehlah singgah di kedai teh dan cenderamata jenama teh terkenal ini.

Alamat:

  • Brinchang, 39000 Brinchang, Pahang, Malaysia

Waktu Buka:

  • 9.00pagi-4.30petang (Selasa-Ahad)
  • Tutup (Isnin)

Tiket:

  • Percuma

8. Pasar Malam Hujung Minggu Brinchang

Pada setiap malam Sabtu, pasar malam hujung minggu dianjurkan di Brinchang. Di sinilah semua hasil tanah Cameron Highlands yang dijual di satu tempat. Para pengunjung boleh mendapatkan segala-galanya murah di sini jika tahu bagaimana untuk tawar-menawar. Ini juga merupakan tempat untuk mendapatkan makanan pasar malam dari pelbagai budaya di seluruh Malaysia. Perbezaan utama antara pasar malam Brinchang dan pasar malam biasa adalah sudah tentunya persekitaran yang lebih sejuk. Manakala, sayur-sayuran dan buah-buahan tempatan dijual sangat murah berbanding di tempat-tempat lain seperti buah strawberi, produk ternakan lebah-lebah dan bunga-bungaan hasil tanah tinggi. Sayur-sayuran tempatan yang ada seperti capsicum, brokoli dan zuchini. Memang sangat berbaloi pergi ke sini membeli produk-produk tersebut sebelum balik ke rumah. Kalau tidak beli apa-apa, pasar malam ini ada juga makanan tempatan contohnya Kuih Brinchang yang berasal dari sini. Waktu puncak perniagaan ialah pada musim cuti sekolah Malaysia.

Alamat:

  • By Brinchang Police Station, Brinchang, Malaysia

Waktu Buka:

  • 4.00petang-10.00malam (Jumaat-Sabtu)
  • 6.00petang-11.00malam (Musim cuti sekolah Malaysia)

9. Ladang Rose Center, Brinchang

Ladang bunga mawar ini ialah ladang khas yang hanya menaman bunga mawar. Ladang ‘Rose Centre’ ini mempunyai 10 tingkat teresan tanaman bunga mawar adalah pusat pelancongan terbesar di seluruh Cameron Highlands. Terdapat sebanyak 100 jenis spesis bunga mawar dalam setiap warna yang boleh dibayangkan. Di ladang ini untuk mencantikkan halamannya, ada pelbagai mural kebudayaan dan ukiran batu yang berwarna-warni sebati dengan teresan bunga mawar. Ladang ini juga mempunyai sebuah pusat maklumat pelancongan untuk orang ramai. Ia adalah salah satu kemudahan yang disediakan untuk orang ramai yang ingin mengetahui lebih lanjut mengenai proses penanaman bunga mawar. Ada juga dijual semaian tanaman, kaktus dan bahan berkebun di sebuah kedai kecil berhampiran kaunter tiket. Ladang mawar ini pastinya akan memikat hati peminat-peminat bunga mawar. Tidak lagi perlu pergi ke negara empat musim untuk melihat ladang mawar kerana di Cameron Highlands pun ada.

Alamat:

  • Brinchang, 39100, Cameron Highlands

Waktu Buka:

  • 8.00pagi-6.300petang (Isnin-Ahad)

Tiket:

  • RM5 (Dewasa)
  • RM2 (Kanak-Kanak)

10. Hutan Berlumut (Mossy Forest)

Satu kawasan di Cameron Highlands yang harus dilawati peminat alam semulajadi ialah ‘Mossy Forest’ atau Hutan Berlumut dalam Bahasa Melayu. Kawasan hutan yang sejuk yang penuh dengan tumbuhan lumut. Pemandangannya seperti dalam sebuah filem misteri hutan yang diselaputi lumut-lumut basah dan lembap pada setiap permukaan tanah, kayu-kayu dan batu-batuan. Tambahan lagi, kabus-kabus tebal sentiasa menyelubungi persekitaran kerana kawasan ini menerima taburan hujan yang banyak. Ada tumbuh-tumbuhan terpelihara seperti periuk kera Nephenthes yang memerangkap serangga kecil dalam karungnya boleh ditemui di sini. Pada ketinggian lebih daripada 6,000 kaki, ia menawarkan pemandangan sejauh Perak dan Pahang bergantung kepada cuaca dan ketebalan kabus. Aktiviti merentas hutan dalam ‘Mossy Forest’ agak senang ada jalan berturap dengan tetangga dan kawasan untuk berehat. Ia sesuai untuk seisi keluarga kerana perjalanan menaikinya tidak menyusahkan. Walau bagaimanapun, jika kabus menjadi terlalu tebal, pelan untuk naik mungkin terpaksa ditunda.

Alamat:

  • Mossy Forest, 39000 Brinchang, Pahang

Waktu Buka:

  • Buka sepanjang hari. Sila semak ramalan cuaca sebelum mendaki

Tiket:

  • Percuma

11. Taman Lavender

Bayangkan sebuah ladang lavander yang terbentang luas dengan bau wanginya amat menenangkan jiwa. Dalam sejarah, bunga lavender telah digunakan sebagai salah satu bauan dalam terapi menurunkan tekanan perasaan. Perjalanan dalam taman ini bermula dengan lavender yang berasal dari Hokkaido Jepun dan kemudiannya lavender Mona dan lavender Taiwan berhampiran dengan laluan cerun. Taman ini tidaklah begitu besar, tetapi jika anda datang pada musim mekar bunga lavender, anda pasti terpesona dengan deretan-deretan bunga-bunga ungu yang menghiasi taman ini. Satu keistimewaan tempat ini ialah ais krim lavender yang unik dan sedap. Taman ini bukan sahaja mempunyai lavender, tetapi juga pelbagai jenis bunga lain seperti gerberas, mawar, peonies and daisies kuning dan buah strawberi. Para pengunjung juga dibenarkan memetik bunga untuk dibawa balik ke rumah. Sebelum balik, bolehlah ke kedai cenderahati membeli produk-produk wangian lavender sebagai kenangan dari ladang ini.

Alamat:

  • Tringkap, Cameron Highlands, 39100 Pahang, Malaysia

Laman Web:

Facebook:

Waktu Buka:

  • 9.00pagi-6.00petang (Isnin-Khamis)
  • 9.00pagi-7.00petang (Jumaat-Ahad)

Tiket:

  • RM10 (Dewasa)
  • RM7 (Kanak-Kanak)

12. Ladang Strawberi Big Red

Cameron Highlands semestinya terkenal dengan buah strawberinya. Malah ianya juga diimport ke luar negara. Iklimnya sangat sesuai untuk menanam strawberi sepanjang tahun tanpa masalah. Ladang Strawberi Big Red adalah sebuah pusat pertanian yang menanam strawberi dan sayur-sayuran organik seperti tomato di lereng bukit curam yang berlatarbelakangkan pusat pekan Brinchang. Di sini, para pengunjung boleh menikmati strawberi segar yang baru sahaja dipetik. Selain itu, para pengunjung juga  boleh belajar bagaimana memilih strawberi yang baik. Ada disediakan sebuah restoran yang menjual pelbagai pencuci mulut seperti wafel dan aiskrim dan minuman berasaskan buah strawberi yang sangat diminati oleh para pelawat ke sini. Memang berbaloi datang ke sini melihat sendiri tanaman strawberi dan mengambil gambar-gambar memori dengan tanaman buah strawberi yang selalunya ada di luar negara. Selain buah strawberi dan sayur-sayuran, turut dijual secara kecil-kecilan  bunga-bungaan seperti kaktus yang tumbuh baik di tanah tinggi ini.

Alamat:

  • Brinchang, 39000 Brinchang, Pahang

Laman Web:

Facebook:

Waktu Buka:

  • 8.00pagi-6.00petang (Isnin-Ahad)

Tiket:

  • Percuma

Pekan Bentong

13. Bentong Walk

Pekan Bentong ialah sebuah pekan kecil yang semakin dikenali sebagai destinasi pelancongan. Satu inisiatif pelancongan di sini ialah memeriahkan Jalan Chui Yin pada hari minggu yang juga dikenali sebagai ‘Bentong Walk’. Banyak gerai-gerai dibuka bukan sahaja menjual makanan, malah aktiviti-aktiviti dianjurkan seperti membuat hasil seni, pentas persembahan, permainan-permainan untuk kanak-kanak kecil dan sebagainya. Berbanding pasar malam biasa dengan ‘Bentong Walk’, ada acara-acara dan aktiviti-aktiviti interaktif untuk para pelawat dari semua lapisan hidup. Ada kegiatan menyanyi dan persembahan secara lansung untuk menghiburkan para pengunjung sambil berjalan dari gerai ke gerai. Dari pukul 5 petang hingga 11 malam setiap hari Sabtu, penduduk Bentong dan para pelancong akan membanjiri ‘Bentong Walk’ untuk menikmati suasana ala karnival ini. Malah, jalan akan disinari lampu-lampu jalanan istimewa hanya untuk malam Sabtu. Pengalaman di ‘Bentong Walk’ semestinya satu yang indah berpesta dengan penduduk tempatan menghangatkan suasana walaupun malam hari di sini dingin.

Alamat:

  • Jalan Chui Yin, 28700 Bentong

Facebook:

Waktu Buka:

  • 5.00petang-11.00malam (Sabtu)

14. Restoran Lemang To’ki

Restoran Lemang To’ki sudah dikenali ramai kerana lemang versi restoran ini harum dengan kepekatan santan yang cukup rasa. Pastinya pengunjung yang datang ke sini pastinya akan mengesyorkan Restoran Lemang To’ki kepada kawan-kawan. Bukan sahaja ada lemang yang dijual malah ada rendang daging, ayam panggang, pelbagai minuman dan sebagainya boleh didapati di sini. Pada waktu puncak seperti makan tengahari pastinya ada ramai orang.  Apa yang istimewa tentang tempat ini ialah, para pengunjung dapat melihat bagaimana lemang mereka dibuat dan dimasak. Ini kerana tempat memasak lemang ada di perkarangan restoran tersebut. Apabila melihat masakan dibuat di depan mata, pasti ingin memesan untuk dimakan kerana baunya yang sangat wangi. Bukan sahaja ada makanan-makanan yang sedap, malah ada juga banyak jenis minuman istimewa seperti air batu campur, air berkarbonat dengan aiskrim dan ‘lychee kang’. Kalau berkesempatan ke sini haruslah memesan setiap makanan dan minuman untuk dikongsi bersama-sama teman.

Alamat:

  • Lemang To’ki, 28700 Bentong

Facebook:

Waktu Buka:

  • 7.00pagi-12tengah malam (Selasa-Ahad)
  • Tutup (Isnin)

15. Muzium Felda

Peminat-peminat sejarah tidak juga dilupakan di Pekan Bentong. Di sini, ada sebuah muzium yang memaparkan sejarah pembangunan tanah Felda di negara Malaysia. Kebetulan, muzium ini terletak di Lurah Bilut iatu tempat pertama program pembangunan ini dilancarkan. Bangunannya pun bersejarah kerana ia merupakan pejabat pentadbiran untuk Felda Lurah Bilut pada tahun 1958, iatu tahun program ini dilancarkan. Program pembangunan ini amat penting pada masa itu untuk menurunkan jurang pendapatan antara penempatan kampung dan bandar yang sangat berbeza pada zaman tersebut. Satu perkara yang menarik ialah Felda telah mendapat pengiktirafan dari Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu atas kejayaan memberi peluang sama rata kepada semua penduduk di kawasan luar bandar untuk menjalani kehidupan lebih baik. Dalam muzium ini penuh dengan khazanah lama daripada projek Felda seperti kenangan mengenai permulaan projek dan kerja keras pihak berkenaan mengembangkannya. Ianya amat sesuai untuk seisi keluarga datang bersama kanak-kanak kerana mereka boleh mempelajari sejarah Malaysia.

Alamat:

  • Kampung Baharu, Lurah Bilut, bentong

Waktu Buka:

  • 10.30pagi-5.00petang (Isnin-Ahad)

Tiket:

  • Percuma

16. Restoran Ikan Bakar Sri Tanjung

Satu lagi restoran yang ternama di sini ialah Restoran Ikan Bakar Sri Tanjung. Nama restoran ini pun sudah memberi gambaran mengenai masakan popular di sini. Daya tarikan utama di sini ialah ikan bakar. Ada pelbagai jenis ikan untuk dipilih seperti ikan kakap merah, ikan kerapu, ikan tilapia, ikan pari dan lain-lain. Selain ikan bakar, juadah lain yang dijual di sini adalah ikan kukus, sotong goreng istimewa, kerang dan pelbagai jenis sayuran. Tambahan lagi ada juga masakan panas ala thai, tomyam, sup ekor, sup tulang dan macam lagi ada di sini. Ada antara bahan-bahan cuma disediakan semasa musimnya, jadi kenalah bertanya dahulu sebelum memesan makanan. Pemilik kedai sangat pakar dalam membakar ikan setelah bertahun-tahun menyempurnakan kemahiran. Ikan akan diperap terlebih dahulu dalam sos cili istimewa resipi pemilik kedai yang memberikan ikan panggang rasanya yang sedap. Satu kriteria yang penting sini ialah ikan-ikan adalah segar.

Alamat:

  • 1978, Jalan Tras, 28700 Bentong, Pahang

Waktu Buka:

  • 5.00petang-12.00tengah malam (Isnin-Ahad)

17. Taman Rekreasi Sungai Marong

Kalau pergi ke Pekan Bentong singgahlah dahulu di Taman Rekreasi Sungai Marong. Para pelancong suka datang ke sini untuk mengambil gambar diri dengan papan tanda untuk menunjuk-nunjuk bahawa mereka telah melancong ke Bentong. Di sepanjang perjalanan melihat sebuah sungai yang dinamakan Sungai Marong yang  mengalir melalui pekan apabila anda memandu ke pekan Bentong. Di salah satu bahagian di tebing sungai, ada sebuah taman dengan papan tanda besar yang ditulis nama ‘Bentong’. Memang mustahil untuk tidak melihatnya. Ia bagaikan papan tanda ‘Hollywood’ untuk pekan ini. Selain itu, taman ini berfungsi sebagai tempat berekreasi bagi penduduk di sana. Terdapat kira-kira 1 kilometer laluan dan terdapat beberapa kemudahan seperti taman permainan, tapak refleksologi dan lain-lain. Pada waktu pagi dan petang ketika warga pekan mempunyai masa lapang untuk bersenam, pasti akan melihat mereka berlari-lari atau bermain-main bersama ahli keluarga meluangkan masa bersama-sama. Jangan lupa singgah di sini sebentar.

Alamat:

  • Kampung Sungai Marong, 28700 Bentong, Pahang, Malaysia

Waktu Buka:

  • Buka sepanjang hari

18. Air Terjun Chamang

Air Terjun Chamang terletak kira-kira 8 km dari pekan Bentong, Pahang. Kawasannya hijau dan luas kerana ianya terletak dalam kawasan perlindungan Hutan Simpan Kekal Bukit Tinggi. Dari Kuala Lumpur pula tidaklah jauh, cuma berjarak kira-kira 69 km. Keunikan air terjun adalah jeram yang mengalir deras serta pelbagai rupa dan bentuk hamparan batu. Di sekeliling air terjun pula terdapat pelbagai spesies tumbuh-tumbuhan, serangga, burung dan reptilia yang unik. Ia satu tempat yang baik untuk rakan-rakan dan keluarga untuk meluangkan masa mengikatkan hubungan silaturahim. Ada satu titi air yang merentangi air terjun yang juga adalah satu perhentian yang cantik untuk mengambil gambar air terjun. Ada disediakan tapak perkhemahan untuk orang yang merancang untuk berkhemah di sana. Malah, kemudahan barbeku turut disediakan untuk memanggang makanan. Selain berfungsi sebagai tempat rekreasi, tempat ini juga merupakan tempat pendidikan dengan papan tanda informasi yang boleh dibaca pada sesetengah pokok dan bunga-bungaan di sekitarnya.

Alamat:

  • Air Terjun Chamang, Bentong, Pahang

Waktu Buka:

  • Buka sepanjang hari

Tempat menarik di Pahang: Bukit Tinggi

19. Resort The Chateau Spa & Organic Wellness

Di Bukit Tinggi sebuah resort yang bergaya Perancis ada di sini. Kalau mencari pengalaman seperti berada di negara Perancis di sini ada semuanya. Rekabentuk bangunan diinspirasikan oleh istana abad ke-12 dari Alsace, Perancis. Bukan itu sahaja, ianya sebuah resort spa organik dan kesihatan pertama di dunia. Bukan sahaja makanan adalah organik, malah cadar, tuala dan produk badan adalah organik. Hotel ini menawarkan perkhidmatan yang  pastinya akan memuaskan hati para pengunjung yang bermalam di sini. Konsep hotel adalah bertemakan budaya Perancis, jadi para pekerja di situ berpakaian sebagai ‘Monsieur’ dan ‘Madame’ untuk memberi persekitaran yang asli seakan-akan berada di Perancis. Tambahan lagi, cuaca yang sejuk di sekeliling tanah tinggi ini menolong untuk merehatkan badan setelah penat bekerja seharian di bandaraya.

Alamat:

  • KM48, Persimpangan Bertingkat, Lebuhraya Karak, Kuala Lumpur, Federal Territory of Kuala Lumpur

Laman Web:

Facebook:

Harga semalam:

  • Harga semalam bermula dari RM685.
  • Sila semak laman web untuk harga semasa: http://www.thechateau.com.my/stay

20. Ladang Arnab

Ladang Arnab Bukit Tinggi terletak di Bentong, Pahang, Malaysia. Tempat ini pastinya akan diminati kanak-kanak kecil kerana ada banyak si comel arnab berlari-larian di kandang. Malah, para pengunjung turut dibenarkan untuk memegang arnab, ianya memang satu kegiatan yang sangat terapeutik. Bukan sahaja arnab, ada juga rusa, guinea pig dan keldai. Waktu cuti sekolah pasti ramai orang. Satu kegiatan yang menyeronokkan di sini ialah menaiki keldai untuk anak-anak kecil. Ibu bapa bolehlah membawa anak-anak mereka ke sini pada hujung minggu sebagai lawatan  pendidikan mengajar anak-anak mengenai binatang-binatang di ladang. Ada juga dijual makanan arnab yang berharga RM 1 setiap paket, kalau ingin memberi makan kepada arnab. Terdapat juga kawasan di mana kanak-kanak boleh berinteraksi dengan arnab yang dilindungi dengan pagar kecil untuk mengelakkan arnab keluar dari sangkar. Suasananya yang cantik dan indah sangat sesuai untuk membawa barangan berkelah sambil makan-makan bersama-sama ahli keluarga.

Alamat:

  • Bukit Tinggi, 28750 Bentong, Pahang

Waktu Buka:

  • 10.00pagi-6.00petang (Isnin-Khamis)
  • 9.00pagi-7.00malam (Sabtu-Ahad)

Tiket:

  • RM5 (Dewasa dan Kanak-Kanak)

21. Taman Pengembaraan di Tropicale Colmar

Bagi peminat-peminat sukan lasak pula, ada juga kemudahan sukan lasak di Bukit Tinggi dalam ‘Adventure Park by Tropicale Colmar’. Untuk menjadi peserta, seseorang hendaklah mempunyai berat lebih daripada 45 kilogram dan tidak lebih daripada 120 kilogram untuk faktor keselamatan. Terdapat 4 litar sukan lasak iatu ‘flying fox’, litar berjalan kanopi tinggi, mendaki dinding berbatu dan permainan ‘paintball’. Apa yang menarik di sini ialah ‘flying fox’ ialah yang terpanjang di Malaysia. Peluncuran pada ‘flying fox’ ini berjarak 530 meter dan pergerakan sepantas 70 sehingga 80 kilometer sejam dari satu hujung ke hujung yang lain. Manakala, litar berjalan kanopi tinggi satu tarikan mencabar minda. Untuk yang sudah biasa bermain sukan lasak, bolehlah mencuba tarikan ini yang dikelilingi oleh persekitaran yang sejuk. Lanskap kawasan sesuai dengan elemen semula jadi hutan untuk mewujudkan suasana yang sihat dan mesra alam.

Alamat:

  • Bukit Tinggi, 28750 Bentong, Pahang

Waktu Buka:

  • 10.00pagi-6.00petang (Isnin-Ahad)

Tiket:

22. Taman Jepun

Banyak tarikan-tarikan di tanah tinggi Pahang berkonsepkan kebudayaan luar negara untuk dikongsi bersama-sama para pelancong tempatan yang tidak ada kesempatan berkunjung ke luar negara. Satu lagi tempat yang menyeronokkan ialah ‘Taman Jepun’ di Bukit Tinggi. Taman Jepun initerletak 3,500 kaki di atas paras laut untuk memberi pengalaman seperti berada di Negara Matahari Terbit. Taman ini telah direka oleh Kaio Ariizumi, seorang arkitek Jepun yang terkenal dengan bantuan sekumpulan 22 tukang seni Jepun. Di sini, pengunjung boleh menikmati pemandangan kolam batu, kolam koi, taman bunga dan bangunan bercirikan Jepun. Tarikan utama sini ialah Rumah Teh Jepun, Spa Tatami dan sebuah restoran Jepun yang bernama Ryo Zan Tei. Ramai para pelancong datang ke sini untuk mengambil bahagian dalam upacara minum teh Jepun dan juga menyewa kimono untuk mengambil gambar kenangan memori. Ramai juga datang ke sini untuk menonton spesis burung-burung.

Alamat:

  • KM 48, Persimpangan Bertingkat Lebuhraya Karak, Bukit Tinggi, 28750 Bentong, Pahang

Waktu Buka:

  • 9.30pagi-5.00petang (Isnin-Ahad)

Tiket:

  • RM15 (Seorang)
  • RM8 (Kanak-Kanak)

23. Resort Berjaya Hills Colmar Tropicale waktu malam

Ingin menikmati kehidupan malam yang serupa di Perancis? Jawapannya ada di Colmar Tropicale. Bangunan-bangunan dibina berdasarkan rekabentuk bangunan di Perancis di bawah lampu-lampu jalanan menghiasi malam di sini. Suhunya tidak terlalu sejuk tetapi satu alasan untuk berpakaian tebal dan bergaya seperti berada di negara sejuk. Tambahan lagi, kalau bergambar boleh dimuat naik ke laman sosial untuk ditunjuk-tunjukkan kepada kawan. Memang ada yang akan keliru dengan persekitarannya yang menganggap gambar diambil di luar negara. Ada restoran-restoran yang membolehkan para pengunjung duduk sambil menikmati persekitaran di sini seperti La Billard dan Le Blason Lounge. Nama-nama restoran pun mengikut nama Perancis untuk meniru persekitaran di Perancis. Kecantikan kawasan ini menjadikan ianya sesuai untuk dijadikan tempat untuk para kekasih. Jadi, kalau mencari satu tempat untuk meluangkan masa bersama-sama kekasih bolehlah pergi ke Colmar Tropicale pada waktu malam.

Alamat:

  • KM 48, Persimpangan Bertingkat Lebuhraya Karak, Bukit Tinggi, 28750 Bentong, Pahang

Waktu Buka:

  • 10.00pagi-12.00tengah malam (Isnin-Ahad)

Tiket:

  • RM15 (Seorang)
  • RM8 (Kanak-Kanak)

24. Aktiviti menunggang kuda di ‘Horse Trail’

Apa kata kalau pergi menunggang kuda di Bukit Tinggi pula? Di sini, ada disediakan kemudahan menunggang kuda yang merangkumi kawasan sebesar 16,000 ekar dengan jurupandu terlatih. Denai-denai yang ada membawa si pengunggang ke kawasan dengan muka bentuk bumi yang beralunan. Ada 4 denai utama yang boleh dilalui iatu ‘Jungle Ride’, ‘Golf View Ride’, ‘Creek and River Ride’ dan ‘Picnic Ride’. Jadi bergantung kepada para peserta apa denai yang ingin dinaiki. Tambahan lagi, seperti yang diketahui, persekitaran yang sejuk dan nyaman menambah lagi pengalaman menunggang kuda ini. Semua aktiviti berkaitan dengan menunggang kuda ada di sini seperti kem latihan menunggang kuda, belajar menunggang kuda dan sebagainya. Kalau tidak ada pengalaman jangan bimbang kerana jurulatih di sini bertauliah dan mereka sedia mengajar para peserta.

Alamat:

  • KM 48, Persimpangan Bertingkat Lebuhraya Karak, Bukit Tinggi, 28750 Bentong, Pahang

Facebook:

Waktu Buka:

  • 10.00pagi-6.00petang (Jumaat-Rabu)
  • Tutup (Khamis)

Tiket:

Bukit Fraser, Raub

25. Pusat Burung Bukit Fraser

Bukit Fraser terkenal sebagai pusat migrasi burung-burung di Malaysia. Jadi tidak hairanlah aktiviti menonton burung adalah salah satu aktiviti yang paling popular di Bukit Fraser. Di pusat informasi ini para pengunjung boleh mendapatkan maklumat mengenai flora dan fauna, sejarah Bukit Fraser dan maklumat umum mengenai burung. Ada dipamerkan galeri tentang spesies burung tempatan dan migrasi yang telah direkodkan di kawasan Bukit Fraser. Terdapat lebih daripada 270 spesies burung seperti burung enggang, burung merpati, burung helang dan spesies-spesis endemik lain. Burung-burung migrasi dari Rusia, Cina dan Jepun melawat Bukit Fraser untuk melarikan diri dari musim sejuk pada musim migrasi. Burung-burung menetap di sini selama beberapa bulan sebelum mengarah ke Australia dan New Zealand untuk kawasan yang lebih panas. Musim migrasi di Bukit Fraser akan berlaku pada tiga bulan terakhir setiap tahun. Ramai peminat burung-burungan datang ke sini untuk menonton burung-burung yang cantik dan unik.

Alamat:

  • 49000 Fraser’s Hill, Pahang

Waktu Buka:

  • 10.00pagi-7.00malam (Isnin-Ahad)

Tiket:

  •  Percuma

26. Hotel Butik ‘Ye Old Smokehouse’

Hotel dibina pada tahun 1939 mempunyai gaya Inggeris Tudor. Rupanya memang seolah-olah berada di salah sebuah bangunan penginapan di United Kingdom. Lokasinya terletak bersebelahan dengan padang golf yang indah. Hiasan dalaman memang seperti sebuah rumah bergaya Inggeris. Setiap perabot dan alatan di dalam hotel ini dipilih dengan teliti untuk memberi suasana asli di negara Inggeris. Tamannya dijaga rapi dan mempunyai rekaan seperti sebuah taman Inggeris. Tempat makannya amat menarik, dengan setiap meja dihiasi rapi dalam taman yang cantik bertemankan cuma kicauan burung. Cuma ada 14 bilik disediakan, jadi pengalaman di sini sangat peribadi tanpa gangguan orang ramai. Hotel butik ini menyediakan sarapan tradisional Inggeris tradisional dan juga jamuan teh tengah hari di tamannya yang dijaga rapi. Jamuan teh tengahari ada menyajikan kuih ‘scone’ Inggeris buatan sendiri dengan jem strawberi segar.

Alamat:

  • Jalan Jeriau, Bukit Fraser, 49000 Bukit Fraser, Pahang

Laman Web:

Harga semalam:

27. Taman Awam Bukit Fraser

Taman Awam Bukit Fraser adalah taman awam di Bukit Fraser, yang terletak di sepanjang jalan utama bersebelahan gedung makanan. Tempat ini sesuai dilawati jika hanya berada di Bukit Fraser beberapa jam sahaja sebelum turun ke kawasan rendah. Tempat ini amat popular untuk keluarga dengan anak-anak kecil pada hujung minggu. Ada pondok-pondok rehat, bangku-bangku dan gazebo-gazebo bergaya Inggeris disediakan dalam lanskapnya berlatarbelakangkan pokok-pokok konifer yang cantik. Ada juga sebuah taman bunga yang sebesar 0.8 hektar dengan pelbagai spesis bunga-bungaan tanah tinggi yang sesuai untuk digambil gambar. Ada perhiasan pergola yang mempunyai tanaman bunga menjalar padanya dengan yang berwarna biru dan merah. Sememangnya bunga-bunga menjalar adalah sinonim dengan lanskap di sini kerana banyak bangunan di sini pun mengetengahkannya. Selain itu, terdapat beberapa kedai yang menjual makanan ringan, minuman dan cenderahati untuk dibawa balik ke rumah. Pemandangan amat indah dan cukup menenangkan pemikiran.

Alamat:

  • Jalan Pokok Pines, Bukit Fraser, 49000 Bukit Fraser, Pahang

Waktu Buka:

  • Buka sepanjang hari

Tiket:

  • Percuma

28. Pertandingan Menonton Burung Bukit Fraser

Setiap tahun, Bukit Frasier menjadi lebih meriah dengan pertandingan menonton burung yang diadakan sekali setahun. Objektif permainan ialah melihat, mengenalpasti dan merekodkan jumlah spesies burung yang berterbangan di sekitar dalam satu kumpulan. Kumpulan yang berjaya merekodkan paling banyak burung akan menang pertandingan ini. Acara tahunan ini dinanti-natikan oleh para peserta dan pencinta alam semulajadi. Bukit Fraser ialah destinasi menonton burung bertaraf dunia di Asia Tenggara, kerana tempat ini adalah tempat tinggal kepada lebih daripada 250 spesies burung liar. Pada bulan November sehingga Disember setiap tahun, hutan pegunungan Bukit Fraser akan menerima tetamu baru, iaitu spesies migrasi yang terbang sejauh dari Siberia dan utara Jepun. Pertandingan ini akan dibahagikan kepada tiga kategori iaitu kategori profesional, permulaan dan amatuer. Semestinya para peserta daripada kategori profesional akan merekodkan jumlah burung-burung paling banyak. Tetapi, kategori permulaan boleh dimasuki bagi orang yang hanya ingin menonton sahaja atau ingin memulakannya sebagai hobi.

Alamat:

  • Bukit Fraser, Raub, Pahang

Laman Web:

Tiket:

  • Percuma

29. Tasik ‘Allan’s Water’

‘Allan’s Water’ adalah tasik kecil yang merupakan bekas tadahan air terbengkalai yang diubah menjadi tempat untuk aktiviti-aktiviti rekreasi dan mendayung perahu. Berhampiran dengan pintu masuk, ada sebuah platfom dibina berdekatan dengan tebing air dilengkapi dengan sebuah gazebo besar untuk membenarkan para pelawat berehat di bawahnya. Tasik ini penuh dengan ikan-ikan jadi bolehlah memberi makan kepada ikan sambil berehat-rehat. Di sekeliling tasik ada disediakan denai jalan di sepanjang tasik sehingga ke bahagian yang tersembunyi dilindungi pokok-pokok lebat hutan hujan. Tarikan utama di sini ialah mendayung bot. Untuk aktiviti ini, bot boleh disewa dari pihak pengurusan pada harga berpatutan. Setiap bot hanya boleh menampung dua orang sekaligus. Tasik ini mempunyai bentuk yang tidak sekata dengan penjuru-penjuru tasik terlindung yang dahulunya mungkin sebuah lurah yang dibanjirkan dengan air. Sambil mendayung bot, bolehlah melihat burung berkicauan antara puncak pokok dan biasanya akan melihat tupai dan monyet.

Alamat:

  • Allan’s Water, Bukit Fraser 49000

Waktu Buka:

  • 9.00pagi-4.30petang (Isnin-Khamis, Ahad)
  • 9.00pagi-7.00malam (Sabtu)

Tiket:

  • RM6 (15minit)

30. Menara Jam Bukit Fraser

Menara jam ini terletak di tengah-tengah pekan Bukit Fraser adalah mercu tanda bagi pekan ini. Kalau berkunjung ke Bukit Fraser, menara jam ini adalah tempat yang harus diambil gambar sebelum berkunjung ke tempat-tempat lain di Bukit Fraser. Dari menara jam ini, bolehlah mula berjalan kaki ke kawasan sekeliling kerana kebanyakan kawasan tarikan berada berdekatan seperti pusat kraftangan, restoran-restoran, pusat informasi dan hotel-hotel utama. Berjalan-jalan di sini menggambarkan imej sebuah perkampungan Inggeris di kawasan pedalaman tetapi dikelilingi oleh hutan hujan tropika. Suasananya pula diliputi oleh kabus yang tebal kadang kala memberi aura yang bermisteri. Bangunan-bangunan banglo lama dibina pada zaman kolonial masih lagi berdiri megah dibina dengan bongkah-bongkah besar batu granit pada beberapa bahagian bangunan. Mengambil gambar setiap bangunan pun satu aktiviti yang seronok. Jalan-jalannya berbukit-bukit yang berliku-liku. Kalau tidak bermalam pun, berjalan-jalan di sini seharian cukup untuk mengambil udara yang segar untuk merehatkan pemikiran.

Alamat:

  • Bukit Fraser, 49000 Fraser’s Hill, Pahang

Waktu Buka:

  • 24 Jam

Tiket:

  • Percuma

Kesimpulan tentang tempat menarik di Pahang

Negeri Pahang tidak lengkap percutiannya kalau tidak pergi ke destinas-destinasi tanah tinggi di sini yang sememangnya tersohor di seluruh dunia. Contohnya, kompleks hiburan Genting Highlands menyaksikan kedatangan para pelancong dari seluruh dunia sejak pembukaanya pada tahun 1970-an lagi. Kini, tempat ini menjadi salah satu gerbang pelancongan negara Malaysia yang utama dengan hiburan 365 hari setahun tanpa henti. Di Cameron Highlands pula terkenal dengan buah-buahan segar dan alam semulajadinya yang menjadi tempat pelarian daripada cuaca tropika yang selalu tidak menyelesakan.

Secara keseluruhannya, kawasan-kawasan tanah tinggi di Pahang amat berbaloi untuk dilawati tidak kira apapun tema percutian yang ada di minda. Ada peluang untuk beli-belah di tanah tinggi, bermalam di hotel 5 bintang ataupun menaiki kenderaan unik seperti kereta kabel. Selain itu, aktiviti lasak seperti merentas hutan, mendaki bukit-bukau dan berenang di air terjun deras pun ada di sini. Apa yang istimewanya, suhu yang nyaman tidak ada tandingan di tempat menarik di Malaysia yang lain. Memang banyak tempat menarik di Pahang yang sangat berbaloi untuk menghabiskan cuti yang akan dikenang selalu.

Add Comment