Tempat Menarik di Negeri Sembilan: 30 tempat terbaik untuk dilawati

Tempat Menarik di Negeri Sembilan – Negeri Sembilan ialah sebuah negeri yang istimewa di Malaysia kerana asal-usulnya yang berbudayakan Minangkabau yang berasal dari Pulau Sumatera. Nama negeri Sembilan berasal daripada persekutuan negeri-negeri yang dibuka oleh orang Minangkabau di Semenanjung Malaysia. Tetapi, Negeri Sembilan moden pada hari ini mempunyai 7 daerah di bawahnya. Persempadanan negeri Sembilan pun adalah lebih kecil pada hari ini berbanding zaman dahulu yang merangkumi beberapa bahagian di Melaka, Klang dan Johor. Satu keistimewaan budaya Minangkabau ialah Adat Perpatih yang dikatakan diwarisi sejak turun-temurun.

Ada banyak tempat menarik di Negeri Sembilan yang akan dibaca di sini. Pada hari ini, Negeri Sembilan terkenal dengan bandar Seremban yang menyediakan perumahan moden boleh dimiliki untuk warga kota yang bekerja di Lembah Klang dan juga Port Dickson iatu kawasan peranginan untuk warga-warga kota yang memerlukan percutian pendek hujung minggu. Tetapi, tempat untuk melancong di Negeri Sembilan ada lebih daripada Seremban atau Port Dickson kerana ada banyak lagi tempat-tempat di negeri kebudayaan Minangkabau ini untuk dijelajah. Terdapat 7 daerah-daerah kecil di Negeri Sembilan yang akan kita terokai dalam senarai ini untuk mengetahui tempat-tempat yang wajar untuk dikunjung di sini.

Tempat Menarik di Negeri Sembilan

Daerah Seremban

1. Muzium Negeri Sembilan

Muzium Negeri Sembilan terletak di dalam kompleks kraf dan kebudayaan yang terletak di Jalan Sungai Ujong, Seremban. Sekiranya kebetulan berada di ibu negeri ini dan berminat untuk mengetahui lebih lanjut tentang sejarah negeri ini bolehlah datang ke sini. Seksyen-seksyen pameran di dalam bangunan, dibahagikan kepada beberapa bahagian iatu Galeri Filatelik dan Setem untuk yang meminati setem-setem dan sampul surat hari pertama, Galeri Pameran Bersejarah, Galeri Pameran Kraftangan dan bilik tontonan video. Terdapat banyak artifak di sini dan untuk menghabiskannya mengambil masa selama satu jam. Malah, seni bina bangunannya pun unik bercirikan rekabentuk Minangkabau dan sangat cantik untuk diambil gambar. Di perkarangan muzium, ada beberapa struktur bersejarah seperti Istana Ampang Tinggi yang dibini pada tahun 1800, Rumah Negeri Sembilan yang dibina pada tahun 1898 pernah menjadi rumah Tengku Saiyed Ismail dan beberapa meriam yang telah digunakan semasa perang di Melaka.

Alamat:

  • Lembaga Museum Negeri Sembilan, Jalan Sungai Ujong, 72000 Seremban

Waktu Buka:

  • 10.00pagi-6.00petang (Sabtu-Khamis)
  • 10.00pagi-12.15petang (Jumaat)
  • 2.45petang-6.00petang (Jumaat)

Tiket:

  • Percuma

2. Galeri Diraja Tuanku Jaafar

Sebuah muzium yang dibuka pada tahun 2014 koleksi peribadi dan kehidupan Tuanku Jaafar. Semua pameran yang boleh dilihat berkaitan dengan pemerintahan 42 tahun Tuanku Jaafar sebagai Sultan Negeri Sembilan bermula pada tahun 1967, sehingga kemangkatannya pada tahun 2008 pada usia 86 tahun. Bangunan ini mempunyai konsep seni bina kolonial moden. Muzium ini mempunyai tiga tingkat dengan luas 4,087 meter dan dibahagikan kepada 9 dewan pameran. Pameran-pameran menceritakan kehidupan baginda seawal persekolahannya di Tanah Melayu. Selepas habis persekolahan menengah, baginda kemudiannya pergi ke Raffles College di Singapura apabila pengajiannya terganggu oleh Perang Dunia Kedua. Selepas perang, baginda meneruskan pendidikannya di London School of Economics. Baginda berkhidmat sebagai diplomat di beberapa buah negara sebelum mengambil alih sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan. Tempat ini sangat menarik untuk peminat-peminat sejarah Yang di-Pertuan Negeri Sembilan.

Alamat:

  • Jalan Taman Bunga, 70100 Seremban, Negeri Sembilan Darul Khusus, Malaysia

Waktu Buka:

  • 10.00pagi-5.00petang (Selasa-Ahad)
  • Cuti (Isnin)

Tiket:

  • RM30 (Dewasa)
  • RM15 (Kanak-Kanak dan Warga Emas)

3. Ladang Burung Unta Jelita

Ladang seluas 4.2 hektar telah diiktiraf oleh Malaysian Book of Records sebagai ladang burung unta pertama di Malaysia. Pelawat akan dibawa oleh jurupandu bertauliah untuk satu lawatan yang menghiburkan di samping berpendidikan untuk seisi keluarga. Pengunjung akan mendapat peluang untuk melihat cara yang betul untuk mengendalikan telur burung unta. Satu pengalaman unik di sini ialah pengunjung berpeluang untuk berdiri di atas telur. Telur burung unta sangat keras dan tidak akan pecah walaupun seseorang yang mempunyai berat 100kg berdiri di atasnya. Selain itu, pengalaman naik burung unta juga ada dan sijil penyertaan akan diberi untuk joki yang layak. Barangan cenderamata boleh didapati di kedai seperti daging burung unta untuk dicuba makan yang merupakan satu permintaan yang paling popular. Daging burung unta dipercayai lebih sihat dan lebih banyak khasiat berbanding daging-daging binatang lain seperti ayam atau itik.

Alamat:

  • Kampung Sungai Terip, 70400, Seremban, Negeri Sembilan, Malaysia

Facebook:

Waktu Buka:

  • 9.00pagi-5.00petang (Isnin-Ahad)

Tiket:

  • RM10 (Dewasa)
  • RM6 (Kanak-Kanak)

4. Cendol Haji Sharif

Cendol Haji Sharif ialah sebuah restoran yang menyediakan hidangan pencuci mulut ini yang terkenal kerana rasanya yang sedap. Sejarah cendol Haji Sharif berterusan sehingga generasi ketiga pada hari ini. Sejak turun-temurun lagi keluarga Haji Shariff menyediakan cendol yang mempunyai perasa daun pandan yang dihidangkan dengan ais cukur, kacang merah, sirap dan santan kepada penduduk setempat. Kini, restoran ini menduduki sebaris deret kedai yang dibina pada tahun 1919 yang dicat warna hijau. Jika memandu di kawasan ini, mustahil untuk tidak melihatnya. Para pengunjung datang dari semua negeri dan juga dari luar negara datang ke sini semata-mata ingin mencuba cendol ini. Selain cendol, restoran ini juga menghidangkan rojak dengan sos pedas yang juga popular. Pada hari panas, ramai orang berpusu-pusa datang ke sini untuk melegakan kedahagaan di tekak. Selain rasanya yang sedap dan istimewa, harga cendol termahal pun hanya berharga kurang daripada RM3.

Alamat:

  • 44, Jalan Yam Tuan, Seremban, Negeri Sembilan, Malaysia

Facebook:

Waktu Buka:

  • 10.30pagi-6.00petang (Sabtu-Khamis)
  • Tutup (Jumaat)

5. Dataran Seremban

Lawatan ke bandar Seramban akan disambuti dengan papan tanda menyambut kedatangan para pelancong ke sini. Tempat yang dibuka pada tahun 2008 ini menyediakan ruang rekreasi selesa, dengan perhiasan air pancutan yang menenangkan dan pada waktu malam dicahayakan dengan pencahayaan hiasan yang indah dan berwarna-warni. Pokok-pokok palma yang redup menghiasi setiap penjuru dataran kecil ini sangat cantik untuk diambil gambar terutamanya kepada jurugambar profesional. Pada waktu malam, pemandangannya kelihatan seperti di sebuah alam fantasi kerana dihiasi lampu-lampu neon berwarn-warni menyerlah bentuk setiap struktur di situ. Selepas seharian memandu, dataran ini sangat sesuai sebagai persinggahan untuk berehat seketika sambil menikmati kehidupan di Seremban yang semestinya lebih perlahan berbanding bandar-bandar besar. Para pengunjung bolehlah duduk untuk meluangkan petang bersama-sama keluarga di sini. Satu tarikan di sini ialah tiang bendera yang merupakan yang tertinggi di Negeri Sembilan mengibarkan bendera Malaysia di bawah angin kencang pada ketinggian 100 kaki ke udara.

Alamat:

  •  Bandar Seremban, 70000 Seremban, Negeri Sembilan

Waktu Buka:

  • 24 Jam

Tiket:

  • Percuma

6. Restoran One Top Curry House

Negeri Sembilan mempunyai populasi penduduk berketurunan India yang terbanyak di Malaysia. Oleh itu, tidak hairanlah ada restoran-restoran yang menyajikan makanan India yang sedap menjilat jari di Seremban. Satu restoran yang dicadangkan ialah Restoran One Top Curry House. Makanan yang paling popular di sini ialah nasi daun pisang tradisional. Aroma makanan berkari yang menggunakan daun pisang sebagai alas menaikkan lagi kesedapannya. Para pekerja restoran akan pergi meja ke meja untuk mengisi semula lauk-pauk yang ingin di makan. Pastinya makanan berkari di sini adalah antara yang paling digemari seperti kari ayam, kari daging dan kari kambing yang harus dicuba. Selepas kenyang makan, para pengunjung harus menutup daun pisang untuk memberi isyarat tidak mahu makanan diisi semula. Tempat ini sangat sesak setiap hari tidak kira waktu pagi atau petang. Selain nasi daun pisang, ada juga dijual nasi piring yang juga terkenal di sini.

Alamat:

  • 152, Jalan Dato Bandar Tunggal, Bandar Seremban, 70000 Seremban, Negeri Sembilan

Waktu Buka:

  • 7.30pagi-10.30malam (Isnin-Ahad)

7. Taman Hillpark S2 Height Seremban

Taman seluas 30 ekar ini dimajukan oleh syarikat pemaju IJM untuk para penduduk di Seremban pada tahun 2013. Taman ini agak berbukit-bukau terdiri daripada 3 zon. Di dalam zon 1 ada tempat permainan untuk kanak-kanak kecil. Tanaman-tanaman perhiasan dipilih dengan teliti bersesuaian dengan tema taman rekreasi berpendidikan. Ada pokok-pokok dilabel dengan namanya dan huraian tentang spesis tersebut untuk dipelajari bukan sahaja kanak-kanak tetapi juga orang dewasa. Di zon 2 pula ialah tarikan utama di taman ini kerana ada replika dinosaur-dinosaur dari zaman Jurasik. Terdapat juga kemudahan permainan mesra kanak-kanak seperti ‘flying fox mini’ dan bongkah pendakian. Di zon terakhir pula, iatu zon 3, dipanggil ‘Tree and Plants Education Zone’ yang mempunyai pokok-pokok di sepanjang jalannya beserta dengan penerangan asal-usul dan ciri-ciri pokok. Ada sebuah denai merentas hutan yang kecil untuk menikmati pemandangan hijau sambil berjalan-jalan melepaskan peluh yang menyihatkan badan.

Alamat:

  • S2 Heights, Seremban, Negeri Sembilan, 70300 Seremban, Negeri Sembilan

Waktu Buka:

  • 6.00pagi-7.00malam (Isnin-Ahad)

Tiket:

  • Percuma

Daerah Port Dickson

8. Kota Lukut

Kota Lukut ialah sebuah kubu bersejarah yang terletak 4km di utara Port Dickson, yang dibina di atas bukit di pekan kecil ini. Ianya dibina pada tahun 1847 oleh pahlawan Bugis Raja Jumaat sebagai kubu pertahanan peribadinya semasa kawasan ini merupakan laluan perdagangan timah yang terkenal. Kini, hampir tidak struktur asli yang tinggal, kecuali beberapa dinding tinggalan dan batuan-batuan asas. Kompleks Kota Lukut dibahagikan kepada 4 galeri utama iaitu Galeri Sejarah Lukut, Galeri Nassau, Galeri Negeri Sembilan Negeri Beradat dan Galeri Teknologi Pembuatan Masyarakat Tradisional. Ada pelbagai koleksi-koleksi dan bahan pameran mengenai sejarah kegemilangan Lukut yang menerangkan sejarahnya yang disampaikan dalam bentuk ilustrasi, gambar dan sebagainya untuk memudahkan pengunjung memahaminya. Sejarah kegemilangan Lukut akan terus diingati dan dikenang dengan adanya kompleks Kota Lukut ini. Kini kawasan persekitarannya dijadikan kawasan taman rekreasi, dihiasi dengan struktur gazebo dan menara untuk kemudahan para pengunjung.

Alamat:

  • Lot 730, Kota Lukut, 71010 Port Dickson, Negeri Sembilan Darul Khusus

Waktu Buka:

  • 9.00pagi-5.00petang (Isnin-Ahad)

Tiket:

  • Percuma

9. Muzium Tentera Port Dickson

Muzium Tentera Port Dickson yang dikenali sebagai Muzium Tentera Darat dibina di sebelah pangkalan tentera. Muzium Tentera Darat merupakan muzium tentera yang terbesar di Malaysia. Muzium ini menceritakan sejarah peperangan yang menyimpan pelbagai warisan, koleksi, senjata dan artifak kapal perang yang dipelihara untuk ditunjuk-tunjukkan kepada generasi-generasi akan datang. Muzium ini telah dianugerahkan ‘Tarikan Pelancongan Terbaik’ kerana koleksinya unik dan nilai sentimental yang penting kepada sejarah pertahanan negara Malaysia. Selain daripada bangunan muzium, kawasan persekitaran menempatkan kenderaan tentera yang tidak diguna lagi seperti pesawat kapal terbang, kereta kebal, senapang artileri dan sebuah air pancutan peringatan yang didedikasikan kepada para tentera yang berkhidmat dalamn perang tanahair. Satu tarikan paling unik ialah terowong Parti Komunis Malaya yang merupakan replika rangkaian terowong bawah tanah yang digunakan oleh parti komunis semasa zaman kecemasan. Di dalam replika terowong ini ada tempat  tidur, bilik makan, bilik merancang serangan dan rumah sakit.

Alamat:

  • Kem Sri Rusa 71050 Port Dickson Negeri Sembilan

Waktu Buka:

  • 9.30petang-6.30petang (Isnin-Ahad)

Tiket:

  • Percuma

10. Segarcity, Port Dickson

Salah satu tarikan paling popular di Port Dickson, iatu Segarcity ialah satu kompleks hiburan yang terdiri daripada Galeri Seni ALIVE 3D menawarkan 50 seni 3D tipu helah interaktif dengan lima tema zon berbeza, ‘Wild Wild West’ , sebuah taman tema kecil dengan permainan 5D dan 7D, ‘Stage Family Karaoke’ iatu sebuah pusat karaoke sekeluarga dan ‘Awake’ iatu permainan dalam ruang melarikan diri. Para pengunjung boleh menyentuh dan berinteraksi dengan pameran-pameran yang ada. Sememangnya tempat ini adalah untuk membina memori yang indah terutamanya untuk seisi keluarga. Kedai cenderamata pula dipenuhi dengan pelbagai mainan, rantai kunci, makanan ringan dan banyak lagi. Ada juga disediakan perkhidmatan mencetak foto pada baju kemeja-T, cawan atau bantal. Tempat ini sangat sesuai untuk dilawati oleh seisi keluarga terutamanya kanak-kanak kecil.

Alamat:

  • No. 2/1, Bandar Dataran Segar, Lukut, 71010 Port Dickson

Laman Web:

Facebook:

Waktu Buka:

  • 11.00pagi-11.00malam (Isnin-Jumaat)
  • 10.00pagi-11malam (Sabtu-Ahad)

Tiket:

  • RM20 (Warganegara Malaysia Dewasa)
  • RM25 (Warganegara Asing Dewasa)
  • RM15 (Warganegara Malaysia Kanak-Kanak)
  • RM20 (Warganegara Asing Kanak-Kanak)

11. Galeri Seni Rumah Terbalik

Tarikan yang dipanggil Galeri Rumah Terbalik dibuka pada Mei 2015 memberi ilusi segala-gala yang terdapat di dalam rumah adalah terbalik. Di sini, bahagian lantai ialah siling untuk para pengunjung berjalan dan bahagian siling ialah lantainya dengan perabot-perabot dan perkakasan rumah tangga termasuk peti sejuk, tandas dan meja makan malam berlegar di atas kepala. Para pengunjung mungkin akan berasa janggal sedikit dengan susun aturnya. Helah di sini adalah mengambil gambar secara normal dan kemudiannya gambar disunting secara terbalik untuk memberi kesan seakan-akan berjalan atas lantai. Galeri 2 tingkat ini agak kecil jadi cuma memakan sedikit masa sahaja untuk menjelajah seluruh kawasan pameran. Selain pameran rumah terbalik ada juga lukisan helah 3D untuk diambil gambar bersama-sama teman atau keluarga.

Alamat:

  • 71050 Port Dickson, Negeri Sembilan

Facebook:

Waktu Buka:

  • Buka sepanjang hari. Sila semak ramalan cuaca sebelum mendaki

Waktu Buka:

  • 10.00pagi-9.00malam (Isnin-Ahad)

Tiket:

  • RM15 (Warganegara Malaysia Dewasa)
  • RM20 (Warganegara Asing Dewasa)
  • RM10 (Warganegara Malaysia Kanak-Kanak)
  • RM15 (Warganegara Asing Kanak-Kanak)

12. Pantai Tanjung Biru

Apabila berada di kawasan peranginan pantai Port Dickson, semestinya para pengunjung wajib melawat pantainya. Satu kawasan pantai yang dicadangkan ialah Pantai Tanjung Biru. Ianya terletak kira-kira 17 kilometer dari bandar Port Dickson dan ianya lebih terpencil berbanding pantai lain di Port Dickson. Kebanyakan penduduk tempatan lebih meminati Pantai Tanjung Biru yang mempunyai kurang pengunjung berbanding pantai-pantai yang lain. Jika anda mahu lebih banyak ruang dan privasi bolehlah datang ke sini. Walaupun kurang pengunjung ada disediakan kemudahan-kemundahan seperti gerai yang menjual makanan dan minuman untuk dinikmati sambil bersantai. Perairannya yang cetek dan adanya beting pasir menghalang aktiviti sukan air dijalankan di sini dan ini mengurangkan bilangan jet ski dan bot motor memasuki kawasan terpelihara ini. Pada setiap malam pula, pemandangannya cantik dengan sinar cahaya dramatik daripada rumah api dari Tanjung Rachado. Ada juga sebahagian kecil pantai yang mempunyai terumbu karang yang diminati oleh para penyelam skuba.

Alamat:

  • Blue Lagoon, Jalan Pantai, 71050 Port Dickson, Negeri Sembilan

Waktu Buka:

  • Sepanjang hari

Tiket:

  • Percuma

13. Balai Cerap Teluk Kemang

Balai Cerap Teluk Kemang atau juga dikenali sebagai Baitul Hilal ialah sebuah balai cerap yang merupakan antara yang terbaik dan tercanggih di Asia Tenggara. Bangunan moden ini terletak di Teluk Kemang yang dibina di atas tanjung dengan pemandangan Selat Melaka yang luas, menyediakan latar belakang yang sempurna untuk dinikmati. Di sini ada sebuah teleskop 24-inci yang berharga hampir RM2 juta, yang menyediakan pemandangan yang boleh membenarkan penglihatan sehingga 0 darjah. Balai cerap ini adalah tempat yang popular untuk melihat gerhana bulan dan aktiviti kosmik lain. Selain itu, terdapat pelbagai artifak astrologi serta beberapa teleskop vintaj. Ada juga disediakan sebuah hotel sekiranya ingin bermalam kalau ingin menikmati pemandangan langit malam dari balai cerap ini. Peminat-peminat bidang astronomi sememangnya akan meminati tempat ini. Para pengunjung dinasihatkan pergi melawatnya pada hari tidak berawan untuk menikmati pemandangannya.

Alamat:

  • 4506, Jalan Pantai, Tanjung Tanah Merah, 71050 Port Dickson, Negeri Sembilan

Facebook:

Waktu Buka:

  • 3.00petang-5.00petang,10.30malam-12.00tengah malam (Isnin-Ahad)

Tiket:

  • RM25 (Dewasa)
  • RM12 (Kanak-Kanak)

Daerah Jempol

14. Teratak Za’ba

Teratak Za’ba ialah rumah bersejarah yang memaparkan kronologi kehidupan Tan Sri Zainal Abidin Bin Ahmad iatu ikon kesusasteraan dan pemikiran Melayu yang membuat banyak sumbangan dalam bidang ekonomi, politik dan sosial Melayu. Beliau meninggal dunia pada bulan Oktober 1973. Ianya dibuka sebagai muzium pada Februari 2001. Rumah yang terletak di tempat kelahirannya di Bukit Kerdas adalah contoh seni tradisional Negeri Sembilan yang dipelihara dengan baik, dengan tiang-tiang tinggi dan bumbung yang panjang. Beliau yang juga dikenali sebagai Pendita Za’ba telah memodenkan bahasa Melayu dengan penggunaan tatabahasa dan kesusasteraan Melayu moden dengan penerbitan beberapa buku-buku yang ditulis olehnya. Di dalam muzium ini ada banyak harta peribadi miliknya seperti naskah al-Quran, pakaian, mesin taip, radio, pemain gramophone, kipas lama, barangan perabot dan dokumen peribadi yang berkaitan dengan kerjaya ilmiahnya. Manakala di perkarangan rumah ada taman herba dan alat pertanian miliknya.

Alamat:

  • Kampong Bukit Kerdas, Daerah Jempol, 72200 Batu Kikir, Negeri Sembilan, Malaysia

Waktu Buka:

  • 9.00pagi-6.00petang (Isnin-Ahad)

Tiket:

  • Percuma

15. Bukit Taisho

Bukit Taisho terletak cuma 10 minit pemanduan dari Pekan Bahau, Jempol sememangnya menjadi tumpuan buat orang awam melakukan aktiviti riadah di pada waktu hujung minggu. Dengan ketinggian lebih kurang 700 meter dengan jarak pendakian yang cuma mengambil masa lebih kurang 1.7 km untuk sampai ke puncak. Keistimewaan di Bukit Taisho ialah pemandangan permaidani awan seolah-olah berada di atas gunung yang tinggi yang berlaku pada waktu-waktu tertentu terutamanya pada awal pagi. Permukaan bumi di sini dikatakan membawa tuah dalam kepercayaan Fengshui. Kini, ramai yang naik ke atas bukit semata-mata untuk mengambil gambar yang cantik di sini terutamanya pada waktu matahari terbit atau matahari turun. Kawasan sekitar bukit ini ialah kawasan ladang kelapa sawit yang sudah diterokai. Jalan denainya pun amat senang untuk didaki untuk kanak-kanak kecil mahupun warga emas. Puncak bukit kini menjadi sangat popular di kalangan orang tempatan dengan adanya disediakan beberapa kemudahan asas untuk para pendaki.

Alamat:

  • Bukit Taisho, 72100 Bahau, Negeri Sembilan

Waktu Buka:

  • Buka sepanjang hari

16. Taman Rekreasi Serting Ulu

Taman Rekreasi Serting Ulu ialah taman hutan di daerah Jempol Negri Sembilan. Ianya ditubuhkan pada tahun 1986 untuk para penduduk tempatan menikmati kemudahan berekreasi sambil meluangkan masa bersama-sama keluarga. Ada disediakan kemudahan-kemudahan seperti berkelah, kolam berenang dan kemudahan membina pasukan. Taman Rekreasi Serting Ulu pasti menjadi tempat yang sempurna untuk dikunjungi untuk semua peminat alam semulajadi. Di sini, anda akan dapat melarikan diri dari tekanan yang dihadapi setiap hari di bandar-bandar sibuk. Para pengunjung juga peluang untuk merendam kaki anda di anak sungai yang ada di sini setelah seharian berjalan-jalan. Di sini, para pengunjung boleh merehatkan minda daripada masalah-masalah kehidupan seharian. Selain itu, satu lagi tarikan utama Taman Rekreasi Serting Ulu ialah sebuah jambatan yang bersejarah yang terletak di dalam taman. Bagi pencinta alam sekitar pula, pastinya boleh mengenalpasti pelbagai spesis pokok hijau yang ada di dalam taman hutan ini.

Alamat:

  • 72300 Simpang Pertang, Negeri Sembilan

Waktu Buka:

  • Buka sepanjang hari

Tiket:

  • Percuma

17. Taman Rimba Eko De Bana

Satu lagi taman rimba yang ada di sini ialah Taman Rimba Eko De Bana. Ianya merupakan sebahagian daripada Hutan Simpan Pasoh yang merupakan jenis hutan dipterokarp Pamah. Pada tahun 1995 ia telah dinaiktaraf dengan kemudahan-kemudahan seperti 40 tapak perkhemahan yang mempunyai kapasiti untuk 200 orang pada satu masa. Namanya agak berbeza, seperti nama sebuah tempat di luar negara tetapi sebenarnya taman rimba ini mendapat namanya daripada Sungai Bana yang mengalir melaluinya dan juga pokok akar banar yang tumbuh di sekelilingya. Di sini para pengunjung berpeluang melihat kepelbagaian flora termasuk orkid liar dan pokok-pokok herba. Satu fakta menarik mengenai tempat ini ialah dikatakan dahulu ada sebuah terowong dipercayai tempat persembunyian komunis yang berlanjutan sehingga ke sempadan negeri Pahang yang menjadi tempat simpanan barang, harta rampasan dari pihak Jepun dan juga stok makanan. Kalau ada kesempatan berada di sini, bolehlah singgah sebentar merehatkan pemikiran mental dan menguatkan fizikal.

Alamat:

  • Bandar Seri Jempol, 72120, Negeri Sembilan

Waktu Buka:

  • 7.00pagi-6.00petang (Isnin-Ahad)

18. Taman Tasik Jempol

Kalau berada di Jempol haruslah singgah di Taman Tasik Jempol di tengah-tengah bandarnya. Ianya sebuah taman yang kecil dengan sebuah kolam yang kecil tetapi penuh dengan orang tempatan yang datang ke sini berekreasi bersama-sama keluarga. Berjalan-jalan di sini sambil melihat gelagat orang tempatan ialah satu aktiviti  yang boleh dilakukan. Tarikan utama di sini ialah papan tanda ‘I love Jempol’ untuk diambil gambar sebagai kenangan bersama-sama kawan-kawan atau keluarga. Taman ini terletak di titik permulaan untuk menerokai pekan Jempol, jadi bolehlah mulakan pengembaraan di sini. Pekan Jempol kecil tidak mempunyai kesesakan seperti bandar-bandar besar dengan cara hidup yang sederhana tidak ada gesaan. Bangunan-bangunannya pun rendah dengan bangunan tertinggi pun cuma 4 atau 5 tingkat. Di sini, bolehlah meluangkan masa untuk menikmati pemandangan pekan yang mempunyai latarbelakang deretan bukit-bukit yang menghijau. Di sekeliling taman tasik ada restoran-restoran, kedai beli-belah, bank-bank dan hotel-hotel utama pekan Jempol untuk kemudahan para pelancong.

Alamat:

  • 72100 Bahau, Negeri Sembilan, Malaysia

Waktu Buka:

  • Buka sepanjang hari

Tempat menarik di Negeri Sembilan di Daerah Tampin

19. Hutan Eko Rimba Gunung Tampin

Dari segi geografinya, Gunung Tampin terletak pada penghujung Banjaran Titiwangsa Terletak dalam Hutan Simpan Tampin yang merupakan penghujung Banjaran Titiwangsa yang mempunyai kepanjangan sejauh 280 kilometer. Nama ‘Tampin’ berasal daripada bekas makanan tampin yang diperbuat daripada daun mengkuang. Apa yang menarik di Gunung Tampin ialah sebuah denai yang mempunyai jarak sejauh 5 kilometer ke puncak gunung yang ada sebuah menara telekomunikasi. Pada hujung minggu, ramai warga tempatan suka datang untuk berjoging ke puncak gunung yang berketinggian 764 meter. Ada juga dibina beberapa buah kolam untuk para pengunjung yang ingin merendamkan badan dalam air. Kemudahan-kemudahan lain yang disediakan adalah seperti tapak perkelahan, wakaf berehat dan tempat letak kenderaan. Jika tidak bercadang untuk mendaki pun, ada sebuah kawasan yang dikenali sebagai ‘TM Green Pitch’ iatu sebuah kawasan rehat kecil yang membolehkan para pengunjung duduk-duduk sambil meluangkan masa.

Alamat:

  • Mukim Tampin Tengah, Daerah Tampin, Negeri Sembilan, Semenanjung Malaysia

Waktu Buka:

  • Buka sepanjang hari

20. Tugu Peringatan Perang Dunia Kedua Sungai Kelamah

Tugu peringatan ini menandakan era kegelapan sejarah perang. Enam dekad yang lalu, ini adalah tempat pertempuran yang mengerikan di mana tentera-tentara Jepun dan Australia kehilangan nyawa mereka. Pada tahun 1942 semasa perang dunia, pihak Australia meletupkan jambatan kayu melintasi Sungai Gemencheh, berhampiran Kampung Sungai Kelamah, di mana banyak tentera Jepun terbunuh. Sebuah tapak tugu peringatan yang dibina berhampiran sungai untuk memperingati peristiwa hitam ini. Satu plak dibina yang terdiri daripada sebuah keris kayu gergasi dan papan tanda yang menerangkan peristiwa yang berlaku di sini. Berdekatan situ juga ada sebuah dibina oleh pihak berkuasa tempatan dengan penerangan ringkas dalam bahasa Melayu, Inggeris, Cina dan Jepun. Baru-baru ini sebuah plak peringatan perang diperbuat daripada marmar yang didirikan oleh pihak Australia. Pengalaman berada di sini amat menyayat hati apabila membayangkan bagaimana hidup di sini di tengah-tengah pertempuran yang menyebabkan kematian ramai tentera-tentera.

Alamat:

  • Sungai Kelamah Memorial, 73200 Gemencheh, Negeri Sembilan

Waktu Buka:

  • Buka sepanjang hari

Tiket:

  • Percuma

21. Restoran Big Green Leaf

Selepas penat berjalan-jalan di sekitar Tampin, mungkin akan tertanya-tanya tempat yang sedap untuk makan tengahari atau makan malam. Kalau bertanya kepada penduduk tempatan semestinya akan mencadangkan restoran masakan selatan India yang terkenal di Tampin iatu Restoran Big Green Leaf. Makanan disediakan ada dua jenis utama, iatu vegetarian atau bukan vegetarian yang membolehkan pengunjung memilih mengikut citarasa. Ada pelbagai jenis kari seperti kari ayam, kari ikan, kari kambing, roti thosai, pelbagai sayuran seperti kobis dan bendi semestinya digemari ramai. Kalau yang berminat makan makanan berempah-ratus bolehlah datang ke sini. Satu kelebihan di sini ialah makanan bergaya bufet untuk makan tengahari disediakan pada harga berpatutan. Ramai para pengunjung datang ke sini untuk makan makanannya. Setiap hari, orang ramai beratur dan ada kalanya terpaksa menunggu untuk mendapatkan meja makan. Pastinya akan pergi ke sini dengan perut kosong dan balik dengan perasaan puas makan makanan India selatan.

Alamat:

  • Ground Floor KM6, Jalan Seremban 70450 Tampin

Waktu Buka:

  • 7.30pagi-10.00malam (Rabu-Isnin)
  • 7.30pagi-4.00petang (Selasa)

22. Restoran Nasi Ayam Gemas Mustafah

Satu lagi restoran menarik ialah Restoran Nasi Ayam Gemas Mustafah di Tampin. Memang rugi kalau tidak mencubai nasi ayam di sini. Pemilik kedai Mustafah Yusuf pernah bekerja di restoran makanan  Cina. Apabila sudah belajar resepi membuat nasi ayam ini, beliau membuka restoran sendiri dengan resepi tersendiri yang diubah suai untuk semua lapisan masyarakat dan kini nama restoran beliau tersohor di kawasan Tampin ini. Bukan sahaja lazat nasi ayamnya, malah harganya berpatutan. Setiap hidangan nasi ayam disertakan dengan ayam masak barbeku yang rangup dengan sos cili secukup rasa ditambah lagi dengan sup kosong dihias dengan bawang goreng. Nasinya pula lembut dan sedap sekali. Gabungan semua bahan-bahan ini menjadikan nasi ayamnya istimewa digemari ramai orang tempatan. Walaupun restoran cuma mempunyai nasi ayam sebagai menu utama, tetapi pelanggan tetap datang berpusu-pusu masuk ke restoran. Selepas makan, bolehlah mencuci mulut dengan air mata kucing istimewa restoran ini.

Alamat:

  • Nasi Ayam Gemas Mustafah, 73000 Tampin, Negeri Sembilan

Waktu Buka:

  • 10.00pagi-10.00malam (Sabtu-Khamis)

Daerah Kuala Pilah

23. Muzium Diraja Seri Menanti

Daerah Kuala Pilah amat terkenal dengan Muzium Diraja Sri Menanti. Ianya merupakan satu mercu tanda terkenal Negeri Sembilan, Malaysia kerana sejarahanya yang menarik. Istana ini telah mengambil masa enam tahun untuk dibina dan siap pada tahun 1908 untuk keluarga kerajaan Negeri Seremban pada masa itu. Banguanan ini dicat warna hitam, motif-motif dan ukiran-ukiran bunga menghiasi dindingnya. Istana setinggi 5 tingkat mempunyai 99 tiang kayu. Di dalamnya dilengkapi dengan perabot diraja yang penuh bersejarah dan ada juga pameran-pameran seperti pakaian dan dokumen kerabat diraja. Satu pameran yang menarik di perkarangan istana dikenali sebagai ‘Batu Kasur’. Bongkah batu ini adalah replika asal di Minangkabau, Sumatera Barat yang digunakan untuk menguji bakal putera diraja sebelum menaiki takhta. Baginda akan tidur di atas batu selama beberapa hari sambil ditutup dengan daun jelatong yang menggatalkan kulit. Kalau boleh bertahan maka baginda akan mendapat gelaran takhtanya.

Alamat:

  • Seri Menanti, 71550, Kuala Pilah, Negeri Sembilan, Malaysia

Waktu Buka:

  • 9.00pagi-5.00petang (Isnin-Ahad)

Tiket:

  •  Percuma

24. Tapak Megaliktik Kuala Pilah

Penemuan batu megalitik di Kuala Pilah merupakan tanda permulaan penempatan yang menjadikannya tempat ibadat pada zaman dahulukala sebelum kedatangan mana-mana agama ke Semenanjung Malaysia . Batu megalitik ini telah wujud di negeri negeri ini sejak zaman logam lagi sehingga ke abad ke-18. Pada masa itu juga, orang-orang yang bergantung kepada pertanian sebagai sumber ekonomi utama percaya bahawa batu megalitik dan pemujaannya dapat membantu mereka memperoleh tanaman yang subur sepanjang tahun. Penyelidik percaya ia juga dikaitkan dengan sejarah dan kebudayaan masyarakat Minangkabau yang datang ke Negeri Sembilan. Setakat ini sebanyak 38 rumpunan batu megalitik ditemui bukan sahaja di Kuala Pilah malah di Tampin dan Port Dickson. Penyelidik mendapati terdapat 300 tapak megalitik di Negeri Sembilan dengan 70 daripadanya terletak di Kuala Pilah. Antara tapak terkenal ialah di Kampung Umur. Batu megalitik dikenali sebagai ‘batu hidup’ di kalangan penduduk tempatan dengan saiz yang terbesar berukuran setinggi 3.05 meter.

Alamat:

  • Tapak Megalitik Kuala Pilah,  72000, Kuala Pilah

Tiket:

  • Percuma

25. Gunung Angsi

Gunung Angsi ialah satu gunung yang menjadi tempat popular untuk mendaki gunung di Negeri Sembilan. Tambahan lagi, lokasinya dekat dengan Lembah Klang hanya mengambil masa satu jam perjalanan menjadikannya tempat kegemaran pencinta alam dari bandar besar. Ianya mempunyai ketinggian 824 meter menjadikannya puncak ke-3 tertinggi di Negeri Sembilan. Gunung Angsi hanya berjarak sejam perjalanan dari Kuala Lumpur dan terletak di Taman Rekreasi Ulu Bendul, kira-kira 20 km dari bandar Seremban. Pendakian Gunung Angsi memakan masa selama 3 jam untuk naik dan 3 jam lagi untuk turun. Para pendaki dinasihatkan untuk tiba sebelum 11 pagi kerana pihak pengurusan tidak membenarkan pendakian selapas waktu itu. Tempat ini popular untuk pendakian oleh para pendaki dalam kumpulan besar. Di puncak gunung, bolehlah memasak makanan yang mudah sambil menikmati pemandangan dari atas gunung. Flora dan fauna sepanjang perjalanan ke atas amat menarik seperti serangga-serangga, labah-labah besar, lintah dan kulat yang kelihatan eksotik.

Alamat:

  • Ulu Bendul Recreational Park, Tanjung Ipoh, Negeri Sembilan

Tiket:

  • RM5 (Seorang)

Daerah Rembau

26. Muzium Rembau

Muzium Rembau atau Replika Istana Raja Melewar adalah replika Istana Raja Melewar yang berusia 300 tahun. Rembau adalah daerah yang penting dalam sejarah pembentukan Negeri Sembilan kerana banyak sejarah yang berlaku dalam pentadbiran berlansung di sini. Sebagai contoh, Raja Melewar mula memerintah  Negeri Sembilan bermula di Rembau. Raja Melewar ialah Yang Di-Pertuan Besar pertama Negeri Sembilan yang memerintah dari tahun 1773. Replika itu dibina di atas tapak asal istana Raja Melewar dan dibina seiras mungkin ke rekabentuk asal bangunan. Bangunan ini menempatkan beberapa pameran galeri termasuk pameran Institusi Datuk Undang Luak Rembau, pameran Adat Perpatih dan pameran Rembau Sejarah Umum. Muzium ini mengandungi pelbagai artifak kebudayaan yang menarik daripada kebudayaan Minangkabau seperti barang-barang antik buatan tangan, pakaian-pakaian beraja dan sebagainya. Ada disediakan carta-carta dan penjelasan mengenai sistem dan sejarah Adat Perpatih yang memihak kepada kaum wanita. Malah, makam Raja Melewar pun boleh ditemui berhampiran tapak replika.

Alamat:

  • Jalan Kampung Rendah, 71350, Rembau, Negeri Sembilan

Waktu Buka:

  • 9.00pagi-5.00petang (Isnin-Ahad)

Tiket:

  •  Percuma

27. Kristal Rembau

Apabila berada di Rembau, jangan lupa untuk singgah di sebuah kedai menarik iatu kedai membuat barangan kristal yang menghasilkan pelbagai produk kristal yang cantik, berwarna-warni dan menarik. Ada dijual pelbagai jenis produk kristal buatan tangan seperti pasu bunga, mangkuk, dulang makanan dan barang hiasan. Produk-produk dibuat khusus untuk sebarang majlis khas sebagai cenderahati, hadiah pintu, aksesori dan banyak lagi. Para pelanggan juga boleh menempah jenis kristal dengan pelbagai warna yang cantik mengikut kehendak. Pusat ini bukan sahaja sebuah kedai kristal, malah ada juga galeri jualan serta pusat pengeluaran dan latihan. Dari luar bangunan pun, premis syarikat ini menggunakan rekabentuk Minangkabau yang diperbuat daripada kayu dan papan untuk memberi persekitaran asli Negeri Sembilan. Jangan lupa juga untuk melihat demonstrasi pembuatan kristal yang dianjurkan oleh syarikat ini. Syarikat ini tutup setiap Ahad tetapi boleh telefon untuk mendapatkan temujanji peribadi bersama mereka.

Alamat:

  • Lot 1432, Perkampungan Crystal, Jalan Kampung Mulia, 71300 Rembau, Negeri Sembilan

Waktu Buka:

  • 9.00pagi-5.00petang (Isnin-Sabtu)
  • Tutup (Ahad)

Tiket:

  • Percuma

28. Wet World Air Panas

Taman air panas di Negeri Sembilan ini terletak di jalan utama ke Rembau. Namanya didapati sempena dengan mata air panas yang mengalir secara semulajadi di dalam kompleksnya. Di sini, ada dibina kemudahan-kemudahan seperti kolam rendam sekeluarga, gelongsor gergasi, tempat terapung di atas air dan sebagainya yang amat mesra seisi keluarga. Air panas secara semulajadi mengandungi mineral yang dikatakan mempunyai sifat penyembuhan yang memberikan kelegaan untuk arthritis, sakit sendi, sakit badan dan pelbagai penyakit kulit. Tempat ini penuh dengan warga tempatan yang ingin meluangkan masa bersama anak-anak sambil mengambil peluang berendam dalam mata air panas yang baik untuk kesihatan. Saiz kawasannya tidaklah terlalu besar, malah jumlah pengunjung yang datang tidaklah terlalu bersesakan kerana kebanyakan yang datang ke sini adalah warga tempatan.

Alamat:

  • Lot 603, Jalan Tampin, Mukim Pedas, 71400, Pedas, Negeri Sembilan, 71400

Laman Web:

Waktu Buka:

  • 10.00pagi-6.00petang (Khamis-Selasa)
  • Tutup (Rabu)

Tiket:

  • RM15 (Warganegara Malaysia Dewasa)
  • RM25 (Warganegara Asing Dewasa)
  • RM12(Warganegara Malaysia Kanak-Kanak)
  • RM22 (Warganegara Asing Kanak-Kanak)

Daerah Jelebu

29. Muzium Adat, Jelebu

Muzium ini terletak di Kuala Klawang di daerah Jelebu. Muzium ini menempatkan empat galeri pameran untuk memperkenalkan adat-adat pelbagai budaya di Malaysia di bawah satu bumbung. Ini bersesuaian dengan ciri istimewa Adat Pepatih yang turut mempengaruhi banyak budaya tempatan di Negeri Sembilan. Pameran-pameran disusun dalam empat galeri iatu Pengenalan Galeri Adat, Galeri Hayat, Tradisi Intelek , Galeri Kerajaan dan Penguatkuasaan, dan akhirnya Galeri Adat Perpatih. Galeri ini menerangkan banyak adat dan amalan pelbagai kaum yang membentuk masyarakat Malaysia contohnya apabila melawat rumah Melayu harus dilakukan ucapan salam, mencium tangan orang tua dan membuka kasut sebelum masuk ke rumah. Selain itu, adat-adat dari kebudayaan Cina, India, Sabah dan Sarawak pun diketengahkan di muzium ini. Ada juga pameran yang menumpukan pada pekerjaan tradisional seperti penanaman padi, penorehan getah, memancing ikan dan perlombongan bijih dan pameran contoh-contoh jenis pakaian yang dipakai.

Alamat:

  • Kuala Klawang, Jelebu, Negeri Sembilan, Malaysia

Waktu Buka:

  • 9.00pagi-5.00petang (Isnin-Ahad)

Tiket:

  •  Percuma

30. Ladang Eko Titi

Ladang Eko Titi adalah destinasi percutian yang ideal jika anda mencari satu percutian dengan bekalan makanan organik yang baik untuk kesihatan. Ladang ini tidak menerima pengunjung  tanpa penempahan, jadi kenalah telefon dahulu sebelum masuk ke dalam premisnya. Makanan organik yang enak dipetik segar dari ladang yang mempunyai saiz tanah hampir 40 ekar. Amat menarik melihat ladang-ladang dengan tumbuh-tumbuhan organik, taman buah-buahan, ladang ternakan dan kolam ikan semuanya dijaga tanpa menggunakan apa-apa bahan kimia. Semua makanan dihidangkan sangat berkhasiat pasti akan balik dengan perasaan diri yang sangat segar selepas seharian makan makanannya. Bilik penginapan ada disediakan tanpa televisyen dan penghawa dingin untuk satu pengalaman yang unik dihiburkan bunyi-bunyian alam sekeliling sahaja. Para pengunjung boleh memilih untuk datang melawat seharian ataupun boleh juga bermalaman di sini.

Alamat:

  • Lot 1706, N27, 71600 Titi, Negeri Sembilan

Laman Web:

Facebook:

Waktu Buka:

  • 8.30pagi-5.00petang (Jumaat-Sabtu)
  • 8.30pagi-2.00petang (Ahad)
  • Tutup (Isnin-Rabu)

Tiket:

Kesimpulan tentang tempat menarik di Negeri Sembilan

Negeri Sembilan yang terkenal dengan Adat Perpatih ini semestinya memberi pengalaman yang seronok untuk seisi keluarga atau dengan kawan-kawan. Budayanya yang berbeza daripada negeri-negeri lain di Malaysia, terutamanya rekabentuk bangunan Minangkabau terserlah indah di bandar-bandarnya. Bukan itu sahaja, di mana-mana pun ada banyak tempat yang menawarkan keindahan alam semulajadi yang cukup untuk menenangkan fikiran setelah berada di bandar besar bekerja setiap hari seperti di Taman Rekreasi Ulu Serting.

Negeri Sembilan amat sesuai dilawati khususnya jika tinggal berdekatan dengan negari ini seperti di Selangor, Johor dan Melaka. Selalunya warga kota Lembah Klang datang ke sini kerana ingin menikmati hidupnya yang lebih perlahan. Pilihan-pilihan destinasi seperti Port Dickson di tepi pantai yang aman dan tenang dan bandar Seremban yang terkenal dengan makanannya adalah tempat-tempat yang sering dilawati warga kota. Manakala, aktiviti-aktiviti lasak seperti mendaki Gunung Angsi sangat popular di kalangan peminat sukan lasak. Memang banyak tempat menarik di Negeri Sembilan penuh dengan kejutan dan keseronokan untuk semua golongan tidak kira tua atau muda.

Add Comment