Tempat Menarik Di Ipoh: Top 30 Tempat Untuk Dilawati

Tempat Menarik Di Ipoh – Sebelum 130 tahun lepas, Ipoh ialah sebuah perkampungan kecil di tebingan Sungai Kinta yang mempunyai industri melombong kecil-kecilan. Apabila Revolusi Industri di barat memerlukan sumber mineral seperti biji timah, harganya melambung-lambung dan kepakaran orang Cina dibawa ke sini. Ipoh yang ada pada hari ini ialah hasil tinggalan daripada industri timah penuh dengan bangunan-bangunan bersejarah, kepelbagaian budaya dan kehidupan bandar yang rancak.

Kini, ianya bandar ketiga terbesar di Malaysia dengan populasi sebanyak 660,000 orang penduduk dengan pelbagai kegiatan ekonomi dan kehidupan berkualiti dikelilingi bukit batu kapur indah dan alam yang kehijauan. Pastinya terdapat banyak tempat menarik di Ipoh yang wajib dilawati.

Tempat Menarik di Ipoh

Muzium-muzium di Ipoh

1. Han Chin Pet Soo

Han Chin Pet Soo boleh diterjemahkan sebagai Vila Han Chin ialah sebuah muzium yang menceritakan kisah-kisah para pelombong yang datang memajukan industri biji timah di Perak. Bangunan muzium itu mempunyai kisah tersendiri dengan penubuhan ‘Hakka Miners Club’ pada tahun 1893 oleh seorang pelombong Cina, Leong Fee yang kemudiannya menjadi kaya raya daripada hasil kerjanya. Di dalamnya terdapat diorama kegiatan gelap seperti perjudian, menghisap candu dan kongsi gelap yang berleluasa pada zaman itu. Alat-alatan dan perkakasan asli seperti perabot mewah, mesin mengira, dapur memasak dan sebagainya boleh dilihat. Lawatan ke dalam muzium seolah-olah membawa pengunjung ke pertengahan abad kerana semuanya asli dan dalam keadaan elok. Selain itu, ada juga kisah sejarah orang Hakka di negara Cina dan pengenalan mengenai industri perlombongan timah di Perak.

Alamat:

  • 3, Jalan Bijeh Timah, 30100 Ipoh

Facebook:

Waktu Buka:

  • 9.30pagi-5.00petang (Selasa-Ahad)
  • Tutup (Isnin)

Tiket:

2. Muzium Ho Yan Hor

Ho Yan Hor ialah jenama teh herba terkenal yang dirumus khas dari Ipoh. Pengasasnya Dr Ho Kai Cheong, ialah pengamal perubatan tradisional Cina pada tahun 1940-an. Teh ini dengan ramuan unik 23 herba amat berkesan untuk melegakan haba dan menyembuhkan selesema biasa. Teh herba ini memberi penyembuhan yang berkesan apabila wabak selesema melanda dunia pada tahun 1950-an. Di dalam muzium ini ada alat-alatan perubatan asli, coretan-coretan hidup Dr Ho, koleksi peribadinya dan pengenalan kepada teh herba dengan pelbagai jenis daun-daun herba dan cara pemprosesan tradisional yang digunakan. Lawatan berpandu turut dianjurkan untuk mengetahui lebih lanjut tentang sejarah teh herba ini. Kini, teh ini diberi nafas baru dengan penghasilan cara moden dijenamakan sebagai ‘Hovid Tea’ yang dijual di serata rantau ini. Pada penghujung lawatan, bolehlah mencuba sampel teh panas yang dihidangkan kepada para pengunjung.

Alamat:

  • 1, Jalan Bijeh Timah, 30000 Ipoh, Negeri Perak

Laman Web:

Facebook:

Waktu Buka:

  • 10.00pagi-4.00petang (Selasa-Ahad)
  • Tutup (Isnin)

Tiket:

  • Percuma

3. Muzium Darul Ridzuan

Muzium Darul Ridzuan ialah sebuah muzium kerajaan negeri yang mempunyai dua objektif utama iatu pemeliharaan sejarah pelombongan dan perhutanan Perak. Bangunan muzium ini yang dahulunya merupakan rumah agam persendirian seorang jutawan dalam bidang perlombongan, Foo Choong Kit yang dibina pada tahun 1926. Rekabentuk bangunan bercirikan kolonial Inggeris yang popular di kalangan para jutawan masa itu. Kemudiannya, ianya diubahsuai menjadi muzium pada tahun 1992. Pameran-pameran dalam muzium dibahagikan kepada empat zon utama iatu Sejarah Bandaraya Ipoh, Sejarah Perlombongan, Perhutanan dan Sejarah Alam Perak dan Peralatan Perlombongan. Sebuah pameran yang menarik di sini ialah sebuah kubu pertahanan di perkarangan muzium. Ianya dibina untuk melindungi para penduduk dalam rumah agam jika berlakunya peperangan. Di dalam kubu, terdapat sebuah terowong dalam tanah sepanjang 50 kaki. Tarikan ini sememangnya sesuai untuk mendalami sejarah menarik pembentukan negeri Perak yang suatu ketika dahulu sangat tersohor dengan aktiviti perlombongannya.

Alamat:

  • Jalan Panglima Bukit Gantang Wahab, 30000 Ipoh

Facebook:

Waktu Buka:

  • 9.30pagi-5.00petang (Isnin-Ahad)

Tiket:

  • Percuma

4. Muzium Yasmin Ahmad

Nama allahyarham pengarah Yasmin Ahmad sememangnya sinonim dengan industri perfileman Malaysia. Walaupun beliau sudah meninggal pada tahun 2009, legasi beliau diperingati dengan pembinaan muzium ini. Selain itu, ruang pameran dibina untuk mendidik dan memberi inspirasi kepada pengarah muda untuk mengarah skrip penggambaran. Lokasi yang terletak di Kong Heng dipilih kerana banyak filem terkemuka beliau terdahulu digambarkan berdekatan sini. Muzium ini ditubuhkan oleh ibu dan kakak Yasmin sendiri untuk meneruskan nama Yasmin. Di sini, para pengunjung berkesempatan melihat memoribilia Yasmin seperti gambar-gambar, puisi, coretan-coretan hidup, hasil filem dan seni dan sebagainya. Muzium ini bukanlah muzium konvensional, ada sahaja pameran baru setiap 6 bulan yang berkaitan dengan Yasmin. Ruang pameran agak kecil tetapi cukup padat untuk menghabiskan masa menghayati isi-isi tersirat hasil seni beliau. Pastinya peminat-peminat tegar Yasmin Ahmad terutamanya yang telah hidup melihat semua karyanya 10 tahun lepas pasti akan meminati muzium ini.

Alamat:

  • Lorong Panglima, 30000 Ipoh

Facebook:

Waktu Buka:

  • 10.00pagi-4.00petang (Sabtu-Ahad)

Tiket:

  • RM3 (Seorang)

5. Muzium Geologi

Muzium Geologi Ipoh bukan sahaja memaparkan batu-batuan mineral malah ada juga pameran-pameran seperti sejarah fosil dinasour, batu-batu berharga, perlombongan mineral di Malaysia dan permainan kanak-kanak. Sebagai sebuah negara yang mempunyai pelbagai jenis formasi geologi, terdapat banyak pameran untuk dilihat di sini yang datang dari pelbagai penjuru negara Malaysia. Muzium ini ditubuhkan pada tahun 1957 dan setiap tahun, pameran-pameran dikembangkan lagi dan dijaga teliti dan rapi. Penerangan diberikan secara jelas penuh dengan grafik-grafik dan alatan interaktif untuk menghiburkan para pengunjung. Bukan sahaja spesimen, malah ada juga dipamerkan batu-batuan mineral seperti batuan amethysts, beril, fluorit, garnet, kalsit dan lain-lain yang berwarna-warni. Malah, penggunaan pelbagai mineral semulajadi dalam barangan tradisional tempatan seperti tempurung, pasu dan sebagainya turut dipamerkan di sini. Muzium ini bukan sahaja sesuai dikunjungi oleh peminat geologi, malah kanak-kanak kecil akan menyukai pelbagai warna-warna batu menarik dan boleh mengasah minat dalam geologi.

Waktu Buka:

  • Jalan Sultan Azlan Shah, 30820 Ipoh

Waktu Buka:

  • 9.00pagi-12.30tengahari, 2.00petang-4.30petang (Isnin-Sabtu)
  • Tutup (Ahad)

Tiket:

  • Percuma

6. Muzium Dream Big World

Muzium Dream Big World ialah sebuah muzium menempatkan koleksi kereta mainan, model kapal terbang dan replika bandar mini. Semuanya dimiliki persendirian oleh seorang peminat model kereta, Elvin Chew. Lokasinya terletak di tengah-tengah kawasan tarikan pelancong iatu Lorong Concubine. Pelbagai koleksi model dari jenama tersohor dunia seperti Ferrari, Mercedes, BMW dan sebagainya. Pada anggarannya, ada lebih daripada 500 jenis model yang berjumlah RM500,000 ringgit. Satu pameran yang harus dilihat sendiri ialah model resin ‘La Ferrari’ yang cuma ada 30 buah di dunia. Selain model kereta, ada model kapal terbang seperti Boeing dan Airbus. Jika bernasib baik, para pengunjung boleh bertegur sapa dengan Alvin sendiri yang ramah orangnya dan sangat berpengetahuan tentang model-model kereta permainannya. Jika berkesempatan, Alvin akan membawa para pengunjung lawatan sambil belajar mengenai koleksinya belajar mengenai operasi mesin, sejarah dan sebagainya. Kunjungan ke sini membenarkan orang dewasa menjadi kanak-kanak untuk sehari.

Alamat:

  • (Level 1), 7, Concubine Ln, 30000 Ipoh

Facebook:

Tiket:

  • RM5 (Seorang)

Tempat-tempat bersejarah Ipoh

7. Lukisan Gua Tambun

Pada tahun 1959 seorang askar British menjumpai lukisan gua kuno yang berumur antara 2,000 hingga 5,000 tahun di dalam Gua Tambun iatu sebelum kedatangan apa-apa agama ke rantau ini. Ianya telah diwartakan sebagai warisan kebangsaan oleh kerajaan negeri pada 2010. Lukisan-lukisan kuno tersebut berwarna merah yang bermotifkan rusa hamil, dugong, ikan, sotong dan sebagainya. Dalam satu kajiselidik baru-baru ini, ianya telah dikenalpasti bahawa terdapat lebih dari 600 tinggalan lukisan-lukisan termasuk yang cuma boleh dilihat di bawah mesin khas. Lukisan-lukisan kuno ini mempunyai persamaan dengan lukisan dari Australia dan Papua New Guinea. Di lantai gua, ada ditemui kepingan kerang dan bekas-bekas terumbu karang menunjukkan suatu masa dahulu masa ketika kawasan itu berada di bawah air laut. Terdapat disediakan papan tanda dengan pelbagai informasi menarik tentang pembentukan lukisan-lukisan kuno ini. Gua disediakan dengan kemudahan asas seperti tangga berbatu untuk sampai ke atasnya.

Alamat:

  • Gua Tambun, Jalan Tambun, Ulu Kinta, Ipoh, 31400

Waktu Buka:

  • 8.00pagi-5.30petang (Isnin-Ahad)

Tiket:

  • Percuma

8. Menara Jam Peringatan Birch

Menara Jam Peringatan Memorial Birch dibina pada tahun 1909 ialah sebuah menara yang dihiasi dengan patung potret gangsa JWW Birch dan 43 patung-patung menggambarkan pertumbuhan tamadun sejarah dunia memaparkan cendiakawan dunia seperti Buddha, Moses, Shakespeare dan Charles Darwin. Menara jam mempunyai satu loceng utama yang mempunyai diameter sepanjang 6 kaki 6 inci dikelilingi oleh 4 loceng kecil. Bunyi loceng pada jam ini serupa dengan bunyi jam ‘Big Ben’ di London. Pada 4 sudut kekaki ada patung-patung tentera Terracota yang mewakili empat ‘Sifat Murni Pentadbiran Inggeris’. Menara Jam ini dipelihara dengan baik dan dari luarnya, ianya kelihatan seperti sebuah monumen dari negara Eropah yang dijaga dengan taman yang dijaga dengan rapi. Ianya sangat sesuai diambil gambar dalam dua sesi, waktu siang dan waktu malam untuk memberikan suasana persekitaran yang berbeza rupa. Di perkarangan menara ini, ada beberapa tempat makan yang boleh dilawati sambil menikmati pemandangan menara jam.

Alamat:

  • 31650 Ipoh, Perak

Waktu Buka:

  • 24 Jam (Isnin-Ahad)

9. Stesen Kereta Api Ipoh

Stesen Kereta Api Ipoh dibina pada tahun 1917 direka dalam gaya kolonial Inggeris. Sebelum stesen ini dibina, pelan asli sebenarnya untuk membina hospital. Terdapat 9 trek kereta api, 3 daripadanya digunakan untuk perkhidmatan penumpang dan yang selainnya untuk kegunaan pengangkutan barangan. Bangunan ini juga menempatkan hotel yang dipanggil Hotel Majestic dilengkapi dengan 21 bilik penginapan yang kekal sehingga kini tidak telan ditinggal zaman. Pada tahun 2007, stesen kereta api diubahsuai bahagian platform dan trek untuk dilengkapkan dengan sistem moden kereta api. Tetapi, struktur bangunan asal dikekalkan tanpa apa-apa diubahsuai. Satu fakta menarik ialah pada tahun 1998 ianya digunakan sebagai lokasi penggambaran untuk filem Hollywood ‘Anna and The King’ dibintangi bintang terkenal Jodie Foster. Di perkarangan bangunan stesen ini, ada sebuah dataran luas melengkapkan kecantikan bangunan. Ada juga dibina sebuah ‘cenotaph’ pada tahun 1927 untuk memperingati askar-askar yang meninggal di Perak semasa Perang Dunia Pertama.

Alamat:

  • Stesen KTM Ipoh, 30000 Ipoh

Waktu Buka:

  • 24 Jam (Isnin-Ahad)

10. Kelab Diraja Ipoh

Pada 1895, Kelab Diraja Ipoh dibina di tengah-tengah bandaraya Ipoh berhadapan dengan Padang Ipoh yang menjadi pilihan tempat berekreasi orang-orang Ipoh. Kelab Diraja Ipoh ialah kelab rekreasi yang tertua di Malaysia dalam sejarah kewujudannya. Pada permulaannya, bangunan ini digunakan sebagai rumah dobi oleh tentera Jepun untuk pegawai-pegawai yang tinggal di St Michael’s Institution. Bangunan kolonial ini mempunyai pelbagai kemudahan seperti restoran-restoran, bilik permainan ‘snooker’ dan ‘dart’, bilik menari dan sebagainya. Bilik-biliknya sangat cantik dengan rekabentuk asli masih lagi terpelihara. Para pengunjung ke Ipoh juga boleh memilih untuk bermalam di dalam sebuah hotel kolonial dalam hotel ini. Penggunaan kayu¬† mewah dengan pencahayaan lembut menambah seri dan keunggulan tempat ini. Di perkarangan pula, sebuah padang luas yang digunakan untuk pelbagai kegiatan sukan disediakan. Tempat ini menjadi pilihan untuk bersantai bersama rakan-rakan dengan suasananya yang mewah dan selesa.

Alamat:

  • Jalan Panglima Bukit Gantang Wahab, 38000 Ipoh

Laman Web:

Waktu Buka:

  • Bergantung kepada fasiliti: Waktu buka umumnya 11.00pagi-1.00pagi (Isnin-Ahad)

11. Little India, Ipoh

Little India, Ipoh terdiri daripada kawasan Jalan Sultan Yussuf ke Jalan Lahat yang kebanyakan premis komersil dimiliki oleh masyarakat peniaga berketurunan India. Kawasan ini merupakan tempat di mana para imigran awal dan peniaga dari India melakukan perniagaan mereka ketika industri perlombongan biji timah muncul sebagai industri penting di Lembah Kinta. Pada sejarahnya, kebanyakan imigran India di Perak adalah orang Nattukkotai Chettiar dari India Selatan. Kini, Little India menjadi destinasi pelancongan utama di bandaraya Ipoh kerana keunikan budayanya. Terdapat banyak pilihan barangan seperti perhiasan harian, sari yang cantik-cantik belaka, kain dari India, alatan beribadat dan makanan-makanan asli India. Ada juga restoran-restoran gaya India selatan yang popular di sini yang harus dilawati. Semasa perayaan Deepavali dan Thaipusam, wajah Little India berubah kepada sebuah kawasan berwarna-warni dengan pelbagai aktiviti tradisional masyarakat India untuk dinikmati. Little India, Ipoh semestinya ada banyak peluang bergambar dan mengukir memori kenangan pelancongan di Ipoh.

Alamat:

  • 12, Jalan Lahat, 30000 Ipoh

Waktu Buka:

  • 24 Jam

Tempat-tempat beribadat bersejarah

12. Tokong Perak Tong

Ipoh sememangnya terkenal dengan tokong-tokong yang dibina di dalam gua batu kapur. Tokong Perak Tong adalah salah satu tarikan yang paling popular di Ipoh yang dibina pada tahun 1926. Gua itu terletak di kaki bukit batu kapur yang berketinggian 120 meter dari aras laut diasaskan Chong Sen Yee dan isterinya. Sepanjang 50 tahun, pasangan itu mengubahnya lanskapnya menjadi tempat ibadat yang indah. Dari luar tokong, para pengunjung disambut dengan fasad merah dan putih yang menakjubkan terletak di tengah-tengah alam menghijau. Di gua ini, ada sebuah patung Buddha berukuran 15m terletak di dalam dewan doa utama. Salah satu ciri khas tokong ini adalah lukisan-lukisan tangan pada dinding yang berwarna-warni. Ianya menggambarkan makhluk-makhluk Buddha dan makhluk mitos seperti naga dan burung garuda. Sebuah taman gaya Cina dengan anjung tinjau ada di atasnya dengan menaiki tangga setinggi 358 anak tangga untuk mencapainya.

Alamat:

  • Jalan Kuala Kangsar, Kawasan Perindustrian Tasek, 31400 Ipoh

Waktu Buka:

  • Buka sepanjang hari

13. Masjid India Muslim

Apabila berada di tengah-tengah bandaraya Ipoh, mata akan memandang masjid ini kerana ianya dicat hijau dan putih. Sejarah masjid bermula dengan pembinaannya pada tahun 1908 dengan kos pembinaan sebanyak $500,000, satu jumlah yang sangat besar ketika itu. Sheikh Adam iatu seorang ahli perniagaan India yang terkemuka datang ke negara ini dari India dan beliau mengambil keputusan untuk membina sebuah masjid untuk masyarakat Islam tempatan. Senibina Masjid India Muslim sangat menarik kerana ia menggabungkan seni bina Mogul, India Selatan dan tempatan. Ia mempunyai beberapa persamaan dengan Diwan-I-Khas di Delhi yang diketengahkan dalam reka bentuknya. Masjid dibina dengan tenaga buruh khas dari negara India. Sehingga sekarang masjid ini masih digunakan oleh masyarakat Islam di Ipoh, terutama umat Islam berketurunan India Muslim di Ipoh. Masjid ini dijaga rapi dan teliti, sehingga kini keadaaannya sama seperti ianya dibina pada zaman dahulu. Lokasinya strategik kerana ianya terletak di tengah-tengah kotaraya Ipoh.

Alamat:

  • Jalan Seenivasagam, 30450 Ipoh

Waktu Buka:

  • Buka sepanjang hari

14. Wat Puthanimittam

Orang berketurunan Thai turut ada di Ipoh. Sebuah wat untuk kegunaan beribadah orang Buddha Thai ialah Wat Puthanimittam. Wat Puthanimittam terletak di kawasan kediaman yang tenang di kaki salah satu bukit batu kapur karst di Ipoh. Tarikan utama wat ini ialah sebuah patung Buddha Shakyamuni setinggi 10 meter di yang duduk bersila. Patung ini diperbuat dengan konkrit dan gentian kaca mengambil masa selama 2 tahun untuk siap dibina. Patung itu dikelilingi oleh sepasang naga hijau gaya Cina. Pada kekaki patung ini terdapat sebuah plak yang menceritakan sejarah lisan Somdet Sammasambuddha Chao Ong tentang bagaimana untuk menghindari alam neraka selepas kematian. Wat ini amat menarik dan menunjukkan kepelbagaian budaya dan agama tempatan. Di sekeliling tokong ada patung-patung dan bangunan lain. Tidak seperti kebanyakan bangunan-bangunan ibadat di Ipoh, wat ini satu tarikan yang baru dibina kurang daripada 10 tahun lepas. Tempatnya amat sesuai diambil gambar kenangan.

Alamat:

  • Dataran Perajurit 1, Taman Kemuncak, 31400 Ipoh

Waktu Buka:

  • 24 Jam (Isnin-Ahad)

15. Tokong Kek Lok Tong

Kompleks tokong ini berukuran 12 ekar keseluruhan kawasanannya. Suatu ketika dahulu, ianya digunakan sebagai tempat melombong bijih timah sebelum dijadikan sebuah kompleks tokong. Lantai gua telah diratakan dan diturap dan sebahagian besar dinding bawah dilengkapi dengan jubin marmar. Manakala, bumbung dan dinding atas masih kekal dalam keadaan semulajadi dengan beberapa formasi stalaktit yang mengagumkan. Kemudahan-kemudahan seperti bangku dengan pagar dan tangga ada disediakan untuk orang ramai. Gua yang luas dengan bukaan besar di kedua-dua hujungnya, ada pencahayaan semula jadi yang baik dan hembusan angin menyegarkan bertiup melalui gua. Persekitaran yang sejuk ini menjadikannya tempat yang paling popular bagi orang-orang untuk menikmati pemandangan dalam gua dengan beberapa patung logam Buddha dan Taoisme yang dibina khas dari Taiwan. Di taman sekeliling tokong ini ada kemudahan-kemudahan seperti laluan refleksologi dan beberapa buah kolam ikan dengan kura-kura. Kolam-kolam tersebut merupakan hasil sampingan aktiviti melombong yang pernah dilakukan diadakan di sini.

Alamat:

  • Gunung Rapat, 31350 Ipoh

Waktu Buka:

  • 7.00pagi-6.00petang (Isnin-Ahad)

16. Tokong Sam Poh Tong

Satu lagi tokong yang terkemuka di Ipoh ialah Tokong Sam Poh Tong. Menurut sejarahnya, gua di mana tokong dibina telah ditemui pada tahun 1890 oleh seorang sami dari China. Beliau membuat keputusan untuk menjadikannya tempat untuk bermeditasi. Kini, ianya juga sebuah biara untuk para biarawati dan biarawan. Pembinaan fasad tokong ini bermula pada tahun 1950-an. Sebuah tangga dengan 246 langkah yang sempit akan membawa para pengunjung ke sebuah gua terbuka dengan pandangan yang jauh mata memandang bandaraya Ipoh. Lanskap tokong sangat cantik, malah ianya telah dianugerahkan sebagai ‘Lanskap Tercantik Malaysia’ pada tahun 1993. Lanskapnya termasuk sebuah kolam yang penuh dengan ikan mas dan kura-kura Jepun yang merupakan lambang panjang umur dalam kepercayaan Cina. Di dalam permukaan gua, ada karya-karya lukisan seni dan alam semula jadi dikelilingi dengan patung-patung buddha yang diukir indah dalam pelbagai bentuk. Tempat ini sesuai dilawati untuk mencari sedikit ketenangan daripada kehidupan kota.

Alamat:

  • Gunung Rapat, 31350 Ipoh

Waktu Buka:

  • 9.00pagi-6.00petang (Isnin-Ahad)

Tarikan-tarikan istimewa di Ipoh

17. Resort penginapan ‘The Banjaran’

Perak turut terkenal dengan pusat peranginan istimewa yang harus dikunjungi sekali-sekala. Sebuah pusat peranginan terkemuka di Ipoh yang dikelilingi mata air panas semulajadi ialah ‘The Banjaran’. Pusat peranginan ini seluas 22.7 ekar dikelilingi oleh bentukan bukit-bukit batu kapur yang sudah berusia jutaan tahun. Pusat peranginan ini istimewa kerana ada air mata panas mengalir ke kolam-kolam rendam. Satu ciri salah sebuah kolam rendam di sini ialah ianya terletak di dalam sebuah gua. Ini dikatakan boleh membawa tenaga positif mengalir ke dalam badan jika berendam di sini. Bilik-bilik penginapan di sini istimewa kerana dibina di atas tasik. Ada sesetengahnya mempunyai kolam renang sendiri untuk pengalaman lebih peribadi. Pusat peranginan ini bertaraf 5 bintang amat sesuai bermalaman seisi keluarga.

Alamat:

  • No 1, Persiaran Lagun Sunway 3, 31150 Ipoh, Perak

Laman Web:

Facebook:

Harga semalam:

18. Resort Penginapan ‘The Haven’

Satu lagi resort 5 bintang untuk di Ipoh yang terkemuka ialah Resort Penginapan ‘The Haven’. Resort ini terdiri daripada 3 blok bangunan penginapan yang menempatkan 512 unit bilik penginapan. Tempat ini amat sesuai untuk pasangan kekasih kerana telah memenangi anugerah sebagai tempat perkahwinan mewah terbaik di dunia pada tahun 2016. Tempat ini memang wajar menerima anugerah ini kerana latarbelakangnya sebuah formasi bukit yang sudah berumur berjutaan tahun dengan pokok-pokok yang menghijau amat simbolik sebagai cinta yang berkekalan selama-lamanya. Sebuah tasik semulajadi menambah lagi suasana romantik. Terdapat sebuah kolam renang di sini yang merentang ke tasik. Para pengunjung boleh berenang-renang sambil menikmati pemandangan tasik seolah-olah ianya sebahagian daripada kolam renang. Semua kemudahan umum hotel lima bintang seperti gim, restoran-restoran, kawasan permainan kanak-kanak, dewan acara dan sebagainya disediakan.

Alamat:

  • Persiaran Lembah Perpaduan, 31150, Ipoh, Perak, Malaysia

Laman Web:

Facebook:

Harga semalam:

19. Taman Tema Lost World Tambun

Ipoh turut menyediakan hiburan seisi keluarga di Taman Tema Lost World Tambun yang mempunyai komponen taman tema dan penginapan hotel. Apa yang unik di sini ialah kolam air panas semulajadi dalam taman tema. Pengalaman unik sekeluarga ini hanya boleh dinikmati di sini. Selepas seharian bermain dengan permainan taman tema, bolehlah rehat merendamkan badan dalam kolam air panas semulajadi. Selain daripada itu, daya tarikan di sini ialah pemandangan dengan latarbelakang formasi bukit-bukau batu kapur yang berusia jutaan tahun. Ada juga disediakan tarikan zoo waktu malam dan kanak-kanak kecil boleh bermain-main dengan binatang-binatang. Pada waktu malam, ada pertunjukkan pentas bertemakan dunia fantasi di bahagian ‘Luminous Forest’. Taman tema ini satu-satunya di dunia menggabungkan semua elemen yang terdiri dengan alam semulajadi jutaan tahun dengan kemudahan mata air panas istimewa.

Alamat:

  • 1, Persiaran Lagun Sunway, Sunway City, 31150 Ipoh, Perak

Laman Web:

Facebook:

Tiket:

20. Taman Tema MAPS

Satu tarikan keluarga terbaru di Ipoh ialah Taman Tema Studio Filem Animasi atau dalam bahasa Inggerisnya ‘Movie Animations Park Studios’. Tarikan ini baru sahaja dibuka pada tahun 2017 dan merupakan taman tema animasi pertama di seluruh benua Asia. Sejak pembukaannya, ia menjadi sangat popular di kalangan para pelancong. Apa yang membuatkan taman tema ini berbeza daripada taman-taman tema lain ialah semua tarikannya berasaskan rancangan animasi yang popular seperti ‘The Smurfs’, ‘Casper’, ‘Boboiboy’ dan sebagainya. Tarikan ‘Boboiboy’ sangat popular kerana dalam sebuah panggung wayang dimainkan sebuah wayang pendek dengan efek-efek kerusi bergegar dan pancutan air. Ini sememangnya syurga bagi kanak-kanak kecil menghidupkan fantasi mereka. Aktiviti di sini bukan sahaja bermain ‘rollercoaster’ atau ‘merry-go-round’, malah ada pertunjukkan aksi pertangkasan oleh ahli-ahli gaya berani bertauliah.

Alamat:

  • 3, Persiaran Meru Raya, 31200 Ipoh, Negeri Perak

Laman Web:

Facebook:

Waktu Buka:

  • 10.00pagi-6.00petang (Isnin-Jumaat)
  • 10.00pagi-10.00malam (Sabtu-Ahad)

Tiket:

21. Taman Hiburan dan Kebudayaan ‘Qing Xin Ling’

Taman hiburan ini unik kerana di dalamnya dibina replika-replika rumah kediaman orang-orang dahulu terutamanya pada tahun 1960-an. Bukan sahaja rumah, malah replika gerai-gerai jual makanan, tempat beribadat, beca dan sebagainya turut ada. Di sini bolehlah menikmati gaya hidup orang zaman-zaman dahulu dengan peralatan dan barangan hiburan mereka. Tarikan utama juga terdiri daripada sebuah kolam besar dengan latarbelakang bukit batu kapur yang sudah berusia jutaan tahun. Kawasannya agak luas, tetapi boleh dijelajah dengan kemudahan basikal yang disediakan. Tempat ini sesuai untuk pengalaman yang unik tidak ada di tempat-tempat lain di Ipoh. Selain aktiviti mengambil gambar dengan replika-replika bangunan, ada juga aktiviti mendaki bukit untuk mencapai ke dalam gua semulajadi. Bukan itu sahaja, bilik penginapan turut disediakan untuk para pengunjung yang ingin bermalaman di situ. Terdapat pelbagai pilihan penginapan yang dibina dengan cat berwarna-warni.

Alamat:

  • 22A, Persiaran Pinggir Rapat 5A, Taman Saikat, Ipoh

Facebook:

Waktu Buka:

  • 10.00pagi-5.30petang (Isnin-Ahad)

Tiket:

  • RM10 (Dewasa)
  • RM6 (Kanak-Kanak)

22. Bukit Kledang

Peminat-peminat aktiviti bersukan pula tidak dilupakan. Bukit Kledang adalah sebuah bukit di Ipoh pada ketinggian 808 meter di atas paras laut. Seratus tahun lepas, ada sebuah sanatorium dibina sebelum ianya dirobohkan. Ianya mudah dicapai dari bandar Ipoh dan ianya merupakan tempat yang popular untuk aktiviti beriadah pagi dan lewat terutamanya mendaki bukit. Pendakian ke puncak akan mengambil masa sejauh kira-kira 4 jam. Perjalanannya ditemani pohon-pohon redup berserta dengan pandangan menghijau. Dalam perjalanan, para pendaki akan berkesempatan melihat sebuah air terjun kecil yang menemai perjalanan. Terdapat pelbagai flora dan fauna tempatan yang cantik boleh diambil gambar semasa mendaki. Selain itu, ada disediakan juga laluan berbasikal berturap yang menuju ke arah puncak bukit. Puncak bukit digunakan sebagai tempat pembinaan sebuah tiang komunikasi untuk siaran program radio dan televisyen. Para pengunjung disarankan untuk melawat bukit ini pada waktu senja kerana pemandangan bandaraya Ipoh dengan kelipan lampu-lampu mengasyikkan hati.

Alamat:

  • Jalan Kledang, 31450 Ipoh

Waktu Buka:

  • Buka sepanjang hari

Tiket:

  • Percuma

23. Ladang Limau Bali Tambun GoChin

Negeri Perak khasnya amat terkenal dengan penanaman buah limau bali yang dijual di serta Malaysia. Apabila berada di Ipoh bolehlah mengambil kesempatan untuk berkunjung ke Ladang Limau Bali Tambun GoChin. Ladang ini menyediakan lawatan eko ladang untuk orang awam. Di sini, para pengunjung berpeluang melihat pokok buah limau bali yang ditanam secara komersil untuk pasaran tempatan. Terdapat banyak buah-buahan limau bali yang terdiri daripada pelbagai peringkat kemasakan, dari yang baru sahaja ditanam sehingga buah limau bali yang sudah masak. Walaubagaimanapun, para pengunjung tidak digalakkan untuk menyentuh atau memetik buah-buahan kerana ianya sejenis tumbuhan sensitif. Selain buah limau bali, ada juga pokok buah-buahan lain seperti buah jambu dan buah belimbing. Ada juga disediakan sebuah kedai untuk membeli buah-buahan berserta produk sampingan seperti jem dan jeli. Kesempatan berada di ladang ini sangat berpendidikan untuk yang ingin belajar mengenai limau bali.

Alamat:

  • 158258A, Jalan Ampang Tambun, 31400, Ipoh

Facebook:

Waktu Buka:

  • 9.00pagi-6.00petang (Isnin-Ahad)

Tiket:

  • Percuma

Tempat-tempat mengambil gambar untuk ‘Instagram’

24. Lukisan-lukisan mural Ipoh

Lukisan-lukisan mural pada bangunan-bangunan lama di bandaraya Ipoh menceriakan lagi tempatnya. Ianya juga merupakan daya tarikan pelancong baru ke bandaraya ini terutamanya di kalangan muda-mudi yang minat mengambil swafoto yang artistik dan fotogenik. Sejarah lukisan ini bermula pada tahun 2013 selepas seorang artis Ernest Zacharevic dari negara Lithuania yang melukis 7 mural unik di sekitar bandaraya Ipoh. Kini ada banyak lukisan-lukisan mural yang dilukis di sekitar bandaraya. Satu aktiviti  yang seronok untuk dilakukan ialah kunjungan jejak mural yang membawa para pengunjung melihat satu persatu lukisan mural ini di sekitar bandaraya Ipoh. Kunjungan jejak ini mengambil masa kira-kira satu jam untuk mengambil swafoto dengan seni-seni mural yang ada di sini. Masa yang paling sesuai ialah lewat petang selepas hari menjadi kurang panas, tetapi tiada masalah di waktu siang kerana ada banyak restoran untuk disinggah sebentar dalam perjalanan mencari seni mural.

Alamat:

  • Jalan Tun Sambanthan, Ipoh 30000

Waktu Buka:

  • 24 Jam

Tiket:

  • Percuma

25. Galeri Seni ‘Miniature Wonders’

Untuk yang meminati diorama-diorama dengan hasil tangan yang halus dan cantik pastinya akan menghargai lawatan ke Galeri Seni ‘Miniature Wonders’. Tarikan utamanya menceritakan acara-acara utama daripada Dinasti Song dan Dinasti Ming. Setiap ukiran manusia, binatang, makanan dan tempat berlakunya acara dipamerkan dengan teliti sekali. Pengukir yang membuatnya sebenarnya berasal dari negara China yang mempunyai anak perempuan yang berkahwin dengan orang tempatan. Apabila berpindah ke Malaysia, pelan untuk membuka muzium ini dirancang untuk mempertunjukkan seni tradisinya ke Malaysia. Kebanyakan ukiran dibina dengan menggunakan tepung dan air sebagai bahan utama. Selepas itu, ianya juga perlu diwarnakan untuk memberi hidup kepada patung yang diingini. Bangunan ini mempunyai dua tingkat. Tingkat di bawah adalah percuma tetapi di tingkat 2, ada banyak lagi pameran yang lebih menarik perhatian. Salah satu tarikan utama ialah ukiran askar-askar Terracota yang menambah keunikan pameran.

Alamat:

  • 49, Jalan Market, 30000 Ipoh

Facebook:

Waktu Buka:

  • 8.30pagi-6.00petang (Isnin-Ahad)

Tiket:

  • RM5 (Seorang untuk kemasukan ke tingkat 2)

26. Galeri Seni ‘Funtasy House’

Satu tempat untuk melepaskan imaginasi kanak-kanak yang seronok dan interaktif ialah di Rumah ‘Funtasy’ atau ‘Funtasy House’ yang menyediakan seni-seni dinding 3D untuk mengambil gambar-gambar lucu. Ada 8 bilik dengan 35 jenis seni helah yang ada di sini untuk mengambil gambar dengan posisi yang bermacam-macam. Untuk melihat kesemuanya, satu jam cukup termasuk untuk menghayati gambar. Pekerja-pekarja sangat membantu dan bolehlah membuat permintaan daripada mereka sekiranya ada apa-apa masalah. Sudah tentunya kanak-kanak kecil akan berminat. Malah, boleh juga mengambil potret keluarga yang unik untuk dicetak dan dipamerkan di rumah. Tiket untuk kanak-kanak cuma berharga RM10 untuk kanak-kanak tidak kira orang Malaysia atau orang asing malah, ianya percuma untuk kanak-kanak yang berumur 4 tahun ke bawah. Kalau ada banyak anak-anak kecil, memang menjimatkan.

Alamat:

  • No. 16 Jalan Market, 30000 Ipoh, Perak

Laman Web:

Facebook:

Waktu Buka:

  • 9.00pagi-6.00petang (Isnin-Jumaat)
  • 9.00pagi-8.00malam (Sabtu-Ahad)

Tiket:

  • RM14 (Warganegara Malaysia Dewasa)
  • RM19 (Warganegara Asing Dewasa)
  • RM10 (Kanak-kanak)
  • Percuma(4 tahun ke bawah)

27. Taman Rekreasi Gunung Lang

Taman rekreasi yang sebesar 30.5 hektar mempunyai pemandangan yang cantik dengan latarbelakang bukit-bukit batu kapur. Gunung Lang merupakan sebuah kawasan dilindungi dan aktiviti-aktiviti manusia tidak dibenarkan. Taman ini amat hijau dengan pokok-pokok yang dijaga rapi untuk para pengunjung. Pemandangan di sini tiada tandingannya dengan bukit tinggi dramatik dengan kabus pada awal hari. Suasananya tenang dan amat sesuai untuk semua orang meluangkan masa bersama-sama. Ianya tidak seperti taman-taman yang biasa kerana adanya sebuah tasik besar yang merangkumi hampir separuh daripada kawasan taman. Orang ramai datang ke sini kerana tarikan menaiki bot di atas tasik ke seberang taman. Perjalanan bot memang cantik mengambil gambar sambil menikmati pemandangan bukit batu kapur yang indah di sekelilingnya. Selain itu, terdapat juga sebuah zoo mini dan sebuah anjung tinjau untuk para pengunjung.

Alamat:

  • Off Jalan Kuala Kangsar, 30010 Ipoh

Waktu Buka:

  • 8.00pagi-12.00tengahari,1.30petang-7.00malam (Isnin – Khamis)
  • 8.00pagi-12.00tengahari,2.45petang-4.00petang (Jumaat)
  • 8.00pagi-6.30petang (Sabtu-Ahad)

Tiket:

  • Percuma untuk masuk. Tiket naik bot:
  • RM3(Dewasa)
  • RM1.50(Kanak-kanak dan Warga Emas)

28. Persiaran LED Kinta

Di hadapan hotel 4 bintang, Hotel Riverfront Kinta ada sebuah tarikan yang dilancarkan pada tahun 2012 iatu sebuah pertebingan sungai yang dihiasi dengan poko-pokok tiruan dengan lampu berwarna-warni. Tempat ini hanya sesuai dilawati pada waktu malam apabila lampu-lampu dinyalakan untuk disaksikan oleh orang ramai terutamanya seisi keluarga dan juga kanak-kanak untuk berpura-pura seketika berada di alam maya. Pada sudut tertentu, pantulan lampu LED dari permukaan air sungai sangat cantik menambah suasana moden kotaraya Ipoh ini. Pada waktu malam suhunya nyaman ditemani bunyi air Sungai Kinta yang mengalir. Tambahan pula pemandangan pokok-pokok LED diselangi dengan cahaya bangunan-bangunan tinggi bandaraya Ipoh. Pemandangannya seperti suatu planet futuristik di bandaraya Ipoh yang cukup dramatik dan luarbiasa. Tempat ini terletak berdekatan dengan banyak tempat-tempat hiburan seperti restoran-restoran dan kafe-kafe terkemuka bandaraya Ipoh. Setelah penat berjalan-jalan bolehlah berkunjung ke salah satu premis tersebut untuk makan-makan.

Alamat:

  • Jalan Pekeliling, Taman Jalan Lim Bo Seng, 30000 Ipoh City

Waktu Buka:

  • 24 Jam

Tiket:

  • Percuma

29. Lorong Concubine, Ipoh

Setelah Ipoh dimusnahkan dalam suatu kebakaran besar pada tahun 1892, kedai-kedai baru dibina. Sebuah kawasan dibina di bawah Yao Tet Shin membina tiga lorong untuk ketiga-tiga isterinya. Setiap isteri boleh mengumpul wang cukai daripada kedai-kedai yang beroperasi di lorang. Salah satunya ialah Lorong Concubine atau kini telah dinamakan sebagai Lorong Panglima. Setalah Ipoh dinobatkan sebagai bandar untuk dilawati di Perak, lorong ini menjadi semakin terkenal di kalangan para pelancong. Suasana di sini terasa seperti kembali ke zaman dahulu dengan ada hiasan seperti televisyen lama, peti sejuk lama, piring hitam dan sebagainya. Manakala, luar kedai dihiasi dengan seni kontemporari moden yang cantik sesuai diambil gambar-gambar. Terdapat beberapa mural yang cantik dijadikan pemasangan seni kekal sebagai sebahagian daripada program pembaharuan tempat ini. Baru-baru ini pelbagai restoran-restoran dan kafe-kafe moden baru dibuka di sini menambahkan lagi suasananya. Kedai-kedai menjual cenderamata unik pula semakin banyak di sini.

Alamat:

  • Concubine Ln, 30000 Ipoh, Perak

Waktu Buka:

  • 24 Jam (Isnin-Ahad)

Tiket:

  • Percuma

30. Pasar Karat Lorong Memory

Pasar Karat Lorong Memory menjual banyak barangan terpakai yang menarik. Di sini, semuanya ada, perhiasan antik, barangan tembikar, baju terpakai, barangan perabot dan sebagainya. Ramai pengunjung datang dari pelosok Malaysia kerana harga barangannya lebih rendah daripada harga pasaran. Barangan di sini berbanding pasar barangan terpakai di Malaysia dikatakan antara yang termurah. Semua para peniaga cuma membayar RM10 untuk setiap lot mereka membolehkan barangan dijual pada harga yang berpatutan. Kedatangan ke sini tidak perlu membawa jumlah wang yang banyak kerana pastinya ada sesuatu yang berharga sangat murah sehinggakan 90% kurang daripada harga pasaran pun ada. Kalau tidak membeli apa-apa pun, berjalan di sini untuk melihat barangan di sini sahaja cukup menghiburkan. Kalau ada kesempatan bolehlah mengambil gambar-gambar menarik untuk dimuat naik ke Internet. Pastinya berjalan-jalan ke sini akan membeli sesuatu untuk dibawa pulang kepada sahabat handai di rumah. Pasar ini cuma dibuka pada setiap hari Ahad sahaja.

Alamat:

  • Jalan Horley, 30300 Ipoh

Waktu Buka:

  • 6.30pagi-12.00tengahari (Ahad)

Kesimpulan tentang tempat menarik di Ipoh

Kunjungan ke bandar Ipoh semestinya ada lebih banyak lagi daripada senarai ini. Apa yang ada disenaraikan hanyalah tarikan pelancongan utama. Ketibaan para pengunjung ke sini dijemputi dengan pemandangan indah pembentukan batu kapur yang unik dikelilingi pokok-pokok kehijauan. Bandar yang berkembang sejak industri biji timah kini terus membangun dengan ekonomi pelancongan bersejarah menjana pendapatan tempatan. Hotel penginapan unik dengan zon mata panas air, tokong-tokong dalam gua dan taman tema yang seronok menghiburkan seisi keluarga. Manakala, sejarahnya yang telah berkembang sejak 130 tahun lalu sehingga kini sangat menarik untuk dipelajari. Kesemua tempat menarik di Ipoh haruslah dilawati jika berkunjung ke negeri Perak.

Add Comment